Menantu Tetap Orang Luar

Entah dari mana patut aku mula. Perasaan marah kecewa sudah berakar di dada.

Kisahnya, dua minggu lepas mertua aku datang ke rumah aku. Seronok bukan kepalang sebab aku akan dapat merasa masakannya yang sedap dan juga keramahannya.

Maklumlah, ibu aku sendiri sudah terlantar sakit dan rasanya sudah 5 tahun aku tidak merasa air tangannya. Sungguh aku rindu.

Kedatangan mak mertua di rumahku disambut dengan keseronokan. Aku dan suami mengambilnya merentas negeri.

Beliau duduk di rumah aku lebih kurang seminggu dan selepas itu aku menghantarnya ke rumah anak perempuannya yang berada di lain daerah.

Semasa berada di rumahku, aku terdengar dia mengumpat aku dengan berbisik-bisik di talifon. Dia tidak sedar pada masa itu, aku sudah keluar bilik kerana mesyuarat telah habis. Maklumlah Bekerja Dari Rumah (BDR).

Namun aku biarkan sahaja sehingga dia selesai mengumpat. Tak lain tak bukan, dia mengumpat aku dengan anak perempuannya (kakak iparku). Selang beberapa hari, aku hantarkan dia ke rumah anak perempuannya di lain daerah.

Sewaktu membantu kakak iparku dan mak mertuaku di dapur, aku disindir dengan perkataan yang kasar dan mengguris. Kenapa?

Untuk makluman pembaca, sebelum aku berada di timur negeri ini, aku duduk berdekatan dengan mak mertuaku sehinggalah aku mendapat pekerjaan baru. Ibu mertuaku mempunyai 4 anak lelaki dan 2 perempuan (kakak ipar dan adik iparku).

Adik iparku dari muda memang banyak bermasalah. Berskandal dengan suami orang sehingga bercerai berai.

Tak cukup dengan itu, dia mengandung banyak-banyak dan mencanang ke orang kampung bahawa dia tidak mandul seperti yang dituduh bekas suaminya.

Sewaktu perbuatan ini dilakukan, aku masih tinggal berdekatan dan menerima tempiasnya. Orang kampung memandang serong kepada aku sekeluarga dan aku pernah dihina dengan air muka yang jelik oleh orang di pekan.

Tidak cukup dengan itu, bekas isteri (skandal adik iparku), mengata-ngata keturunan adik iparku termasuk suamiku yang juga abangnya.

Ibu kepada bekas isteri tersebut juga berjumpa dengan suami aku dan bertanya kemana skandal adik iparku (bekas menantunya) kerana anaknya 7 orang tidak cukup dinafkahi. Aku seorang feminist.

Walaupun ia terjadi pada keturunan suami aku, aku sangat membenci perbuatan tersebut. Abang aku juga pernah melakukan perkara serupa kepada kakak iparku, dan aku telah membuang abangku dalam kehidupan.

Kakak iparku seorang yang cukup baik dan abangku tidak layak beristerikan dia yang serba sempurna.

Berbalik kepada adik iparku, setelah berskandal dia berkahwin dan mempunyai anak yang ramai. Aku tidak pernah menegur dia, suaminya atau anak-anaknya. Cukuplah kehidupan aku dan suami aku.

Perkataan sindiran yang diungkap sewaktu aku membantu mak mertua dan kakak iparku ketika memasak adalah dengan mempertikai kedudukan aku yang mempersoal perbuatan aku.

Katanya, ‘siapa aku untuk melawan takdir? Siapa aku untuk mempersoal takdir?’.

Perbuatan adik iparku masih berbekas di hati aku. Kerana dia, keluarga aku, suami dan anak kecil aku disumpah masyarakat.

Aku juga sama sekali tidak akan bertoleransi dengan hal sebegitu kerana aku benci perbuatan tersebut yang aku kirakan jahat dan jalang bagi seorang perempuan.

Aku pernah berkata dengan mak mertuaku.. lelaki yang suka buat anak ramai, tetapi tidak reti menjaga adalah lelaki tak guna (ini tersirat bagi menantunya yang baharu yang berskandal sebelum berkahwin dan juga kepada abang aku sendiri).

Mak mertuaku pada awalnya kecewa dengan perbuatan anaknya, namun hatinya menjadi lembut setelah anak perempuannya (adik iparku) melahirkan anak.

Apabila aku berpindah ke negeri lain, menantu skandal tersebut berbuat baik dengan membantunya mengecat rumah dan kerja-kerja lain.

Selepas diperli, aku terasa sakitnya hati sehingga aku terlupa kebaikan mak mertua aku dan kebaikan aku sendiri kepadanya. Aku harap aku tidak pernah berkenalan dan berkahwin dengan anaknya. Itulah yang aku rasa. Aku cuba menjadi menantu yang baik.

Setiap bulan aku beri mak mertuaku duit melebihi mak bapak aku sendiri. Aku mendengar segala keluh kesahnya dan menasihatinya untuk perkara yang dia minta. Aku kamceng ibarat anaknya.

Aku juga saksi dia mengumpat ipar-iparku semua tapi aku tidak pernah menyampaikan.

Aku juga tahu aku pernah diumpatnya sebagaimana semua iparku terkena namun aku tidak ambil kisah.

Aku pernah ditengking didepan orang ramai tetapi aku biarkan berlalu kerana aku anggap, mak mertuaku adalah seperti ibu ku sendiri.

Aku tidak endahkan bila dia menggunakan namaku Ketika dia sendiri yang melakukan kesalahan. Contohnya aku pergi 1 kereta dengannya ke rumah saudara di bandar, tetapi sampai lambat kerana dia singgah membeli barang.

Lalu dia katakan kepada saudara tersebut, ‘maaf ye lambat.. Aton tadi singgah beli barang’. Sikitpun aku tidak pernah kecil hati dan kini, ia seperti wayang yang dimain berulang ke belakang. Aku tidak dapat memaafkannya.

Entah kenapa, aku seperti tidak boleh rasional sekarang walaupun sebenarnya, hidup ini adalah sesingkatnya dan memaafkan itu lebih memudahkan. Hidup nak tenang dan kembali ke alam lain tanpa membawa dendam.

Aku telah confront suami aku, untuk berpisah dan mengikut emaknya. Aku tak dapat terima perbuatan emaknya. Suami aku tak terima..

Buat masa ini, rancangan aku adalah tidak akan menziarahi dia. Aku telah block nombornya. Hati aku terlalu sakit.

Jika dulu aku rasa tak relevan bahawa ‘menantu tetap orang luar’.. Kini, ianya tepat mengena ke aku. Mungkin pembaca ada pandangan lain.. Siapa tahu?

– Aton (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *