Assalamualaikum pembaca sekalian.. Aku tak bermaksud nak pendahuluan yang panjang, jadi aku teruskan je la ye…
Aku seorang janda yang tiada anak. Usiaku menjangkau 38 tahun pada tahun ini.. Kerjaya stabil, telah mempunya aset² tetap sendiri. Masih mempunyai kedua ibu bapa dan aku anak sulung daripada 2 adikberadik.
Pernah berkahwin selama 8 tahun sebelum aku menuntut fasakh kerana bekas suami seorang pen4gih sy4bu.
Aku tak ingin bercerita kisah rumahtangga lalu yang penuh dengan cerita duka dan menyakitkan. Maklum sahaja seorang pen4gih.. semua pengalaman pahit aku da rasa.
3 tahun bersendiri aku berkenalan dengan seorang duda anak 2, (aku gelarkan A) melalui 2 perkahwinannya yang terdahulu. Berusia 5 tahun lebih tua dariku. Bekerja sebagai senior teknisyen di sebuah kilang.
A tinggal di sebuah kampung bersama kedua-dua orang tuanya di samping menguruskan ladang kelapa sawitnya, ternakan kambingnya dan juga tanaman2 lain. Senang cerita A ni seorang lelaki yang gigih mencari rezeki dan kuat bekerja.
Kami diperkenalkan oleh sepupu aku yang juga kawan baik A. Mereka bekerja di kilang yang sama.
Pejam celik pejam celik, hampir 2 tahun kami berkawan. Kedua dua keluarga telah maklum perhubungan ini. Aku pun tak tau nak sebut ini sebagai perhubungan atau apa sebab aku dan A lebih kepada “kawan rapat”.
A ada meluahkan untuk menyunting aku. Tapi perasaan aku bercampur baur. Suka, takut, teruja, trauma semua ada. Hubungan kami biasa saja, tidak ada drama cintan cintun. Orang kata, tenang- tenang saja..
A tidak terlalu mengongkong aku, kerana menurut A aku pandai jaga diri, biarlah masing- masing tahu hati masing- masing. Ada rezeki, kita bersatu, kalau tiada, tidak mengapa. Begitu lah hubungan kami.
Jauh dari sudut hati aku, aku nak terima A sebab A ni boleh dikategorikan sebagai husband material.
Jauh beza dengan bekas suami dulu. Cukup solat 5 waktunya, berpuasa, jadi imam keluarganya, kuat bekerja dan dia “lelaki kampung” yang merendah diri, bersederhana, tidak lokek dan cool saja orangnya. Jauh sekali dari kaki game, lepak, d4dah, perempuan dan sebagainya.
Tapi setiap manusia mesti ada kekurangannya kan? A jauh beza dengan aku.. Aku peramah, mudah tersenyum, ceria dan happy go lucky.
Manakala A agak pendiam, kurang sensitif, dan kalau saya minta bantuan, A lebih suka saya berusaha sendri baru dia akan bantu.
Awal perkenalan dulu aku da tau dia seorang duda anak 1 (anak perempuan yang dijaga oleh bekas isteri) tapi beberapa bulan kemudian aku dapat tau sendiri A sebenarnya juga pernah berkahwin dulu. Maksudnya A telah menduda 2 kali.
Cerita punca perpisahan telah aku ketahui. A minta maaf banyak kali kepada aku kerana tidak berterus terang, katanya khuatir aku tidak dapat menerima.
Ya, memang aku tidak dapat terima pada mulanya. Tapi lama kelamaan aku meneruskan perkenalan kami. Kami banyak berkongsi rasa, pengalaman dan kisah yang lalu.
Aku dapati A banyak terluka isu kesetiaan dan ketaatan seorang isteri. Aku pula trauma kalau bercakap isu kewangan dalam perkahwinan.
Macam aku sebut awal tadi, bekas suami penagih sy4bu, 100 peratus perlahan- lahan beban kewangan atas bahu aku dan aku serik, takut kalau terjadi sekali lagi dalam hidup aku.
Aku dan A banyak kali membincangkan isu ini.. A mengatakan aku terlalu memikirkan perkara negatif mengenai dirinya. Tapi aku akui, sepanjang perhubungan ini, A langsung tidak membebankan aku dengan masalah kewangan.
Belanja makan, memang dibayar oleh A. Sesekali keluar menemaninya membeli pakaian, tidak lupa ada bahagian aku. Hasil- hasil tanaman dan ternakan A, entah beberapa kali sudah dia bagi. Tidak lupa untuk keluarga aku.
Baru-baru ini, A menyatakan bahawa dia sekarang sedang dalam proses memulakan projek tanaman lain bersama rakan karibnya. Aku macam biasa, memberi sokongan dan galakan kepadanya.
Tapi A ada menyatakan, jika projek tanaman ini berjalan lancar dan stabil, dia akan berhenti kerja kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian juga kepada ternakannya.
Ringkasnya, A mahu memperluaskan lagi apa yang telah diusahakan selama ini. Aku terkedu.. Untuk seharian ayat-ayat dari whatsapp A aku baca berulang kali. Entah kenapa hati aku seakan tidak bersetuju dengan keputusan A tapi aku diamkan sahaja.
Akhirnya aku minta kepastian dari A.. dan A terus bagi kata putus kepada aku, katanya dia faham arah ke mana soalan aku sebab da berulang kali kami berbincang isu kewangan.
Kalau aku rasa berat.. dia akan undur diri. Dia tak nak susahkan aku atau mana-mana perempuan dengan hidup dia sebab ini memang kemahuan dia.
Aku hanya mampu membalas chat darinya bahawa aku faham dan menghormati pendirian A.. aku tak tau apa yang patut aku rasakan saat ini.. Gembira? Sedih? Lega? Entahlah..
Aku tahu rezeki tu di tangan Allah, tapi aku serik… Bila usia dah menghampiri 40 ni aku da penat untuk bercinta lagi. Mengenali orang baru bukanlah sesuatu yang mudah..
Aku tiada jawapan.. aku sudah membuat istikharah tapi mungkin belum nampak apa-apa lagi atau aku tidak sedar. A menerima aku seadanya tapi hati aku belum menerima A sepenuhnya. A serik dengan 2 perkahwinannya yang dulu, begitu juga aku..
Mungkin pengalaman yang lalu aku berperasaan begini.. Aku mohon pendapat kalian, aku bukannya nak berkahwin dalam masa terdekat.. Cuma aku tak nak pisang berbuah 2 kali. Sesungguhnya aku benar – benar serik…
Segala pandangan kalian akan aku baca satu persatu dan aku hargai sangat-sangat..
Terima kasih.
– Cik Puteh (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit