Assalamualaikum. Nama aku R, bekerja dalam industri penerbangan, menetap di negara Z. Suami H bekerja dalam industri perkapalan, dan seorang anak, 3 tahun.
Kami dah 6 tahun berkahwin dan jujurnya H adalah kawan aku masa kami kahwin. Tiada langsung rasa cinta masa tu, sebab aku dah penat nak kenal mana2 laki untuk melalui fasa bercinta sebelum kahwin. Jadi bila H lamar, aku terima saja lepas mak abah aku bagi restu.
Aku tak tahu ibu H restu ke tak perkahwinan kami, sebab masa melamar, ibu datang seorang diri, hanya bertemankan adik H. Aku tak fikir banyak pasal ni, tapi tak lama lepas kami kahwin, ibu H bagitahu aku tentang betapa dia lebih sukakan menantu dari selatan berbanding utara. Aku dan keluarga berasal dari utara.
Ibu juga ada menyatakan perihal dua pupu H yang juga menetap di negara Z, bekas graduan luar negara dan kerjanya setaraf dengan kerja H. Plan ibu H adalah untuk jodohkan dua pupu itu untuk H, tetapi hajatnya tak kesampaian bila H pilih aku untuk jadi isterinya. Bila aku tanya H pasal ni, H jelaskan perkara ni tak jadi sebab H tak setuju.
Aku hanyalah graduan universiti tempatan dan pemegang diploma. Aku terpaksa tolak sambung ijazah sebab taknak susahkan mak abah aku. Abah pesara kerajaan, mak kerja kerani dalam badan kerajaan serta aku ada 6 orang adik yang masih belajar masa tu. Jadi, aku nekad ke Z, seorang diri, dan alhamdulillah dah 15 tahun aku kat sini, dari bujang sampailah berkeluarga.
Rezeki yang aku dapat selama bekerja di negara Z, aku pastikan separuh darinya untuk kegunaan aku dan keluarga, manakala separuhnya lagi aku simpan. Aku tak pernah guna kad kredit atau ambil pinjaman bank. Alhamdulillah rezeki tu sentiasa cukup bagi aku.
Dari zaman bujang lagi aku dah amalkan macamni, sebab aku tahu andai tiba2 aku pulang ke Malaysia, ini sajalah bahagian aku untuk dinikmati masa tua. Aku tak pernah lokek nak belikan hadiah untuk keluarga, hulur2 pada yang memerlukan, dan sentiasa bawa keluarga jalan-jalan atau makan besar, sekali sekala bila aku pulang bercuti ke Malaysia. Jadi bila dah berkahwin aku berkongsi pulak rezeki dengan keluarga H.
Andai masa bujang aku sentiasa belikan mak abah hadiah, sekarang aku belikan juga untuk ibu H dan sentiasa dahulukan ibu H untuk pilih mana berkenan, dan apa yang tinggal itu aku beri pada mak abah aku. Aku cuba lebihkan pada ibu H, yelah dah nama pun mak mertua kita. Macam mak sendiri jugak. Asal dia happy, anak dia mestilah happy, aku pun lagi lah happy kan.
Sebelum aku mengandung, aku ditawarkan untuk bekerja dengan keluarga diRaja negara Z. Aku berpeluang bekerja kontrak sekejap dan seterusnya terpaksa menolak tawaran kerja sepenuh masa waktu tu demi keluarga.
Pada aku, andai sudah berkeluarga, agak susah nak meneruskan kerja dengan kerabat sebab jadual yang cukup padat. Tambahan pula H macam dah hint2, it’s about time for us to think about having kids. Anyway, aku tolak rezeki dengan kerabat, sebab aku fikirkan insya Allah rezeki aku pada anak dan keluarga pulak lepasni.
Aku ingat panas sampai ke petang. Lepas saja aku habis cuti beranak, anak aku masa tu 8 bulan, H hilang kerja dan punca pendapatan. Dia adalah antara pekerja yang dibuang masa recession 2017-2018. 6 bulan pertama habis semua gaji dan simpanan H digunakan.
Lepastu, setahun setengah kami survive guna simpanan dan gaji aku. Simpanan aku sepanjang 12 tahun. Sejak dari tu, berkali-kali H rasa bersalah pada aku, dan setiap kali tu dia janji akan ganti setiap sen yang dia guna daripada simpanan aku, bila dia dah dapat kerja nanti.
Pada masa susah kami ni, aku baru nampak, urusan kewangan H sangat caca marba. Aku tolong selesaikan hutang H belajar di oversea dulu, hutang ASB H, hutang rumah H di Malaysia, hutang kereta H di Malaysia yang ibu H guna, hutang kad kredit H dari 3 bank berbeza.
Duit belanja untuk ibu H dan mak abah aku, bayar gaji pekerja (masa ni kami ada perniagaan kecil tapi perniagaan tak menjadi sebab langsung tak ada untung malah aku keluarkan duit sendiri sebab kasihankan pekerja yang juga adik H), bayar sewa kedai dan bil air elektrik internet kedai, bayar sewa rumah di negara Z (sebulan dalam rm5k), bayar kereta di negara Z, bil air elektrik internet di negara Z, dan perbelanjaan keluarga.
Masa ni kami betul2 dalam keadaan susah. Tambah pulak sejak H hilang kerja, H hilang kelayakan untuk menaja diri sendiri dan anak kami. Kerja aku pula tak melayakkan untuk menaja H dan anak. Maka, setiap sebulan, aku, H dan anak akan terbang ke negara sebelah, dan pulang pada hari yang sama. H dan anak masuk kembali ke negara Z menggunakan visa pelawat.
Anak aku masa tu 9 bulan. Dan masih menyusu badan. Aku gigih temankan H sebab aku tak sampai hati biarkan H seorang handle anak kecil. Dan aku kasihankan anak aku jugak. Setiap bulan, inilah rutin kami. Penat tu tak payah cakap, tapi aku gagahkan jugak. Kami tak pernah nak mintak tolong dari keluarga kat Malaysia. Aku tak nak mak abah aku risau.
H pun aku nasihatkan jangan risaukan ibunya. Kadang2 perbelanjaan untuk ibu, mak abah kami terkurang, or missed. Tapi H akan mesej mohon diorang faham keadaan kami masa tu. Masa kesusahan kami ni, hadiah2 dah berkurang, duit hulur2 pun berkurang, lalu aku nampak siapa kawan, siapa lawan.
Awal 2019, H dapat tawaran kerja, tapi di negara N. Alhamdulillah. Walaupun gaji yang ditawarkan kurang banyak dari gaji sebelum H dibuang kerja dulu tapi sekurangnya kami ada pendapatan lebih. Anak aku pun akan mula persekolahan pada hujung tahun ni, maka two jobs are better than one. Dan H pun mula kotakan janjinya masa kami susah dahulu.
Jujurnya aku tak harap, tapi aku ambil dan simpan pemberian H. Mana tau andai kejadian dibuang kerja berulang, sekurang-kurangnya kami ada la jugak sedikit simpanan. Pada masa yang sama, since H dah takde kat negara Z, aku terpaksa mintak tolong mana2 ahli keluarga aku yang sanggup datang ke sini untuk jaga anak aku masa aku kerja. Nak upah maid, requirement nya memerlukan aku tinggal dalam rumah 2 bilik, sekurang kurangnya.
Aku masa tu mampu sewa studio saja. Menjadikan aku tak layak upah maid. Keluarga lah harapan kami. Aku sebolehnya taknak susahkan keluarga, tapi masa tu kami betul2 terdesak. Maka ibu H, mak aku, dan adik2 aku yang tengah cuti belajar, menawarkan diri. Maka bergilirlah antara yang menawarkan diri ni datang ke Z untuk jagakan anak aku.
Aku gunakan kelebihan kerja dalam industri penerbangan ni untuk bergilir bawak keluarga aku dan ibu H, untuk tengokkan anak aku kat sini. Aku elakkan untuk hantar anak aku pulang membesar kat Malaysia, sebabnya aku sendiri membesar jauh dari mak abah aku, membesar bersama tok dan pak/mak saudara.
Sampai sekarang aku merasa terpinggir dan agak independent dalam keluarga. Aku tertanya jugak kenapa cuma aku, kenapa tak adik beradik lain? Dan aku taknak anak aku melalui perasaan sama. Sekurang kurang nya aku kat sini, keluarga kami hanya tolong tengokkan anak aku sepanjang aku bekerja saja. Habis kerja, aku yang jaga. Dan aku hulur sikit untuk ahli keluarga yang datang tolong.
Kerja aku ni ikut jadual yang berubah ubah setiap bulan, dan masa kerja aku tak tentu siang malam pagi petang. Bab makan aku tak cerewet. Kalau tak sempat masak, aku beli luar. Aku tak include scope memasak pada keluarga kami yang datang tolong.
Keutamaan aku cuma anak aku. Tak perlu pening kepala pasal rumah dan lain2 hal yang melibatkan aku. Kalau diorang tolong masak dan mengemas, aku bersyukur dah. Kalau tak, samada aku masak/beli luar, dan aku kemas rumah bila off.
H pun dah terbiasa dengan cara ni sebab dia faham kerja aku sangat sangat penat. Kadang kalau kerja teruk sangat, lepas kerja, aku balik tidur tak keluar bilik, abai makan abai anak, just sekadar berehat untuk syif kerja seterusnya. Bukan aku nak kata kerja aku paling teruk, kerja semua orang pun teruk. Tapi since masa kerja aku agak tak normal, mentally and physically exhausted tu dah macam makanan bagi aku.
Baru-baru ni, kami sekeluarga pulang ke Malaysia. Sampai je KLIA, kami balik selatan. Itu memang rutin, andai kami balik Malaysia, selatan dulu kami tuju. Masa hari terakhir kami di selatan, sebelum kami berangkat balik ke utara, aku dikejutkan dengan H menangis masuk bilik, dan suruh aku kemas barang dan masuk kereta.
Aku tergamam cuba mintak H bertenang tapi H berkeras suruh aku keluar. Masa nak keluar rumah dalam keadaaan terpinga-pinga, aku cuba salam dan peluk ibu, tapi ibu elak dan katakan ibu tak pernah dengki iri hati busuk hati apa2 dengan aku.
Aku betul2 lost masa tu. Apa yang ibu cuba bagitau? H dah kat luar, dok suruh aku masuk kereta. Aku masih tak berganjak selagi aku tak salam tangan ibu. H hilang sabar, masuk semula ke rumah dan minta ibunya ulang kembali apa yang baru disampaikan pada H sebentar tadi, yang membuatkan H menangis. Aku ni tergamam tengok drama dua beranak ni. Ibu seolah olah cuba elak berhadapan dengan situasi. H desak jugak ibu untuk berkata jujur. Akhirnya ibu meluahkan apa yang dirasa.
Ibu cakap H dah berubah. Ibu merasakan aku melarang H sayang peluk cium ibu macam dulu. Dia merasakan H banyak berubah kerana aku hasut dan aku dengkikan hubungan H dan ibu. Ibu merasakan aku melayannya seperti orang gaji sepanjang sebulan keberadaannya di rumah kami di negara Z. Aku terduduk bila dengar ibu H cakap macamtu. Aku cuba bertenang dan tanya, ‘bahagian mana yang ibu rasa R ni layan ibu macam orang gaji?’
Ibu tengok muka aku dan jawab:
-Aku berak tak pam dan harapkan ibu yang pam.
-Aku suruh ibu pesan-beli makanan sendiri.
-Pernah sekali aku dan anak aku seharian tiada sakit perut cirit birit, sedangkan ibu claim dia makan apa yang aku dan anak aku makan, tapi dia seorang cirit teruk. Ibu seolah superstitious dan cuba menyalahkan aku dalam hal ni.
H langsung bangun pertahankan aku. Dia sedia maklum dengan keadaan tandas rumah kami, yang masa tu sentiasa rosak. Kadang dah pam pun, tahi keluar balik. Aku akui ada sekali ibu tegur pasal tu, dan aku cakap dah pam & agaknya terkeluar balik & aku terlepas pandang hal tu.
Aku ada maklumkan pada H pasal hal kerosakan tu. Kami dah bagitahu pihak pengurusan studio, tapi tak boleh buat apa katanya pasal tekanan pam rendah. Itu alasan diorang, tapi ibu tak clarify pun pasal ni, and it was a one time thing, terus kena macam ni ke? Seriously pasal berak tak pam?
Dan pasal pesan-beli, ia memerlukan kad & phone aku untuk pesan-beli. Mana mungkin aku suruh ibu pesan sendiri. Reti ke dia nak guna app pesan makanan dan walhal app dalam phone aku. Sumpah tak masuk akal. H pun sedia maklum dengan aku yang kalau bab makanan, aku ni sentiasa beli lebih. Dapur sentiasa stocked up. Tak pernah aku kedekut hal makanan.
Silap aku bila aku mintak ibu bagitahu pada aku apa ibu nak makan, so that aku boleh order. Tengok pamphlet mana yang ibu nak, nanti aku orderkan terus dari app untuk dia makan. Mana aku tau ibu nak makan apa. Bila ibu cakap ibu kenyang dah masak&makan, I took her words seriously dan tak order apa2. Now it became an issue for her. Masa ni aku faham apa kaum laki rasa bila tanya gf nak makan apa dan gf jawab tak lapar; IT’S A TRAP.
Bila ibu sebut je pasal ibu seorang cirit dan aku&anak takde apa2, aku menggeletar hilang sabar. Aku tanya balik, apa yang ibu maksudkan? Ibu diam. Ibu cuba cakap aku ni guna sihir ke? Ibu diam. Dan dia kemudiannya bagitahu yang pada hari dia cirit tu dia berpuasa dan berdoa pada Tuhan andai aku ni ada dengki pada dia, tunjukkanlah.
Makanya dianggap cirit tu sebagai tanda aku ni dengki pada mak mertua sendiri. Aku hilang sabar. Aku dah menangis-nangis masa tu. Fitnah aku menyihir ni aku tak boleh terima. Abah aku sakit dari muda sampai tua pasal orang menyihir rebutkan jawatan, rebutkan tanah, aku faham sakit disihir orang tu macam mana.
Sejahat-jahat aku, aku tak gila lagi nak bersekutu dengan setan. Aku menangis-nangis hilang akal sampai bersumpah kalau betul aku yang sihir mak mertua aku, Allah tarik je nyawa aku dan anak aku masatu. Ya Allah sakitnya rasa bila kena fitnah. Aku betul2 kecewa sangat masa tu. Aku hilang langsung pertimbangan.
Ibu jadi makin galak bila tengok aku hilang akal. Masa aku terduduk menangis sambil dukung anak aku, dia datang depan aku dan jari telunjuknya di tunjuk2 depan muka aku sambil cakap tak payahlah menipu. Dia tau aku ni hati busuk. Penipu. Kuat dengki. Dengkikan dia. Busuk hati pada dia. Hipokrit.
Ayat ni berulang ulang dia cakap depan anak aku dan H. H menangis suruh mak nya berhenti sambil berusaha pertahankan aku. Anak aku masa tu tutup telinga. Bingit kot pagi2 terjaga dah kena hadap drama. Aku? Menangis sambil teringat mak abah aku.
Aku kumpul kekuatan. Aku menangis mintak H untuk pulangkan aku pada mak abah cara elok. Aku suruh H balik pada ibu. ‘Syurga awak dengan ibu. Pulangkan saya balik macam mana awak mintak saya kat mak abah dulu’. Aku nekad. H terdiam tengok aku dan istighfar.
H ajak aku balik. Ditarik nya tangan aku sambil menangis. Aku turut. Sampai pintu keluar, ibu campak ke tanah duit2 pemberian H. Di menjerit-jerit pada aku yang aku perempuan tak elok. Perempuan tak layak dibuat isteri. Disuruhnya H cari isteri lain dan tinggalkan aku. Di ulang-ulang perkataan hati busuk, perempuan tak elok sebagai isteri pada aku.
Sisi lain ibu keluar masa tu. Dah macam kena rasuk pun ada. Masa ni, lama aku berdiri depan pintu, membelakangkan ibu sambil telan semua caci maki dia kat aku. Aku ingat sebutir sebutir setiap caci maki ibu kat aku. Sepatah aku tak melawan.
H start kereta, terus gerak. Terhuyung hayang kereta H bawak. Aku suruh H stop tepi. Lama kami menangis sama2. Tapi H decided untuk patah balik, sebab H nak mintak izin pulang pada ibunya. Aku tak tau apa jadi lepas tu sebab aku tak dibenarkan H untuk ikut masuk ke rumah.
Masa tu aku masih lagi dok tersedu sedu menangis dalam kereta. Anak aku terdiam kat car seat. Lepas H dah setel urusan dengan mak nya, H keluar sambil menangis. Terus kami gerak pulang ke utara. Sepanjang jalan kami banyak diam. Kejap2 kami berhenti tenangkan fikiran. Aku dengan nangis tak payah cakap la.
Jujurnya, aku trauma. Sampai sekarang, out of nowhere aku akan suruh laki aku pulangkan aku pada mak abah aku. Aku tak mintak kawin kalau macam ni drama nya. Aku rasa lepas je kejadian kena hina dengan mak mertua sendiri, aku jadi ralat dengan situasi.
Yang buat aku terpikir panjang dan ralat; sebenarnya aku dah cukup senang dengan kehidupan aku yang bujang dulu, kenapa perlu aku kahwin dan tambah masalah? Aku dah tenang aman damai cukup makan pakai, bahagia dengan family aku. Kenapa aku bodoh sangat pi terima nak menjaga anak orang? Ibu rasa H adalah anak terhebat terbaik serba serbi cukup jaga diorang anak beranak, kenapa perlu tambah aku yang bermasalah dan tak belajar tinggi ni?
Disebabkan drama ni la, aku mengaku kat H lepastu, aku menyesal kahwin. Kalau ada masalah kat H, kenapa aku yang disalahkan? Padahal aku baru hidup dengan H 6 tahun. 30 tahun lebih H bukannya aku yang jaga, kenapa aku yang disalahkan andai H ada buat silap? Dan H is not a kid anymore, for God’s sake.
Selama aku hidup, aku tak pernah berhutang, tapi H ajar aku ambik pinjaman bank, makan riba. Sebelum aku kahwin aku hidup bebas hutang berdiri atas kaki sendiri sesen pun aku tak menyusahkan family aku atau orang lain.
Ingatkan lepas kahwin katanya akan ada imam akan tunjuk jalan, guide aku ke jalan yang lebih membahagiakan. Sekali kawin dengan laki yang ajar makan riba lepastu dapat pulak pakej kena hina dengan mak mertua. Simpanan aku pun habis licin. Ni kalau mak abah aku tau hal ni, menangis aku rasa.
Aku tawar hati sungguh. Aku sedar aku orang luar tapi aku tak mintak pun nak kawin dengan H. Ambik anak orang elok2, kalau dah meluat sangat, pulangkan cara elok. Bukan dengan maki hamun. Kalau anak2 ibu pandai cakap suruh paham situasi ibu la bagai, habis aku ni takde situasi? Aku ni anak takde mak bapak ke yang sedap kena hambur macam anjing?
Memang mudah bercakap, ibu yang lahirkan dan besarkan kita, habis aku ni mak bapak aku tak besarkan ke sebabtu sesedap rasa orang luar boleh hambur macam2? Aku kecewa amat dan aku takde harap apa lagi dah dalam perkahwinan kami.
Jujurnya aku menyerah. Aku taknak tanggung dosa jadi menantu hantu tapi H tetap taknak lepaskan aku. Aku taknak H tanggung dosa sebab tersepit antara aku dan ibu, jadi eloklah aku dilepaskan.
Andai H baca nukilan aku ni, jujurlah pada situasi. Aku taknak dia menambah dosa dengan ibu sendiri. Lepaskan lah aku. Aku bukan lahir kat dunia ni untuk jaga anak orang. Biar aku jaga diri sendiri lepasni. Aku ingat dengan berkahwin ni aku akan dilindung. Bukan aku yang kena melindung. Tengok dari keadaan kita sekarang ni, jujur aku penat.
Aku mintak, kesiankan lah aku. Lepaskan lah aku. Aku taknak H tanggung dosa. Insya Allah isteri boleh cari lain. Mak kita tu la satu. Awak balik pada ibu awak syurga nan satu. Tolong. Jangan kejam seksa aku macam ni. Aku tak sanggup.
– R (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
bertabahlah saudari,sentiasa berdoa ya dan semoga Allah menyenangkan setiap urusan :)