Assalamualaikum. Ini adalah kali pertama post confession di sini. Jadi maaf kalau ada kekurangan. Merujuk tajuk, MC, bukan main of ceremony, tapi medical certificate atau cuti sakit. Semua yang bekerja makan gaji or murid mesti tau tentang MC ni sebab penting untuk kelulusan cuti. Rasanya hampir semua orang pernah ambil MC kot. Oh ye, sebelum terlupa, walaupun MC ini meliputi kepada semua sector pekerjaan tapi post ini mungkin lebih merujuk kepada penjawat awam atau lebih khusus bidang perguruan, sebab saya tak tahu sangat tentang bidang lain. Kalau silap maklumat, susah pula.
Saya bekerja di negeri yang berbeza cuti antara swasta dan kerajaan (mungkin semua orang boleh agak), jadi agak sukar untuk saya beraktiviti luar dengan kawan-kawan yang dari private sector sebab kebanyakan aktiviti diadakan pada hari sabtu dan ahad, sedangkan saya cuti jumaat dan sabtu. Dan cikgu (walaupun ada CRK 7 hari setahun) sangat susah mendapat kelulusan cuti. Cuti hanya dibenarkan oleh guru besar/pengetua jika ada perkara mendesak. Itupun kadang-kadang tak dapat. Kalau setakat nak pergi hiking or melancong, sila jangan berangan. hahaha… Jadi, akan ada yang mencadangkan, “apa susah, MC la”. Sadly, itu mind set orang kita. Realitinya, sekarang ramai yang menyalahgunakan MC ini untuk tujuan peribadi, bukan untuk sebab yang sebenarnya iaitu cuti untuk orang sakit.
Tak dinafikan, sedih juga, sebab selalu terlepas peluang disebabkan perbezaan cuti ni. Tapi jangan jadikan alasan minat untuk menipu. Setiap pekerjaan kita, jika diniatkan kerana Allah, insya-Allah dikira sebagai ibadah. Jadi, jangan rosakkan ‘ibadah’ kita dengan dosa pula.
Ramai juga yang menggunakan MC ini untuk menyambung cuti atau lain-lain sebab. Fikirkanlah, rezeki yang kita terima tu, kita gunakan untuk makan, minum, bagi kat mak ayah, bagi anak isteri. Walaupun mungkin pekerjaan kita tu Nampak mulia, contohnya cikgu, doktor, jururawat dan lain-lain, tapi jika diselitkan penipuan macam ni, hilang keberkatan dalam rezeki yang kita dapat tu. Sebenarnya saya tak perlu terangkan panjang lebar sangat pun pasal ni, kalian pun mungkin lebih tahu tentang hukum-hukum berbanding saya. Saya hanya cuba mengingatkan bagi kita yang mungkin terlalai.
Selain itu, pendapat saya, kalau kita MC tipu ni, kita seolah-olah meminta sakit daripada Allah. Nabi pernah berpesan, ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Salah satunya nikmat sihat, sebelum datangnya sakit. Hargailah waktu sihat yang Allah berikan. Jangan disebebkan perbuatan kita, Allah berikan sakit yang kronik. Atau mungkin Allah tak bagi kita sakit, tapi Allah uji dengan memberikan sakit kepada ibu bapa atau anak-anak kita. Tak sayangkah kita pada diri sendiri or keluarga kita. Ya, orang baik macam Nabi pun sakit, sebab kita manusia. Tapi jangan sesekali meminta sakit.
Di samping itu, secara tak langsung, kita mungkin menyusahkan orang lain kerana MC tipu kita tu. Contohnya cikgu. Sekiranya seseorang guru tak hadir, maka guru lain perlu mengganti waktu mengajarnya. Kalau kita MC sebab memang betul-betul sakit atau ada kursus dan sebagainya, it is ok. Tapi kalau kita MC tipu, bukankah kita dah menyusahkan orang lain dengan sengaja? Nak minta maaf, tapi malu (sebab nanti kantoi MC tipu). Sudahnya, bila nak minta maaf? Sedangkan kesalahan dengan orang lain, wajib meminta maaf.
Pada zaman kegawatan macam ni, bersyukurlah dengan pekerjaan kita. Ramai lagi orang yang belum mendapatkan pekerjaan atau dibuang kerja yang nak sangat berada di tempat kita, bekerja. Tapi kita yang bekerja, sewenang-wenangnya buat perangai macam ni. Mungkin ada yang tahu, bidang perguruan sekarang bukan habis belajar terus posting. Jadi masih ramai lagi lepasan bidang perguruan yang belum ditempatkan di sekolah. Alhamdulillah, lepas 2 bulan tamat belajar, saya dah dipostingkan ke sekolah. But some of my friends dipostingkan after a few months… Ada jugak yang dh hampir dua tahun tamat belajar, tapi masih belum dipostingkan. Saya tak berada di tempat mereka, jadi mungkin saya tak betul-betul faham apa yang mereka rasakan. Tapi, mesti mereka berasa sangat down. Oleh itu, kita yang sedang bergelar sebagai pekerja ini, bersyukurlah dan cubalah jadi pekerja yang komited pada tugas tanpa mengabaikan keluarga juga. Dan semoga yang belum mendapat pekerjaan atau belum dipostingkan supaya mendapat pekerjaan yang baik dalam kadar segera.
Sebelum menamatkan coretan ini, saya juga berharap agar bos atau pentadbir pun boleh la juga sama-sama cuba memudahkan permohonan cuti orang bawahan. Sebab kadang-kadang, ada juga yang meminta MC tipu ni sebab payah sangat nak cuti (bukan bermakna saya setuju dengan perbuatan ni). Bila pihak atasan being considerate dengan orang bawahan, mungkin suasana kerja pun jadi lebih harmoni dan pekerja lebih semangat nak bekerja. Dan secara tak langsung, mungkin boleh menghakis budaya MC tipu ini.
– Cik Sumi
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit