Menantu Yang Tak Sempurna

Saya merasakan diri saya bukan seorang menantu yang baik. Terlalu banyak kekurangan dalam diri ini yang saya tidak tahu cara untuk memperbaiki.

Pak and Mak Mertua saya yang sudah berusia tinggal jauh daripada kami suami isteri, jauhnya 4-5 jam perjalanan dengan kereta.

Kami telah mencadangkan agar kedua mertua datang tinggal bersama kami supaya kami boleh menjaga sakit pening mereka tetapi mereka menolak.

Alasan mereka, rumah kami kecil dan tidak dapat menampung mereka. Memang benar rumah kami kecil, tapi itulah saja yang kami mampu.

Saya cadangkan untuk menyewa sebuah rumah berdekatan dengan rumah saya untuk mereka tapi masih ditolak.

Mertua berkeras mahu kami suami isteri berpindah balik dan tinggal dengan mereka di kampung. Tetapi kami suami isteri bekerja di ibukota dan anak anak kami semua bersekolah di sini.

Suami dan saya bekerja di ibu pejabat dan di kampung tiada ibu pejabat atau cawangan untuk kami minta pindah.

Cari kerja lain? Tiada kerja di kampung melainkan jika kerja-kerja kampung sahaja. Komitmen kami tinggi, harus bayar rumah, kereta, duit pengajian anak-anak dan macam-macam lagi.

Lagipun juga duit belanja/ bayar bil-bil rumah/ hospital mertua, kesemuanya ditanggung oleh suami. Sekiranya kami berhenti kerja dan buat kerja kampung, mana nak cari wang untuk bayar itu semua?

Saudara mara pihak suami selalu melabelkan kami sebagai anak yang tak bertanggungjawab kerana membiarkan mak bapak yang dah tua tinggal berseorangan di kampung. Sakit pening tak ada yang menjaga.

Apa segalanya yang kami buat, contohnya, melawat mertua sekerap mungkin, tanggung belanja/ bil dan lain-lain, tak pernah kami canangkan pada semua.

Jadi sebenarnya sedara mara tak tahu pun apa yang berlaku, kerana mereka pun tinggal di ibukota seperti kami.

Semua perbincangan antara mertua dan kami tidak pernah kami canangkan pada sesiapa. Mereka cuma nampak mertua berdua dikampung sendirian seolah-olah tidak ada sesiapa yang peduli.

Suami mempunyai seorang kakak yang tinggal di luar negeri kerana telah berkahwin dengan orang putih.

Walaupun kakak ini sudah bersara, dia cuma pulang ke Malaysia sekali setiap 5-7 tahun. Tetapi selalu dia hantar gambar-gambar percutiannya ke merata tempat di dunia setiap tahun.

Saya pernah memberitahu kakak tentang masalah kami dengan mertua.

Kakak mahu kami mengaji jururawat terlatih (bukan pembantu Indonesia atau warga asing) untuk menjaga mertua dikampung. Kakak tak mahu ibubapanya dihantar ke nursing home sekiranya mereka sakit.

Dia hendak ibubapanya diurus oleh jururawat terlatih dan kos harus ditanggung oleh kami. Kakak ipar pernah memberitahu saya bahawa ini kerana suami akan mewarisi segala harta mertua apabila mertua tiada kelak.

Hingga ke hari ini saya tak ceritakan hal ini kepada suami kerana menjaga hubungan suami dan kakak.

Menurut mertua, mereka telah membahagikan harta antara kedua anak mereka.

Mertua telah memberi sejumlah wang dan barang kemas kepada kakak ketika dia pulang ke Malaysia tidak lama dulu, sementara rumah dan lain-lain akan diberikan kepada suami.

Lagipun menurut mertua selama ini, kakak tak pernah memberi mereka sebarang belanja bulanan. Belanja bulanan mereka cuma datang daripada suami.

Saya tidak tahu apa jalan penyelesaian yang terbaik harus saya ambil. Apa saja yang saya lakukan semuanya tak kena. Saya sangat runsing memikirkan perkara ini.

– Bella (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *