MCO On Campus

Assalamualaikum. Saya merupakan salah seorang pelajar UIAM yang terpaksa menjalani tempoh PKP di dalam kampus. Tatkala saya mencoret luahan hati saya ini, jam sudah menandakan 2:57 pagi.

Untuk kesekian kalinya, saya gagal melelapkan mata. Bermula malam ini, saya membuat keputusan untuk menghadkan penggunaan sosial media kerana situasi sekarang sangat berat untuk saya proses walaupun sudah 36 hari saya di sini.

Saya disini bersendirian. Teman sebilik saya semua sudah pulang. Pada asalnya, saya sudah pulang ke rumah saudara saya di Kuala Lumpur pada 17/3 tetapi kerana merasakan mereka kurang selesa dengan kehadiran saya, saya membuat keputusan untuk pulang ke UIAM keesokan harinya.

Minggu pertama dilalui dengan tangisan — hampir setiap hari saya menangis di dalam solat meminta ketenangan hati.

Ketika itu saya susah hati memikirkan mana nak cari makanan. Walaupun saya seorang pelajar di tengah kota, saya sangat jarang menggunakan online-banking kecuali untuk membayar yuran kulliyyah.

Saya duduk di meja membuat senarai penyelasaian kepada masalah saya. Saya boleh beli makanan melalui Grabfood. Beli sekali sehari sahaja — boleh la buat alas perut, makan sikit sikit.

Esoknya saya pergi ke bank untuk aktifkan akaun online banking saya tetapi nasib saya kurang baik, bank tidak boleh menguruskan perkara remeh seperti ini sepanjang tempoh PKP. Saya pulang ke mahallah sambil menangis memikirkan saya di jalan buntu lagi.

Akhirnya saya makan maggi untuk beberapa hari sebelum UIAM mengumumkan bantuan makanan percuma akan disediakan kepada pelajar setiap hari. Alhamdulillah, bersyukur sangat saya pada hari itu. Allah dengar doa saya. Selesai satu masalah.

Minggu kedua PKP, hati saya gusar lagi. Saya sudah tidak bercakap dengan sesiapa selama dua minggu setakat ini. Saya ini jenis lemah semangat. Saya tidak boleh dengar suara keluarga saya tanpa menangis, saya senang menangis.

Sedar akan hakikat ini, saya jarangkan bercakap dengan keluarga tetapi sentiasa berWhatsapp kerana tidak mahu mereka risaukan saya. Saya anak perempuan sulung, seorang di kampus tanpa kawan.

Mereka sentiasa bertanya tapi naluri seorang anak tidak mahu membebankan keluarga jadi saya sorokkan sedih saya. Nak nak lagi dengan situasi ayah saya yang sering kurang sihat kerana menghidap penyakit jantung. Saya tidak sampai hati untuk mengadu.

Saya dapat rasakan diri saya makin lemas. Saya cuba cari distractions; membaca, belajar software baru, berjalan dan turut serta aktiviti sukarela memberi makan kucing liar di dalam UIAM. Namun saya masih rasa sedih.

Duduk sekejap saya menangis, hati saya tak tahan dengan rasa cemburu dengan kawan yang sudah dirumah. Sudahnya, saya tak mampu fokus dengan aktiviti lain. Saya rasa mungkin saya perlu bersembang, berkongsi rasa gusar saya ini.

Satu cara yang saya buat adalah berborak dengan pelajar sukarelawan yang membantu mengedarkan makanan setiap hari. Alhamdulillah, walaupun saya masih tidak senang tinggal sendirian sepanjang PKP ini, saya rasa saya masih boleh survive.

Namun begitu, tidak lama selepas itu, hati saya diduga lagi dengan berita bahawa ayah saya telah dimasukkan ke hospital. Ayah saya bersendirian di hospital kerana situasi pandemik sekarang.

Sejak ayah dimasukkan ke hospital, hari hari saya ditanya bila saya nak balik. Menangis tak keruan saya setiap hari, overthinking saya makin menjadi jadi.

Tak mampu nak positif lagi, saya lebih banyak melayan perasaan dan merasa tidak kuat untuk keluar berjumpa sesiapa dan meluah masalah.

Saya sedar bahawa saya lebih banyak tidur untuk mengelak masalah. Yelah, bila tidur, saya tak perlu berfikir sangat. Saya dapat lari. Saya banyak sangat tidur sampai saya pening kepala.

Saya cuba membaca tapi pening kepala dan saya tak mampu fokus. Saya jumpa banyak aktiviti-aktiviti dalam UIAM — saya berniat nak sertai tapi akhirnya saya asyik terlupa, saya tak larat. Saya penat emosi.

Saya sedar tentang tabiat buruk ini tapi saya rasakan tidur adalah satu-satunya cara untuk saya berhenti menangis. Bila mengaji, menangis. Solat, menangis. Jumpa orang, saya tak larat nak bercerita. Jadi saya tidur.

Tambahan pula dengan cemuhan netizen terhadap pelajar yang ingin pulang ke rumah, saya rasa tidak layak untuk mengadu kepada sesiapa.

Saya paksa diri untuk bersyukur kerana saya cuma harus menjaga perasaan sendiri sementara ada orang di luar sana yang lebih bernasib lebih malang.

Tapi tak dinafikan, hati mana yang tidak kecewa membawa komen mengatakan pelajar seperti saya ini manja, tak bersyukur, membawa penyakit, menyusahkan keluarga.

Baru baru ini kerajaan mengumumkan bahawa pelajar dibenarkan pulang tetapi untuk zon hijau sahaja. Saya takut nak mengharap. Saya rasa kebarangkalian untuk saya balik sangat tipis. Lebih baik saya redha sahaja, biarlah saya susah seorang mungkin lebih baik begitu.

Ini adalah antara masalah yang saya hadapi sepanjang menjalani tempoh PKP di dalam kampus sampai sekarang.

Ini kali pertama saya benar benar luahkan segala isi hati saya. Saya harap dengan luahan ini, orang awam dapat sedikit sebanyak memahami situasi pelajar yang berada di kampus sepanjang tempoh PKP.

Saya anggap ini kali terakhir berada di sosial media, sehingga tempoh PKP ini selesai. Kalau saya dapat balik, saya sangat bersyukur.

Saya mohon buat sesiapa yang membaca tulisan saya ini untuk mendoakan kesihatan ayah saya. Doakan juga agar saya kuat bersendirian melawan tenaga negatif di dalam kepala saya. Terima kasih kerana sudi membaca. Assalamualaikum WBT.

– Suhaila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *