Musim hujan, dan untuk sekalian kalinya, aku mencari ayah di balik lebat hujan.
Ayah,
Hari ini aku ke pantai lagi. Aku mengintai kelibat ayah, dalam deras hujan yang lebat. Aku mencipta kemungkinan mendengar suara ayah dalam bingitnya bunyi ombak menghempas pantai.
Angin sejuk musim tengkujuh memeluk lembut tubuh aku bersama percikan hujan dan masin air laut. Tapi sejuk ini tak mampu memujuk aku ayah. Aku… aku kini sudah lupa hangatnya pelukan kasihmu ayah.
Ayah,
Hari ini aku berjalan disisir pantai seorang diri. Aku kembali menjadi gadis kecil yang dulunya riang berlari digigi air, tiada takut kerana aku tahu kau sentiasa ada di belakangku.
Ayah, aku kini sentiasa dalam ketakutan dengan ketidakpastian hidup aku. Tiada lagi pundakmu tempat aku berpaut. Tiada lagi keyakinan aku untuk melangkah walau setapak pun, kerana tiada lagi tangan kasarmu yang akan memegang erat tanganku saat aku tersalah arah.
Ayah,
Berpuluh tahun sudah ayah pergi. Aku kini sudah tumbuh menjadi seorang dewasa, tapi hati kecilku masih memanggil-manggil ayah seperti dulu.
Suara kecilku tenggelam dengan bunyi ombak yang kuat, tapi kau ayah, tetap berpaling mencari suaraku. Ayah… hari ini aku sudah lupa suaramu.
Ayah,
Ombak yang tinggi hari ini masih ombak yang sama, yang dulunya menjadi punca aku menangis kerana tidak dapat berenang dek ombak tinggi. Tapi ayah, hari ini aku yang menahan diriku sendiri, bukan lagi ayah.
Ayah, hari ini aku sudah lupa bagaimana lembutnya tangan kasarmu yang pernah memegang erat tangan aku.
Masih aku ingat ayah, hari hujan di suatu pagi. Aku berlari ketawa dalam hujan, sambil melompat tinggi mengharapkan ayah melihat aku.
Mata itu ayah, sinar mata ayah itu masih aku ingat, kau tersenyum sambil kau duduk di tangga menunggu anakmu ini bergembira dalam hujan.
Ayah, aku ingat hari di mana kau menemani aku melihat bukit yang berkabus selepas hujan. Kau peluk erat hangatkan tubuh kecil aku yang kesejukan.
Hari ini, bukit berkabus itu masih sama. Dalam hujan yang renyai, aku mendongak dalam sejuk melihat bukit nan tinggi itu.
Cuma hari ini ayah, aku sendirian kesejukan. Berdiri di hadapan pusaramu yang indah dihiasi bunga kemboja, dan bukit yang menjadi saksi bisu rindunya aku padamu.
16Dec2024.
Rindu Ayah…
– Cahaya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit