Assalamualaikum, hai semua. Terima kasih admin seandainya dapat disiarkan. Agak panjang, tetapi saya cuba pendekkan ya, saya perlukan komen yang positif agar saya mampu kuat untuk hadapi hari mendatang.
Saya Amanda, pastinya bukan nama yang sebenar. Sudah berkahwin, juga ibu kepada anak-anak yang comel sihat sempurna dengan izinNya alhamdulillah.
Apa yang saya ingin kongsikan ialah saya sering berperang dengan perasaan sendiri, saya selalu tertanya2 tidakkah saya layak untuk mengecapi erti bahagia yang sebenar bersama insan2 yang sayangi dalam hidup.
Keluarga saya tak ramai, hanya papa, mama dan azfar, adik saya. Saya tak tahu kenapa begini takdir hidup saya, mama dan papa dari kecil terlalu sayangkan azfar sehingga saya disisih.
Kata mereka azfar bawa rezeki pada mereka, dengan lahirnya azfar papa dan mama naik pangkat, dapat beli rumah dan kereta mewah, tak ada lagi istilah serba kekurangan seperti mana mereka hadapi sejak lahirnya saya dahulu.
Saya pernah dikurung di luar rumah, tanpa dapat makan sewaktu hujan lebat pada usia saya 11 tahun dahulu hanya kerana pada ketika itu saya dan azfar yang waktu itu umurnya 3 tahun,
Kami bermain basikal di kawasan porch kereta dalam rumah tidak semena-mena azfar jatuh menyebabkan kepalanya berdarah, kata mama saya tidak pandai jaga adik.
Sewaktu saya di sekolah menengah pula, mama dan papa naik pangkat lagi menjadi ketua di sektor masing2, suatu hari, malam sedang saya leka menyiapkan kerja rumah subjek matematik.
Di usia 14 tahun, ada pelajar lelaki seusia di sekolah baru saya menalifon ke rumah dan mama angkat panggilan itu dan bila mama tahu pelajar itu kata nak bercakap dengan saya.
Mama hempas talifon, sentap saya dari meja belajar, tanggalkan pakaian saya dan lumurkan saya dengan cili padi belacan yang memang tersedia dalam peti ais untuk masakan.
Mama kata belajar tak seberapa, dah ada hati nak ada teman lelaki sedang saya tidak tahu menahu dari mana pelajar itu dapat nombor talifon rumah kami.
Saat itu saya menangis, perit, pedas, syukur di saat itu yang pada mulanya kak yah (orang gaji dirumah kami yang kami anggap seperti keluarga) tidak berani membantu saya akhirnya bila mama reda amarahnya, pujuk saya. Kak yah, amanda rindu kak yah..
Walaupun mama dan papa sepertinya tidak melayan saya sama macam mereka sayangkan azfar, tapi saya bersyukur saya cukup makan pakai, walaupun yang di berikan hanya biasa 2 bukan barangan mewah seperti azfar dapat.
Saya selalu sabarkan diri dan belajar bersungguh2 untuk dapatkan keputusan cemerlang kalau itu boleh buat mama dan papa sayangkan saya dan tidak lagi mendera saya.
Tapi apa yang saya impikan tidak menjadi kenyataan. Keputusan SPM saya hanya biasa2 tetapi masih melayakkan saya meneruskan pengajian di peringkat asasi
Hari demi hari, tahun silih berganti, saya ingat ini permulaan kebahagiaan yang saya idamkan, sepertinya mama dan papa mula sayangkan saya sebab saya dah membanggakan mereka dengan pencapaian cemerlang setiap sem sehinggalah tamat pengajian ijazah sarjana muda.
Walaupun adakalanya seperti biasa azfar adalah segala2nya bagi mama papa tetapi sejak saya keluar dari rumah untuk menyambung pengajian, mama dan papa seperti sedikit menghargai hadirnya saya dalam hidup mereka.
Bak kata pepatah, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari, usai bergraduasi saya memulakan pekerjaan sesuai dengan kelayakan, sikap mama dan papa mula berubah,
Ada kala over-protective sedangkan masa kecil dahulu kalau saya mati pun mungkin tidak terkesan. Mula kenalkan saya pada rakan sekerja mereka, semua memuji mereka dengan kejayaan saya.
Tetapi segalanya bagai direntap setelah saya bernikah, sekufu, cuma pendapatan bulanan saya lebih tinggi dari suami.
Tetapi bilamana saya terpaksa berhenti kerja, mama mula mengungkit, kalau saya dengar cakap mama untuk bernikah dengan anak rakannya, pasti hidup saya tidak susah seperti yang saya lalui sekarang.
Kata ustaz ustazah, andai ingin hidup bahagia, redha ibu bapa amatlah penting, saya selalu berfikir bagaimana dengan saya yang ibarat tidak mendapat doa mama papa malah selalu mengatakan saya membawa malang pada keluarga?
Saya minta maaf andai ada yang tidak faham dengan luahan saya, sebab saya tak sempat huraikan, ada masa terluang, emosi yang tidak terdera, saya sambung insyaaAllah..
Doakan saya selalu..
Yang selalu menagih kasih mama dan papa,
– Amanda (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit