Assalamualaikum semua. Terlebih dahulu terima kasih pada admin andai menyiarkan coretan tak seberapa dari aku. Cukup aku bahasakan diri sebagai aku. Apa yang aku nak sampaikan ini cumalah kata-kata nasihat buat semua yang sedang mengharap hadirnya malaikat kecil menghuni dalam rahim si ibu.
Aku juga pernah diuji sebegitu lebih 3 tahun. Aku tahu ada kalian yang lebih lama diuji. 3 tahun mungkin terlalu singkat masanya. Tapi aku bersyukur Allah kurniakan aku keluarga dan keluarga mentua yang sangat baik, tak pernah persoalkan isu zuriat.
Dan sejujurnya aku sendiri merasakan kami suami isteri belum bersedia sepenuhnya untuk mempunyai zuriat sendiri. Meski suami aku ada bagi hint mahukan anak, tapi aku pujuknya untuk letakkan sepenuh pengharapan hanya pada Allah. Allah akan bagi pada masa yang tepat.
Sahabat yang diuji, betulkah anak ini pengikat kasih sayang? Apakah ketiadaan anak itu menjadikanmu tidak bahagia? Pernahkah Allah menjanjikan anak dalam setiap perkahwinan? Apakah jodoh akan berpanjangan dengan kehadiran anak?
Pasti ada dari kalian yang pernah mendengar cerita mengenai penceraian selepas kehadiran anak. Setelah berusaha bertahun-tahun akhirnya berpisah selepas dikurniakan zuriat. Ada juga kehilangan suami tika hamil. Aku tidak salahkan kehadiran anak yang tidak berdosa itu. Semua itu rencana Allah. Jodoh kita sudah ditetapkan oleh Allah dari awal nyawa kita ditiupkan.
Sahabat semua. Berlapang dadalah dengan ujian ini. Kita patut rasa bertuah Allah pilih kita untuk diuji. Kuatkanlah hatimu semua. Aku tahu kalian mempunyai hati yang hebat untuk diuji seperti ini. Sentiasalah berfikiran positif. Mungkin ada nikmat lain yang Allah nak kita rasa.
Allah maha tahu sedang kita tidak. Mana tahu dengan kehadiran anak akan buat kita makin jauh dari Allah? Nauzubillah. Tapi tiada yang mustahil kan. Jadi bersangka baik sentiasa. Jangan terlalu bebankan fikiranmu dengan takdir Allah. Ingat, bila Allah nak bagi, tiada siapa boleh menghalang. Begitu juga bila Allah nak ambil, apa daya kita nak melawan takdir?
Aku sendiri Allah takdirkan jodoh aku dan suami tak panjang di saat menanti kehadiran si comel kami. Allah ambil suami ku untuk berehat di kampung akhirat. Sudah pasti inilah yang terbaik untuk aku dan anak yatim kami. Allah itukan sebaik-baik perancang.
Jadi sementara masih dipinjamkan nyawa, nikmatilah saat-saat bahagia itu hingga ke akhirnya. Tak salah berusaha, teruskanlah. Tapi janganlah berduka cita andai usaha tak menjadi. Berbalik pada qada’ dan qadar. Baik suami atau isteri, jangan salahkan satu sama lain. Jangan menghina andai salah seorang tidak mampu memberikan zuriat. Bukankah semua itu ujian dari Yang Esa.
Ya aku tahu, pasti ada suara-suara yang bertanya. Minta saja mereka doakan yang baik-baik. Mana tahu antara mereka itu ada satu doa yang Allah makbulkan. Kita sudah cukup kuat untuk lalui ujian ini. Apa sangatlah dengan suara-suara yang tak menyumbang apa-apa pun pada kita.
Sebelum-sebelum ini sudah banyak perkongsian amalan supaya dimurahkan rezeki. Mungkin semua itu juga boleh dijadikan panduan untuk sahabat semua. Aku doakan sahabat yang mengharapkan kehadiran anak, akan segera dikurniakan anak-anak yang bermanfaat pada keluarga, agama, bangsa dan negara. Berbaliklah pada Allah. Yakinlah dengan takdir Allah, itulah yang terbaik untuk kita.
Jika kita pegang pada rukun iman kita, insya Allah hati kita akan sentiasa tenang. Jika kita rasa ujian kita dah hebat, cuba renungkan nasib insan-insan yang lebih hebat diuji. Kan Allah dah kata, Allah takkan uji hambaNya di luar kemampuan. Dan Allah juga pernah kata, di setiap kesusahan pasti akan hadir kesenangan. Jadi, letakkan sepenuh pengharapan hanya pada Yang Maha Pencipta.
Aku rasa cukuplah sampai di sini. Moga kalian sentiasa tenang mengharungi segala ujian yang ditakdirkan Illahi. Syurga itu mahal kan? ;-)
– Cik Puan A (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit