Menanti Waktu Itu II

Untuk part I, (https://iiumc.com/menanti-waktu-itu/).

Assalamuaaikum.. saya pernah menghantar confession “Menanti waktu itu” beberapa minggu lepas.. Waktu itu saya sedang menanti waktu untuk diceraikan suami di mahkamah.

Ya, saya sudah pun diceraikan. Tiada kata membayangkan rasa itu. Saya tidak ingin menulis confession ini sebenarnya, tetapi apabila membaca confession “bila hati sudah mati”, saya tersentak.

Ya, suami saya juga begitu. Setelah dia melafazkan talaq pada saya, dia seolah terlepas beban yang berat.

Kami berbual di luar mahkamah, saya tanya padanya, sayang tak pada saya? kerana saya tak berpeluang bercakap dengannya berbulan lamanya..

Dia hanya menjawab, sayang, tapi dia tak tahu apa yang harus dilakukan.. katanya dia tertekan dan banyak tekanan dari orang lain.. saya sedih, inikah pengakhirannya.. jika sayang kenapa berbuat begini?

Jadi apabila membaca confession “Bila hati sudah mati”, saya sedar, mungkin beliau sebenanarnya sudah lama tidak menyayangi saya..

Satu hakikat yang sangat membebankan, menyakitkan, mengecewakan buat seorang isteri.. kerana saya masih sangat mencintai dia..

Walaupun dia meninggalkan saya dan anak2 berbulan lamanya, datang bila hanya dia inginkan, tidak mampu membuatkan saya benci padanya..

Hati ini terlalu cinta dan sayang.. bukan mudah untuk saya menerimanya dahulu menjadi suami walaupun ramai yang mengejar saya.

Tuan confessor, bagaiamanakah rasanya hati yang mati?

Saya seolah terasa putus cinta yang sangat menyakitkan.. kerana ditinggalkam suami yang amat saya sayang.. Namun, saya juga bukan isteri yang baik.

Baik, ini cerita saya.. saya pernah suatu masa dahulu, mengalami depression, terdengar suara yang menyuruh mengelar tangan..

Ia akibat rasa rendah diri, rasa tidak berguna, rasa tidak diberi perhatian suami..

Suami tidak bertanyakan masalah saya, malah suami menceritakan masalah antara kami kepada ibunya.. tiada komunikasi berkesan antara kami..

Suami juga sering membandingkan saya dengan kakaknya, dengan orang lain, lalu saya rasa saya tidak berguna, saya seolah jatuh di lubuk yang dalam, saya rasa saya ini seorang yang tidak berguna, dan tidak layak untuk suami..

Akibatnya saya menjadi tertekan, saya susah mengawal emosi, saya sering tinggikan suara pada suami kerana tertekan dan sangat penat dengan urusan keluarga dan rumah, tapi terasa tidak pernah dihargai..

Suami pantang melihat saya mengalirkan air mata, pasti dia akan memarahi saya. Aneh bukan.. air mata saya jadi punca kemarahan dia..

Suami tidak mahu mendengar masalah saya, tetapi menilai dan menghukum.. maka saya berserah pada Tuhan.. saya juga pernah tawar hati dan tak mahu teruskan perkahwinan ni.

Namun saya bangkit, saya cari diri yang hilang. Untuk anak2.. Saya mencari cinta yang hilang, saya kembali menemukan sayang dan cinta untuk suami..

Setelah beberapa lama, kini keadaan seolah berbalik, benarlah hati ini sifatnya berbolak balik,

Kini suami pula seolah berasa down dengan dirinya sendiri, mungkin kerana ketiadaan pekerjaan.. Dan masalah2 lain yang timbul.. dan dia pula yang merasakan tidak layak untuk saya.. Anehnya takdir Tuhan..

Bagi saya ini sebuah ujian.. cinta itu, jika sudah hilang, carilah ia kembali dan suburkanlah dengan baja kasih sayang.

Perkahwinan ini bukan terbina atas dasar cinta dan sayang semata, ia datang sekali dengan tanggungjawab dan amanah dari Tuhan..

Ada nyawa2 lain (anak2) yang perlukan ibu dan ayah, perlukan sebuah keluarga yang aman dan tenteram..

Suami tidak tahu betapa kecewanya anak2 melihat ayahnya datang dan pergi setiap hari.. tidak bersama2 mereka saat susah dan senang..

Tiada untuk makan bersama, tiada untuk membaca bedtime story, tiada untuk solat bersama, tiada untuk mengaji bersama, tiada untuk bermain bersama di waktu petang.. tiada figure seorang ayah untuk dicontohi.. kesannya akan dilihat berbelas tahun dari sekarang..

Entahlah, saya juga tak layak untuk menasihati..suami juga sudah pun menceraikan saya, dan saya doakan dia peroleh ketenangan dan kebahagiaan yang dia cari.

Masih berbaki beberapa bulan jika dia masih mahu kembali, namun jika tidak, saya akan lepaskan dia pergi..

Bukan mudah, di saat hati masih cinta, masih sayang, untuk melepaskan.. tapi mungkin itu yang terbaik.. saat air mata mengalir, saya bisikkan pada diri sendiri, Cinta itu milik Tuhan, Dia yang memberi, maka Dia boleh mengambilnya kembali..

Doakan suami saya pulih dari rasa sukarnya, diberi rezeki yang melimpah ruah dan pekerjaan yang baik, dan kembali pada kami yang masih menyayanginya..

Doakan masih ada sinar untuk keluarga kami bersatu kembali.

Sesungguhnya jika Tuhan mengizinkan, batu yang keras boleh menjadi lekuk dan lembut kembali..

– Haura’ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *