Membina Hidup Baharu

Aku berusia 20 tahun. Baru je lepas melahirkan seorang anak. Yee. ANAK.

Silap aku percayakan lelaki tu. Tapi, nak buat macam mana. Aku terlampau sayangkan dia.

Ceritanya bermula macam ni. Lepas beberapa tahun duduk kat kampung buat kerja sambilan, kekasih hati aku ajak kerja kat tempat orang. Sewa bersama.

Pada mulanya aku agak keberatan. Yelah kan, sebab jauh. Lagi satu, takkan aku nak duduk dengan dia. Tapi dia pandai pujuk. Dia cakap senang nak kumpul duit sama-sama nanti. Aku pun on jelah.

Lepas interview kerja, aku pun start pindahkan barang-barang aku masuk rumah dia. Senang nak pergi kerja sama-sama.

Hampir 3 bulan aku bersama. Satu hari tu, aku mual-mual dan start muntah-muntah. Aku mengadu kat dia. Dia ajak aku pergi klinik untuk cek. Sah. Aku mengandung.

Gelabah puyuh aku. Macam mana ni? Dah sangkut pulak. Kami pergi Chowkit, cari ubat untuk aku makan. Tapi tak jadi. Perut makin besar ni.

Aku nekad berhenti kerja. Si dia? Masih dengan aku. Jaga makan minum aku. Aku cakap kat dia aku nak balik kampung. Dia tak bagi. Takut mak ayah aku perasan.

Bulan berganti bulan. Aku jumpa Facebook penjual ubat gugur. Aku order. Mahal. RM500. Sanggup tak sanggup aku makan. Nurse yang jual tu bagitahu cara-cara nak makan dan effect dia. Aku nekad beli. Sebab aku tak nak budak ni.

Lepas ubat tu sampai, aku makan. Sakit! Tak tergambar kesakitan dia. Kalau kau rasa senggugut tu sakit, sakit lagi nak menggugurkan kandungan. Perut aku lepas makan ubat tu bukan main besar. Sebab proses nak paksa baby ni keluar.

Tapi aku tak kuat nak lawan. Aku muntahkan dos terakhir. Lesunya badan aku tak payahlah cerita. Yee. Proses ni tak berjaya. Tahniah kepada aku.

Aku dah start benci dengan dia sebab dialah punca aku tanggung sakit macam ni. Aku cuba jauhkan diri dari dia. Menangis meratap kenapa nasib aku macam ni. Aku nekad larikan diri dari dia dan duduk dengan satu pasangan yang teringinkan anak.

Start dari kandungan aku 6 bulan, aku menetap dengan diorang. Bf aku? Entahlah ke mana hilang. Langsung tak cari aku. Emosi aku terganggu. Aku cuba kuatkan diri untuk kandungan aku.

Pasangan yang jaga aku ni, baiklah pada pandangan aku. Setiap permintaan aku diorang tunaikan. Tapi syarat diorang nak anak tu tanpa bagi apa-apa duit pun pada aku.

Aku setuju. Asalkan diorang bagi aku jumpa anak-anak aku setiap bulan. Hm. Tapi tu perjanjian sebelum aku bersalin.

Tiap-tiap malam aku usap perut aku, bercakap dengan anak-anak. Aku dah start sayang dengan anak-anak. Masa diorang lahir, sempurna sifat dan sangat-sangat comel. Aku jatuh sayang berkali-kali sebab yee aku mampu lahirkan zuriat dari rahim aku sendiri.

Lepas je aku bersalin, yang aku perasan, si isteri ni macam tak sabar-sabar nak halau aku keluar. Dia pisahkan aku dengan anak-anak aku. Takpe. Pasal tu aku faham sebab nanti dia nak ambil anak tu kan.

Dia langsung tak bagi anak-anak aku menyusu dengan aku. Sebab dia nak menyusukan anak-anak aku nanti. Alasan dia, nanti baby konfius dengan puting mak dia. Sedih aku tak terkata. Masa ni aku masih berpantang. Aku emosi tapi aku cuba tak nangis sebab aku takut meroyan.

Dah habis pantang, aku buat angkat sumpah anak angkat. Dalam surat perjanjian tu, aku langsung tak ada hak ke atas anak-anak aku. Berkecai hati aku sebab hak aku hilang. Ditambah pula, aku langsung tak boleh jumpa anak-anak aku sepanjang 2 tahun pembesaran mereka.

Aku tewas lagi dengan air mata. Aku sayang mereka sebab 9 bulan aku bawak mereka dalam aib yang aku tanggung. Yee. Walaupun aku salah. Tapi, aku mak kandung anak-anak aku. Kenapa diorang kejam nak pisahkan aku dengan anak-anak aku?

Takpelah. Nak buat macam mana. Hakikatnya aku si pendosa.

Pesan aku kat korang, jangan sekali-sekali mengandung anak luar nikah. Hilang maruah. Hilang segala-galanya. Aku rasa macam nak lari dari semua ni. Tapi, aku tak mampu.

Yang aku mampu, bersabar dan memohon ampun dari-Nya. Pasal lelaki tu? Dia dah hadir dan masih memohon maaf. Dia mahu mengambil aku sebagai isteri dia.

Korang rasa apa patut aku buat?

– Noraniah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *