Menantu Ummi Yang Bertuah

Untuk part I, (https://iiumc.com/ibu-mertuaku-sayang/).

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya Neha, menantu ummi yang bertuah. Terima kasih semua pembaca. Sesungguhnya saya membaca comment anda semua dengan senyuman, berbunga-bunga. Betapa saya sangat bersyukur dengan aturan Allah. Alhamdulillah.

Saya tertarik dengan satu comment yang minta saya kongsikan bagaimana ummi mendidik anak-anak dia. Tapi sebelum saya kongsi bagaimana ummi didik anak-anak dia, saya kongsi dulu bagaimana ibu ‘ummi’ iaitu nenek wafi didik ummi sendiri.

Seperti apa yang mak saya cakap, akhlak anak selalunya hasil acuan ibu bapanya. Begitu juga ummi saya. Akhlak ummi persis ibu ayahnya. Pertama kali saya solat jemaah di rumah tok, tok wan (mak ayah ummi), usai beri salam ummi bersalaman dengan mak ayahnya. Mak ayahnya merangkul anak mereka dengan penuh kasih sayang. Tok mencium pipi ummi. Tok wan mencium dahi dan kepala Ummi. Lama. Bersungguh. Begitu juga pada hari-hari biasa ketika saya ikut ummi pergi rumah tok tok wan. Selepas bersalaman mereka akan lakukan perkara ini.

Bayangkan pelukan ciuman yang selalu kita bagi pada anak-anak kita yang kecil dilakukan oleh tok tok wan yang berumur 70an kepada ummi yang 50an. Comel. Rasa dihargai. Rasa begitu dekat kasih sayang mereka. Selepas ummi tak ada, ini antara perkara yang ummi sering lakukan dan saya teramat rindukan pelukan dan ciuman ummi setiap kali lepas solat, setiap kali selepas bersalaman. Di saat kita mahu merungkai pelukan, malah mereka semakin merangkul erat. Allahu akbar. Neha rindu ummi.

Tok, tok wan pun seperti ummi juga. Bukan guru agama. Bukan orang yang berlatar belakang agama. Tak sekolah agama. Pendek kata mereka tak punya gelaran ustaz ustazah di pangkal nama. Tetapi sahsiah mereka sangat terpuji serta sering mendapat rujukan orang kampung. Saya kalau pergi ke rumah tok, tok wan saya sering cakap “tok, tok ada nak pesan apa² tak pada neha?”… Tok tanya “nak pesan apa?”… “apa2 je lah tok”…dan pesanan dia selalunya terkena batang hidung sendiri. “Neha, jaga solat. Jangan solat hujung2 waktu. Wafi pun, jangan asyik main game ja. Tolong jaga anak. Senang neha nak solat”. Kantoi sudah wafi suka main Game.. Haha..

Okay.. Berbalik pada ummi. Saya rasa peribahasa inggeris “actions speak louder than words” sangat tepat untuk ummi. Saya jarang dengar ummi mengarah-ngarah anak-anaknya. Selalunya ummi buat dulu, anak tengok dan anak join buat sekali. Kecuali macam wafi yang selalu ralit main game, yang tu memang ummi tegur la.. Haha..

Pernah masa mula2 saya kawen dengan wafi. Masa tu saya tak posting lagi. Jadi saya tinggal bersama wafi dan ummi. Adik2 ipar semua dah belajar luar, duduk asrama dan universiti. Jadi tinggal kami bertiga je kat rumah. Setiap kali saya bangun subuh, saya pergi toilet saya tengok ummi dah bertelekung atas sejadah. Dan nasi lemak ke, nasi minyak ke, kuih2, air kopi air teh semua dah siap atas meja. Bila ummi bangun masak ni? Malunya. Dah la tak bangun tolong. Ummi cakap dia memang bangun pukul 4 pagi setiap hari untuk masak sarapan. Pastu sempat lagi dia buat lawak.. Kalau ummi bangun lambat takut tak sempat nak siap2 pergi sekolah pula. Dan setiap kali tu juga saya minta maaf sebab tak bangun tolong. Alahai.. Malunya. Dah la saya ni menganggur masa tu.

Ummi yang pagi2 pergi kerja pula yang bangun masak nasi lemak nasi minyak bagai. Hmm.. Tapi untuk jaga hati saya supaya tak serba salah ummi cakap “takpe.. Ummi masak, nanti neha bangun neha tolong basuh2 periuk dan pinggan mangkuk”.. wafi cakap dari dia kecik sampai dah tua ni walaupun masa tu ayah dah tak ada, hanya tinggal mereka berdua je kat rumah, ummi tak pernah gagal sediakan sarapan. Adik wafi yang kedua dia kurang makan pedas. Kalau adik itu ada di rumah ummi akan sediakan 2 jenis masakan. Satu nasi goreng pedas dan satu lagi tidak pedas.

Tentang membawang pula yang ni memang saya tabik spring dengan ummi. Setiap kali saya bersembang dengan ummi sambil tengok tv..”ummi.. Ummi tau tak anak murid neha ni kannn..dia.”… Saya dah nampak air muka ummi berubah. Ummi tak suka walaupun saya mengumpat anak murid saya sendiri.. Tapi berbeza kalau saya cakap “ummi, anak murid neha ni dia selalu kacau kawan, neha nak buat apa ya ummi supaya dia duduk diam?”, ayat perbualan seperti itu lebih digemari ummi. Akan ada bermacam tips yang dia kongsi.

Nak kata saya ni sentiasa baik je dengan ummi, memang tak juga. Panas bukan sepanjang hari. Ada juga kadang-kadang hujan ditengah hari. Bermasam muka perkara biasa. Saya la tuh. Cepat terasa. Sensitif sangat. Tapi sabar je ummi layan saya. Malah ummi tak pernah balas balik. Ummi akan biar saya sejuk dulu lepas tu dia akan datang minta maaf. Setiap kali (maksudnya banyak kali) ummi datang minta maaf dulu, pasti saya akan menangis lepas tu. Salahkan diri sendiri. Bukan ummi yang salah. Neha yang salah ummi. Ummi tak salah apa pun. Kenapa ummi nak minta maaf? Kalau nak diikutkan ummi orang tua, jiwa dia mesti lagi sensitif. Tapi dia pula yang merendah diri datang minta maaf.

Pernah sekali masa tengah berpantang. Saya tinggal di rumah ummi. Anak meragam waktu malam. Jadinya saya tak cukup tidur. Bila siang anak tidur, jadi saya pun tidur hingga ke petang. Ummi kejut saya bangun. Saya masih mengantuk. Ummi kejut lagi ummi cakap tak bagus tidur lepas asar. Waktu itu saya rasa nak marah. Saya penat, dan saya rasa ummi tak faham situasi saya. Dan malam tu saya ajak wafi balik rumah kami. Sebab saya rasa saya bebas kat rumah sendiri boleh tidur sesuka hati. Tak ada orang nak kacau. Saya tau ummi terasa. Seperti biasa, ummi datang minta maaf. Sebab tak tolong saya jaga baby malam2. Sedangkan saya tau esok tu ummi nak pergi sekolah pula. Hmm.. Neha minta maaf ummi.

Ummi juga mengajar alquran di rumahnya setiap sabtu. Mengajar orang2 kampung, anak2 murid yang duduk sekeliling rumah. Dan dalam masa yang sama ummi juga pergi belajar alquran di masjid setiap jumaat. Ummi cakap dia pergi belajar alquran sebab dia nak sentiasa pastikan bacaan makhraj huruf dia sentiasa betul. Baru dia lebih yakin bila tegur bacaan murid.. Allah. Saya ni ustazah. Saya rasa kali terakhir saya belajar alquran secara talaqqi bersama tok guru ni masa sekolah menengah kot. Selebihnya dah rasa bacaan saya dah okay. Angkuhnya saya kan?

Ada lagi. Saya berjalan dengan ummi di pasar malam di kawasan rumah saya. Saya beli air soya yang letak dalam cawan tu.. Sambil berjalan saya minum. Maksudnya saya minum sambil berdiri dan berjalanlah. Dan dalam masa yang sama ada beberapa ank murid datang tegur.. “eh ustazah!”. Salam², tanya² sikit lepas tu minta diri. Dalam kereta (hanya kami berdua), ummi cakap ummi tak suka tengok saya minum sambil berdiri tadi. Malah berjalan juga. Ummi cakap tu salah. Ummi cakap neha kan ustazah. Kena tunjuk contoh yang baik. Saya cuba bela diri. Saya cakap di sekolah saya tak buat macam tu. Lagipula ustazah juga manusia. Lagipun tadi neha dahaga.

Saya ingat lagi ayat ummi, “bila kita ni orang kenal sebagai ustazah, contoh tu bukan sekadar di sekolah. Di luar sekolah juga. Cuba tengok tadi ada 2-3 orang murid datang tegur neha. Neha rasa apa yang mereka fikir kalau di sekolah neha ajar minum kena duduk, tapi mereka tengok neha minum sambil berdiri. Mereka akan keliru”…. Belum sempat saya cakap ummi tambah lagi “sebenarnya tak kisahlah kita ni ustazah ke apa.. Tapi bila namanya orang islam kita mesti kena lebih dari orang lain. Kita mesti tunjuk contoh yang baik pada orang lain. Nak bermalas2 ke, nak minum berdiri ke, ketika duduk dalam bilik sorang diri dalam bilik”…. Hmm.. Baik ummi.

Kadang2 bila kami berkumpul satu keluarga seringkali ummi cakap… Ummi dah cuba sedaya upaya didik anak-anak dia. Ummi minta maaf kalau salah didikan. Lepas tu ummi akan toleh pada saya dan wafi. Mana yang elok dari ummi, cubalah buat pada anak², mana yang rasa tak suka, tak okay, cuba cari cara lain… Ummi.. Tak ada yang tak okey dari ummi.. Semua okay.

Tentang cinta hati saya pula, wafi. Dia lelaki yang baik. Bertanggungjawab. Setiap pagi dia yang uruskan anak-anak, saya? Saya kalut siapkan diri sendiri ja.. Haha.. Ingat senang nak pakai tudung bagi cantik muncungnya? Setiap kali naik kereta bersama ummi, ummi akan duduk di depan bersama wafi. Saya selesa di belakang bersama anak-anak. Saya selalu tutup mata pura-pura tidur. Dan saya selalu dengar perbualan ummi dan wafi. Ummi selalu pesan pada wafi tentang tanggungjawab. Dan ummi selalu ingatkan wafi tentang betapa ayahnya seorang yang bertanggungjawab. Dan sambil2 ummi pesan saya nampak ummi usap2 rambut wafi. Ummi bila dia nak nasihatkan kita dia anggap kita ni macam budak kecil. Macam tadi tu lah.. Sambil usap2 kepala.. Sambil gosok2 belakang atau bahu. Kita yang dan berumur 30 tahun ni pun rasa jadi budak kecik lagi.

Saya tak berpeluang kenal dengan arwah ayah. Ayah meninggal ketika wafi tingkatan 5. Tapi saya yakin ayah juga pasti orang yang baik. Ummi baik, pasti ayah juga baik. Dari gambar, riak wajah ayah juga setenang ummi. Senyuman mereka mirip. Senyum simpul… Ummi, neha rindu tengok ummi senyum..

Akhir sekali terima kasih semua meluangkan baca confession saya yang tak berapa ini. Saya hanya terlalu rindukan ummi saya. Seminggu selepas ummi meninggal saya masih lagi tidur dengan ada gambar ummi di sebelah saya. Saya akan tengok gambar ummi sampai mata saya terlelap. Berkali wafi cakap kena redha ummi dah takde. Neha redha. Cuma neha terlalu rindukan ummi. Semoga ruh ummi tenang di sana. Wahai Allah, aku bersaksi ibu mertuaku sangat baik, menyantuni aku dengan sangat baik, dia juga hambamu yang sangat baik, Kau ampunilah segala dosa-dosanya. Tempatkanlah dalam kalangan hambamu yang beriman. Amiin.

Selamat tahun baru semua. Semoga tahun ini lebih ceria, bahagia, diberkati, bertambah ketaatan dari tahun-tahun sebelumnya.

– Neha

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *