Memilih Pasangan Hidup

Assalamualaikum kepada para pembaca. Aku tertarik dengan confession, (https://iiumc.com/kita-wanita-kita-berhak-memilih/). Jadi aku pun nak kongsikan pengalaman aku. Sebelum tu aku perkenalkan diri aku sebagai Anne. Berumur awal 30-an.

Aku pernah bertunang. Tapi tak lama. Ya, aku yang minta pertunangan itu diputuskan. Sebelum cakap aku jahat, sila baca kisah aku.

Kami berkenalan di tempat kerja tetapi di bawah syarikat yang berlainan (syarikat kami satu bangunan). Kali kedua bertemu janji si dia terus bawa aku berjumpa ibunya. Ibunya terus berkenan dan mahu hantar rombongan merisik.

Aku balik ke rumah orang tuaku untuk berbincang dan mereka pun setuju. 4 bulan perkenalan kami, kami akhirnya bertunang. Si dia berstatus duda anak dua. Kedua-dua anaknya kini menetap bersama ibu mereka.

Pada mulanya, semua baik-baik sahaja. Tapi makin lama makin aku tak yakin dengannya. Pada waktu kami bertunang, dulangnya duit aku. Dulang aku pun duit aku. Aku faham dengan keadaanya yang baru sahaja tukar kerja pada waktu itu. Kewangannya yang tidak stabil membuatkan aku berasa kasihan dan membenarkan si dia menggunakan namaku membuat pinjaman untuk membeli sebuah motosikal.

Aku bukan berasal dari keluarga yang mewah, tetapi makan pakai aku semua cukup. Hantaran 10k kami setuju untuk kumpul bersama, dia masih lagi mengeluh. Sudah aku nyatakan aku akan tampung kos perbelanjaan kenduri kawin sebelah perempuan, dia masih minta kenduri doa selamat sahaja dan mahu nikah gantung dahulu.

Keadaan mula tegang apabila aku meletakkan jawatan secara tiba-tiba (notis 24 jam) di sebabkan konflik di tempat kerja. Apabila si dia tahu, teruk aku di maki hamun. Memang si dia jenis orang yang panas baran. Aku berpindah semula ke rumah orang tuaku. Rumah sewa ku sebelum ini memang dekat dengan rumahnya, jadi senang untuknya ‘memantau’ aku atau erti lain, kongkong.

Dek kerana perangainya itu, kawan-kawanku mula menjauhkan diri dariku sehingga satu saat aku terasa aku tiada sesiapa untuk meluahkan perasaan. Pergerakan aku terbatas. Keluar makan, pergi dobi, mahupun keluar membeli barang dapur aku harus pergi dengannya jika tidak, aku akan makan makin hamunnya. Duit minyak kereta, duit makan, kebanyakannya duitku.

Selepas aku berpindah semula kerumah ibu bapaku, aku membuat keputusan untuk bekerja dengan ibu bapaku sahaja. Kerap juga si dia ke rumahku dengan alasan rindu mahu berjumpa. Tetapi di akhir pertemuan mesti dia akan meminjam sejumlah wang.

Oh ya, selain dari panas baran, si dia juga gemar meminjam wang, bukan dari aku sahaja malah dari orang lain juga. Jika di tanya gajinya ke mana, pasti jawapannya ‘hobi kami mahal’ (para pembaca pasti dah boleh agakkan?).

Si dia beberapa kali mendesak aku untuk mencari kerja, kerja di bawah orang asalkan ada slip gaji dengan alasan ibunya tidak suka menantu tidak bekerja . Aku turutkan sahaja. Merata-rata aku memohon pekerjaan. Akhirnya jumpa.

Peraturan di tempat kerja baru tidak membenarkan kami untuk menggunakan telefon bimbit dan harus menyimpannya di dalam loker yang di sediakan. Cuma waktu rehat sahaja dapat gunakannya, maka berpuluh-puluh mesej Whatsapp darinya tidak dapat ku balas. Walaupun sudah kuterangkan berulang kali, si dia masih tidak mahu percaya.

Kami kerap bertelingkah atas sebab kecil. Setiap pertelingkahan pasti si dia akan sebut yang aku ada hubungan skandal di tempat kerja dan akan mengugutku untuk memutuskan pertunangan. Bukan sekali dua dia memfitnahku, tapi setiap kali bergaduh dan setiap kali itulah aku yang akan minta maaf terlebih dahulu walaupun aku tidak melakukan kesalahan yang si dia tuduh. Hati aku makin menjauh.

Bak kata orang putih-‘The final/last straw’, aku adalah seorang wanita yang tetap pendirian, apa yang aku cakap aku akan buat. Malam itu aku terlalu penat kerana malam sebelumnya adalah ‘Dinner Night’ syarikatku. Acara itu habis pada jam 1 pagi. Keesokkan harinya aku kerja pada jam 9 pagi. Si dia memulakan perbalahan.

Aku minta izin untuk tidak bermesej kerana aku terlalu penat. Si dia menuduhku lagi yang aku keluar bersama skandal. Bukan itu sahaja, si dia mengada-adakan cerita bahawa si dia mempunyai penyiasat tidak berlesen yang juga merupakan rakan sekerjaku. Apabila aku minta bukti, si dia gagal memberi. Ternyata itu hanya satu penipuan.

Malam itu adalah kali pertama dan kali terakhir aku minta untuk putuskan pertunangan. Tiada kata-kata darinya yang mampu memujuk hatiku untuk kembali. Cukup selama ini aku menderita. Pernah juga si dia mahu naik tangan. Si dia ke rumahku memulangkan motorsikal yang masih di bawah namaku dan memaksa aku memulangkan duit yang si dia bayar selama ini.

Selepas menerima sejumlah wang, si dia tidak lagi menggangguku. Tapi ku tahu, 2k itu tidak akan bertahan lama di tangannya memandangkan si dia bukan seorang yang pandai menabung.

Alhamdulillah, aku kini lebih tenang dan senang hidup single. Kepada para pembaca doakan aku lebih tabah untuk mengharungi hidup ini (dan untuk mencari pasangan hidup walaupun aku masih trauma).

Wahai wanita di luar sana, carilah calon suami yang elok peribadi. Tak tinggal solat, hormat orang tua, hormat wanita. Selidik latar belakangnya dahulu. Jangan takut untuk letak harga hantaran yang sama nilainya dengan maruah dirimu.

– Anne (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *