Assalamualaikum semua. Mohon admin rahsiakan nama saya. Saya ingin ceritakan satu kejadian sebenar yang terjadi dalam keluarga saya. Memandangkan kami adik beradik semuanya tinggal berjauhan dengan keluarga kerana faktor kerja dan belajar,maka emak saya tinggal bersama-sama abang saya di kampung. Kebetulan abang saya kerja berdekatan dengan kampung kami.
Buat pengetahuan semua, bapa kami telah meninggal dunia 4tahun yang lalu dan emak hanya tinggal berdua dengan abang selama ini. Kami sudah berkali-kali mengajak emak untuk tinggal secara bergilir-gilir dengan anak yang lain tapi faham sahajalah orang tua. Dia lebih selesa untuk tinggal di rumah peninggalan arwah abah. Kami harapkan abang untuk menjaga emak yang semakin meningkat usianya dan alhamdulillah semuanya baik sahaja.
Masalahnya bermula apabila abang saya mengambil keputusan untuk berkahwin. Sebelum berkahwin, abang bertegas dia masih lagi akan tinggal dengan emak dan membawa isterinya bersama-sama. Kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.
Dari awal perkahwinan, kami dapat lihat isteri abang lebih suka menyendiri dan tidak suka bergaul dengan adik beradik yang lain. Dan perangai semakin menjadi-jadi.
Pernah satu ketika, emak ceritakan kepada saya, abang membawa emak dan isterinya ke sebuah mall yang terkemuka. Apabila keluar dari kereta,abang saya terus memimpin dan memeluk bahu emak untuk memimpinnya berjalan. Bagi keluarga kami, benda seperti itu adalah normal. Emak saya perasan isteri abang serta merta menarik muka dan menunjukkn muka menyampah. Ya Allah, hati orang tua cepat terusik.
Semasa dalam mall, abang saya mengajak ke kedai baju. Sekali lagi emak saya perasan isteri abang menarik muka seperti tidak suka abang saya melayan emak. Emak saya dengan berat hati mengalah dan menolak pelawaan abang untuk mencari baju walau telah dipaksa berkali-kali. Emak hanya mengikut mereka berdua memilih baju. Ketika abang saya tengah leka memilih baju, isterinya datang kepada emak dan menunjukkan satu baju yang sangat seksi dan dengan sinisnya memerli emak “Ummi patut pakai baju macam ni, baru moden.” Emak saya sangat terasa dengan sindiran dan ambil keputusan keluar dari kedai tersebut dan tunggu di luar sahaja dengan hatinya menangis mengenangkan perlakuan menantunya.
Isteri abang juga seorang yang sangat berat tangan untuk menolong kerja di rumah. Emak yang akan sediakan makan dan basuh segala baju di rumah mengenangkan isteri abang juga bekerja. Namun ketika isterinya cuti, tiada juga yang berubah. Isterinya hanya keluar dari bilik bila waktu makan dan siap makan terus masuk ke bilik. Kalau keluar bilik, matanya hanya tertumpu kepada telefon. Makan pakai suaminya semua emak yang sediakan.
Kesabaran seorang ibu ada batasnya. Pernah satu hari emak tidak mahu sediakan makan dan pakai abang sebab emak mahu lihat isteri abang yang uruskan. Dengan muka tidak bersalah, isterinya hanya biarkan sahaja. Abang yang kelam kabut gosok baju hendak ke kerja dan tidak sarapan sebelum ke kerja. Isterinya dengan tidak bersalah juga terus ke tempat kerja dengan tidak bersarapan.
Kerana mengenangkan kesian dengan anak menantu, emak masaklah untuk makan petang dan tunggu anak menantu untuk makan bersama apabila mereka pulang. Jam berganti jam sampai ke 10 malam abang dan isterinya belum balik. Berpuluh kali emak menelefon tapi semuanya tidak berangkat. Tepat pkul 12tgh malam, mereka pulang dan bila emak tanya dengan tanpa rasa bersalah mereka cakap da makan di kedai tadi. Emak saya dengan sedihnya masuk tidur tanpa menyentuh makanan.
Pernah satu ketika, isteri abang tidak keluar bilik dari pagi sampai petang. Memikirkan risaukan menantunya emak sanggup bawa makanan naik ke atas risaukan isteri abang tidak makan.
Dan perkara ini semua berlaku dalam tempoh sebulan pernikahan! SEBULAN!
Emak banyak pendamkan perasaannya dan hanya ceritakan kepada saya setelah dipaksa berkali-kali oleh saya setelah saya nampak emak selalu murung. Emak saya menangis nangis ceritakan semuanya dan mempersoalkan apa kesalahan dia kepda menantunya. Emak tanyakan dengan saya emak ni jahat sangat ke sampai menantunya buat macam ni.
Satu hari hanya abang yang balik ke rumah selepas kerja dan isterinya pulang ke rumah ibunya yang dekat dengan tempat kerjanya. Pasa waktu petang,abang ke rumah mertuanya untuk ambil isterinya. Abang beritahu, malam baru dia akan pulang dengan isterinya. Pada waktu malam, hujan sangat lebat beserta petir dan abang masih lagi belum pulang. Berpuluh kali emak telefon abang tapi tidak berangkat. Sama juga apabila telefon isteri abang. Emak sanggup berjaga malam seorang diri sampai pukul 1 pagi tunggu abang pulang sehingga tertidur depan tv. Abang tak pulang malam tu.
Paginya mereka masih belum pulang emak mesej abang luahkan segalanya dengan perangai abang dan isterinya. Tepat tgh hari, abang terus pulang seorang dan berlari masuk ke rumah meminta ampun dengan emak. Dia katakan isterinya pegang telefonnya malam tu dan dia xtau apa yang terjadi. Bila emak tanya ke mana isterinya, abang beritahu isterinya tak nak pulang ke rumah. Selama 2 minggu isterinya tidur di rumah ibunya manakala abang tidur di rumah emak kerana hendak menjaga emak yang tinggal keseorangan.
Emak suruh abang ke rumah mertua untuk pujuk isterinya balik dan emak sendiri mesej isteri abang meminta maaf kalau ada buat salah. Malamnya isteri abang pulang dan terus masuk ke dalam bilik tanpa sebutir perkataan maaf dengan emak.
Banyak lagi peristiwa yang terjadi dan emak saya hanya memendam rasa dengan perangai menantunya. Pada satu hujung minggu, ketika abang keluar, isterinya meminta abang hantar ke rumah ibunya. Selama berminggu-minggu dia tidak pulang dan abang saya seperti buat tidak tahu. Setelah didesak berkali-kali oleh emak, abang saya terus menangis dan ceritakan isterinya beri syarat dengannya pilih antara dia ataupun emak saya. Jikalau pilih dia, dia mahukan abang saya tinggalkan emak. Tergamak seorang manusia bersikap macam ni. Abang saya serba salah memikirkan isterinya sekarang sedang berbadan dua dan fikirkan emak yang kesihatannya tak menentu. Dan sampai sekarang confession ini ditulis, keadaan mereka masih lagi tidak berubah.
Kami adik beradik tidak masuk campur urusan kerana emak menangis merayu-rayu jangan masuk campur. Saya mohon doa kalian semua semoga Allah mudahkan dan berikan petunjuk untuk semua masalah yang berlaku dalam keluarga kami. Saya kasihankan emak saya yang kesihatannya semakin terganggu dan abang saya yng semakin tidak terurus memikirkan masalahnya.
Peringatan untuk si suami. Walau kamu sangat sayangkan isteri ingatlah ada seorang wanita yang lebih lagi sayangkan kamu yng digelar ibu,emak,mama,mummy,ummi. Dan ingatlah syurgamu masih bergantung kepada keredhaan mereka. Dan jika ada insan yang memintamu tinggalkan ibumu jika hendak bersamanya, sedarlah insan tersebut bukanlah terbaik untuk dirimu.
– Hamba Allah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit