Assalamualaikum. Saya tak pasti jalan cerita hidup sebahagian daripada kita sama atau tidak.
Sedikit pengenalan. Saya berusia hampir 30 tahun, rupa sederhana. Kerja, alhamdulillah cukup seadanya.
Baru-baru ni, ibu saya & kawannya cuba untuk menjodohkan saya dengan anak lelakinya.
Ibu cakap, cubalah dulu, mana tahu ada jodoh. Kalau tak cuba, macam mana nak tahu.
Jadi, dicubalah, cuma baru di peringkat beri gambar, belum ke peringkat ta’aruf lebih lanjut.
Latar belakang keluarganya baik, tetapi si dia, saya belum pasti lagi.
Sejujurnya saya ada juga buat solat sunat istikharah, berdoa tapi saya masih buntu & berbolak-balik dengan tindakan yang saya buat. Hati & akal berperang menyatakan rasionalnya.
Kadangkala hati menerima keputusan ini, tetapi akal menidakkan. Begitu juga sebaliknya, saya masih ragu-ragu. Ada masa saya seperti berserah saja dengan takdir.
Hasrat hati kecil saya cuma ingin hidup berpasangan yang bahagia hingga ke hari tua, saling melengkapi, saling menerima kekurangan & kelebihan masing-masing, bertolak ansur, hidup dalam keadaan cukup seadanya.
Pada saya, wajah yang sejuk mata memandang pun sudah memadai, dadanya terisi ilmu agama, hormat orang tua. Kiranya, apa pun sederhana saja hidup, tiada yang berlebih-lebihan. Saya lebih suka begitu.
Akal pula selalu menimbulkan persoalan. Mampukah dia ikhlas menyayangi & menerima saya seadanya?
Mampukah dia menanggung saya di zaman ekonomi semakin keras ini?
Tidakkah terburu-buru ingin berkahwin? Mampukah saya menjadi isteri yang selayaknya?
Adakah dia pasangan yang tepat?
Entahlah, persoalan ini belum ada jawapannya lagi.
Melihat kepada filem, drama, pembacaan & persekitaran sekeliling, wujud sedikit kerisauan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.
Saya tidak mahu usia perkahwinan di pertengahan jalan. Saya tidak mahu apabila ramai rakan taulan yang sudah berumahtangga, saya pun berkehendak yang sama.
Sebelum ini jika perkara ini dibincangkan, saya hanya tersenyum dan mengelakkan diri. Tetapi kali ini, saya fikir, saya patut usahakan dulu.
Jadi, saya mengharapkan pembaca yang budiman sudi membantu saya dengan pendapat/pandangan masing-masing, tips atau doa yang mungkin boleh diamalkan untuk keluar daripada kebuntuan saya ini.
Terima kasih banyak saya ucapkan.
Doakan juga saya dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.
– Anggerik Desa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Sis, dalam doa tahajud sis, cuba sis ulang2 ayat ini, andai dia terbaik untukku, Kau dekatkanlah hatiku padanya, begitu juga untuk dia, tetapi, seandainya dia akan memberi mudarat padaku dikemudian hari, Kau bawalah dia jauh dariku.. selebihnya sis kena bulatkan hati, let Allah aturkan segalanya untuk sis. Yakin itu penting yang Allah akan memberi petunjuk pada sis. Jangan risau jangan takut pada kehidupan, sebab kita ada Allah yang satu2nya tempat kita memohon untuk diberikan petunjuk.