Assalamualaikum semua… Hai… Ingat saya lagi? Saya, Neha. Menantu umi yang bertuah! (https://iiumc.com/menantu-ummi-yang-bertuah/). Neha harap belum terlambat lagi Neha nak ucapkan selamat menjalani ibadah Ramadhan. Tingkatkan ibadah, kurangkan juadah.
Puasa tahun ni merupakan puasa pertama neha dan wafi serta adik-adik yang lain tanpa arwah umi yang sangat kami rindui. Masih terbayang sosok seorang umi yang sentiasa senyum di muka pintu setiap kali kami balik kampung. Neha rindu umi. Sangat!…
Kali ni Neha nak kongsi apa yang umi amalkan setiap kali menyambut Ramadhan. Walaupun tak lama, tapi alhamdulillah Allah izinkan neha menyambut Ramadhan selama enam tahun bersama umi. Banyak benda sangat yang Neha belajar dari umi.
Selalunya sebelum masuk Ramadhan lagi umi dah mula kemas rumah. Seperti nak menyambut hari raya. Kami akan adakan gotong royong anak beranak lebih kurang seminggu sebelum puasa.Perabut-perabut di lap bersih. Rumput-rumput liar di celah-celah pasu bunga dicabut. Dinding rumah diberus.
Oh ya, rumah umi ni masih lagi dinding kayu. Bila hujan panas, ia akan ditumbuhi kulat. Jadi sebelum cat, kena berus dulu. Tapi kali terakhir umi cat rumah tu semasa saya kawin dengan wafi. Tiap-tiap tahun hanya berus saja. Akan nampak seperti baru cat.
Kalau nak cuci tingkap, nak gantung langsir masa ini lah. Umi tak tunggu waktu nak dekat-dekat raya. Sebab umi kata nak dekat-dekat raya ni kita sibuk nak tingkatkan ibadah. Kan dah 10 malam terakhir.
Jadi bila malam raya atau sehari sebelum raya, tak perlu nak berletih-letih dan tidur lambat sebab cuci rumah. Sebab semuanya dah settle sebelum puasa lagi. Cuma tinggal buat yang ringan-ringan saja seperti sapu lantai.. Lagipun itu kan kerja hari-hari.
Setiap kali 1 Ramadhan, cuti sekolah. Jadi umi free haritu. Umi akan ajak wafi atau mana-mana anaknya yang berkelapangan waktu itu untuk teman umi ke pasaraya untuk beli keperluan asas dapur seperti beras, kicap, sos, gula, tepung, telur, ayam mentah.
Bukan untuk memenuhi peti ais di rumah. Tapi untuk disedekahkan kepada jiran-jiran atau saudara mara yang tak berkemampuan. Umi akan sediakan dalam beberapa set. Tak lah banyak. Dalam 5-6 set macam tu ja.
Belajar al quran dan mengajarkannya. Amalan ni bukan semasa bulan puasa je umi buat, bulan-bulan lain pun dia masih buat juga. Cuma di bulan puasa umi tingkatkan lagi. Walaupun di sekolah umi guru akademik biasa, di rumah umi mengajar anak-anak jiran mengaji alquran. Tapi dalam masa yang sama juga umi masih lagi belajar alquran lagi dan lagi.
Dengan Neha sendiri yang kononnya ustazah pun umi masih minta neha betulkan bacaan umi kalau ada salah. Betapa umi seorang yang rendah hati orangnya. Neha sendiri pun tak ingat bila kali terakhir neha recheck bacaan neha dengan tok guru walaupun tiap-tiap hari neha mengajar alquran di sekolah.
Tentang baju raya sama juga seperti persiapan rumah. Semuanya disiapkan sebelum puasa lagi. Umi tak nak puasanya terganggu dengan hal-hal berkaitan raya.
Setiap kali Ramadhan, umi akan sediakan diari ramadhan. Dalam diari tersebut umi akan tulis apa yang umi nak capai sepanjang ramadhan tahun tersebut. Saya sebelum kenal umi, cita-cita saya hanyalah nak habiskan bacaan satu alquran sebulan ramadhan.
Tapi dengan umi, matlamatnya dengan alquran berbeza-beza setiap tahun. Ada tahun umi berazam nak baca ayat-ayat alquran bersama maksudnya. Ada tahun umi nak dia mampu menghafal beberapa surah pilihan dalam jangkamasa sebulan puasa.
Bangun sahur, seawal macam mana pun saya kunci jam tetap tak dapat lawan awalnya umi bangun sediakan sahur. Sampaikan kadang-kadang saya bina alasan nak tidur dengan umi kononnya nak sembang-sembang sebelum tidur, padahal sebenarnya saya nak bangun sama-sama dengan umi.. Haha. Teruk betul saya ni.
Dalam banyak-banyak kenangan dengan umi ada satu yang paling saya rindu, bila umi panggil saya ‘neha anak umi…..’. Kadang-kadang saya lambat menyahut, umi panggil lagi… ‘anak umi yang cantik’…. Kalau saya ada berdekatan dengan umi waktu itu, umi mesti akan cuit pinggang saya ke, usap pipi saya ke…
Umi pernah bagitau saya yang dia sangat gembira bila saya menjadi sebahagian dari keluarganya. Sebab umi kata akhirnya dia ada kawan, ada anak perempuan memandangkan semua anak-anak umi adalah lelaki.
Bila saya bagitau wafi yang saya sangat rindukan umi, wafi mesti gelengkan kepala. Haha.. Sebab wafi cakap saya ni sedih kehilangan umi mengalahkan anak dia sendiri.
Selepas umi meninggal hampir seminggu saya tidur di bilik umi bersama anak-anak setiap malam. Tiap-tiap hari saya minta dengan Allah supaya diberi ketenangan hati.
InsyaaAllah semoga kami anak beranak dapat meneruskan apa yang umi selalu buat sepanjang hayatnya selagi kami termampu. Amin.
– Neha (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit