Matahari Tak Bercahaya

Rasa terpanggil untuk menulis kat sini selepas tengok cerita ‘matahari tak bercahaya’ siaran TV3 tu.

Cerita tu pasal Mastura yang dijangkiti hiv akibat kecuaian hospital memindahkan darah pesakit hiv ke badan dia.

Saya teringat arwah Kak Ayu (bukan nama sebenar) yang dijangkiti virus yang sama akibat kecuaian pihak hospital jugak.

Masa tu tahun 90an, zaman takde viral-viral. Apa pun yang hospital buat, kita sebagai orang awam kena terima ja.

Tambah-tambah kita ni orang kampung yang kurang pelajaran dan pengetahuan, nak buat aduan kat mana pun tak tau.

Nak cakap pasal Kak Ayu, orangnya sangat baik. Dia anak tunggal, dan kerja operator kilang ja. Dia tinggal dengan mak dia ja, bapak dia dah lama meninggal rasanya.

Zaman dulu kalau kerja kilang, akan ada van datang ambik dekat jalan besar. So setiap kali Kak Ayu ni nak tunggu van, dia akan lintas dekat rumah saya, port kami budak-budak bermain.

Asal nampak kami ja, dia mesti akan ajak semua pergi kedai runcit Ah Chuan belikan kami ais krim la, coklat la.

Dia akan suruh kami ambik ja apa kami nak, semua dia bayar. Dia memang suka bersedekah, suka budak-budak. Orangnya lemah lembut, rajin menolong orang. Semua orang selesa dengan dia.

1 hari tu mak dia datang rumah saya, rupanya nak jemput kenduri kahwin Kak Ayu. Berseronok la kami mengusik-usik Kak Ayu setiap kali terserempak dengan dia.

Kak Ayu hanya senyum-senyum malu ja masa tu.

Zaman dulu bila ada majlis, 1 kampung gotong royong menjayakan majlis tu, masak beramai-ramai, termasuklah kenduri Kak Ayu.

Kenduri dia sangat meriah masa tu, sampai ke malam ada makan-makan. Sampai macam tu sekali orang kampung meraikan hari bahagia dia.

Saya masih ingat petang majlis lepas bersanding tu, Kak Ayu dan suami dia hulur duit sorang seringgit dekat kami. Bersuka ria la kami, zaman dulu seringgit tu sangat besar.

Seronok tauke Ah Chuan tengok kami kenduri besar kat kedai dia. Tapi tu la, orang selalu cakap, langit tak selalunya cerah..

Kalau lahir sebagai manusia tak akan berhenti ujian selagi belum mati.

Masih segar dalam ingatan saya, malam tu dalam pukul 9. Kecoh tiba-tiba dalam kampung katanya suami Kak Ayu meninggal dunia dalam kemalangan.

Kemalangan tu sangat ngeri, motor dia menghentam belakang treler dan besi dalam treler tu menembus ke mata suami dia.

Suami dia meninggal on the spot. Tapi yang lagi sedihnya, Kak Ayu baru ja berkahwin tak salah dalam 3 ke 4 bulan macam tu la.

Orang kata inai pun masih merah, tapi dah hilang suami. Tak tahu la macam mana perasaan dia masa tu.

Satu kampung berduka dengan berita tu, dekat berminggu-minggu jugak orang bercakap pasal tu.

Saya terkenang sekarang pun rasa sedih sangat.

Tapi sejak suami dia meninggal, kami tak jumpa Kak Ayu dah. Tak ingat kemana dia pergi, mungkin ke rumah mak mertua dia ke apa tak tahu la.

Tapi ada la dapat tahu yang katanya dia mengandung. Tu pun tahu lepas suami dia meninggal. Sedih betul rasa.

Tapi lepas tu kami ada jumpa dia dalam kampung walaupun sangat jarang.

Tapi dia macam dah tak kerja sebab tak nampak dia tunggu van kat jalan besar. Dia pun dah bersalin masa tu. Dapat anak perempuan.

Masa dia berpantang tu, ada la saya dengan mak pergi tengok baby dia. Dia layan macam biasa ja cuma dah tak peramah macam dulu.

Hari berganti hari, orang pun dah lupa cerita pasal Kak Ayu. Sebab lepas habis pantang, dia pun dah pindah ke mana tak tahu la. Cuma mak dia masih ada kat sini.

Tapi saya langsung tak pernah jumpa Kak Ayu dah kat kampung walaupun pada hari raya.

Lama lepas tu kami terima khabar katanya Kak Ayu meninggal. Masa tu umur dia 28 tahun ja.

Masa tu kami tak tahu dia sakit apa. Yang kami dengar dia meninggal lepas solat zohor atas sejadah. Jenazah dia di bawak balik nak kebumi kat sini.

Masa tu baru saya tahu sebelum ni dia duduk perak dekat kampung suami dia.

Masa jenazah dia sampai, semua pihak hospital dah urus kecuali solat jenazah ja dibuat kat masjid sini. Lepas tu terus dikebumikan.

Orang kampung tak dapat buat apa-apa urusan lain. Masa tu saya tak ingat saya kat mana, sebab saya tak de di situasi tu. Tapi yang saya tau saya dah form 3 masa tu.

Cuma mak saya ada pergi tengok jenazah dia, mak saya kata jenazah dia dibungkus dengan plastik. Sapa pun tak boleh tengok muka dia.

Lepas tu tersebar la dalam kampung katanya dia kena aids ke HIV tak ingat la.

Tapi mak dia masa tu ada jugak cerita kat nenek saya, katanya dia pergi buat rawatan apa tah kat hospital kerajaan kat perak. Lepas tu asyik sakit ja. Demam batuk tak kebah-kebah, dan makin kurus dan pucat.

Bila pergi check balik baru tahu rupanya ada kesilapan hospital buat sampai dia kena jangkitan tu. Tu kata mak dia la.

Tapi mujur orang kampung kami tak macam orang kampung dalam cerita Mastura tu.

Orang kampung saya sangat memahami, lagipun arwah Kak Ayu sangat baik. Semua orang doa baik-baik ja untuk dia.

Tapi mak dia kata dia selalu ulang-ulang satu benda ja sejak-sejak dia sakit tu, yang sampai sekarang saya ingat.

Katanya apa yang kita ada semua Allah punya. Diri kita pun Allah punya. Jadi terpulanglah apa yang Allah nak bagi kat kita, apa yang Allah nak ambik dari kita.

Kita tak mampu halang, kena terima jugak walau suka atau tak.

Rasa sedih dan sebak teringat arwah Kak Ayu. Orang baik tak henti-henti ujian Allah bagi.

Anak dia pun tak tahu apa cerita. Mesti dah besar panjang sekarang ni. Dia meninggal pun dah dekat 25 tahun dah kalau tak salah saya.

Al fatihah untuk Kak Ayu. Semoga arwah tenang di sana.

Akhir kata, teringat satu dialog dalam cerita matahari tak bercahaya tu.

“Kita ni orang miskin, orang miskin tak banyak pilihan. Apa yang datang itu la yang kita terima”.

Ayat ni takde kaitan dengan sapa-sapa, sekadar setuju dengan keadaan sekarang, bahawa orang miskin memang tak banyak pilihan.

Terima kasih…

– Mawar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *