Mencari Hikmah Dalam Ujian

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin jika siarkan luahan ini. Maaf jika luahan ini tak teratur ceritanya. Saya sebenarnya tak tahu nak mula dari mana. Tapi hati ni rasa macam tak boleh nak tampung.

Nama saya Aini dari Pantai Timur. Saya baru mendirikan rumah tangga pertengahan tahun yang lalu. Saya berkenalan dengan suami hampir tiga tahun lepas, awal perkenalan dia sudah meluahkan hasrat hati untuk memperisterikan saya namun hasratnya dihalang oleh orang tua saya kerana rupa.

Namun, niat dan usaha suami saya dipermudahkan selepas saya pulang dari umrah awal tahun lepas. Mungkin Allah makbulkan doa saya dan melembutkan hati mak dan ayah di Tanah Haram.

Kami bernikah pada pertengahan tahun lepas. Selepas kami bernikah, jarak antara perkahwinan saya dan kenduri belah suami adalah 5 bulan kemudian. Jadi keluarga saya sepakat dengan keputusan selagi belum selesai kenduri belah keluarga suami, saya tak boleh ikut suami dan perlu menetap bersama keluarga saya.

Saya akur. Atas sebab suami bekerja di ibu kota, pulanglah suami saya ke rumahnya di ibu kota dan akan pulang menjenguk saya setiap dua minggu sekali.

Saya berjanji dengan suami dan keluarga mertua akan mengikut suami bersama selepas selesai majlis belah suami kelak. Dalam masa itu, saya tak dibenarkan sekali pun untuk ke rumah mertua. Takut “Hilang bisa” sebab dah ke rumah mertua sedangkan masih belum tiba majlis hantar menantu. Tapi saya dan suami tetap akur atas kehendak orang tua.

Takdir Allah, dua minggu sebelum kenduri belah suami 5 bulan kemudian, ayah saya meninggal dunia mengejut. Meninggal dalam tidur.

Alhamdulillah urusan pengebumian arwah ayah dipermudahkan. Sebelum ini, ketika di rumah, hanya saya tinggal bersama ibu bapa. Adik beradik yang lain bekerja di luar dan ada yang masih belajar.

Saya berhenti kerja sebulan sebelum berkahwin, pertama atas sebab untuk persiapan perkahwinan, kedua sebab kesihatan mak saya. Saya memang tinggal di rumah dan menjaga mak dan ayah, lebih lebih lagi mak kurang sihat.

Selepas pemergian arwah ayah, tinggal saya bersama mak di rumah. Mak dalam edah 4 bulan 10 hari. Saya berjanji dalam hati, jika habis mak edah nanti saya akan bawa mak ikut bersama saya untuk tinggal di ibu kota bersama saya dan suami

Sebab adik beradik lain tiada yang boleh menjaga mak atas sebab kerja dan urusan masing masing. Sehingga kini hampir 9 bulan saya di kampung dan suami saya akan ulang alik pulang ke kampung saya sekali atau dua kali sebulan.

sehingga hari ini, tinggal 2 minggu lagi mak akan habis edah, saya sepakat dengan suami akan berpindah pada awal bulan depan membawa mak bersama.

Namun mak pernah berkata mak tak nak ikut sebab sayang nak tinggal rumah. Lagipun kubur arwah ayah disini, mak nak tinggal di sini.

Mak cakap takpelah, nanti mak akan minta kakak saya pulang ke kampung, tukar kerja disini dan menjaga mak saya di rumah. Dan kakak juga memang bersetuju dengan cadangan mak.

Walaupun saya berat hati nak tinggalkan mak, tapi ada sedikit lega. Sekurang²nya akan selesai sedikit kemelut dan gundah hati saya dengan kebajikan mak dan juga hubungan saya dengan keluarga suami.

Namun, sekali lagi saya diuji. Dua hari lepas, saya ke hospital untuk temujanji susulan mak. Doktor mengesahkan penyakit buah pinggang mak masuk ke tahap seterusnya dan memerlukan rawatan dialisis 3kali setiap minggu.

Sekali lagi saya rasa runsing. Saya tahu ini ujian untuk saya dan suami, tapi kadang kadang emosi saya sendiri tak mampu ditanggung. Antara tanggungjawab saya sebagai anak dan tanggungjawab saya sebagai isteri.

Saya tak sampai hati nak tinggalkan mak dirumah sendiri menjalani rawatan tanpa saya tapi dalam masa yang sama, saya sendiri sudah sangat malu dengan keluarga mertua dan ipar duai.

Selepas majlis bertandang belah suami, seingat saya baru 2 kali saya ke rumah mertua sebab mak saya seorang diri di rumah dan tiada adik beradik yang boleh pulang gantikan tempat saya sebentar.

Dalam masa yang sama saya disahkan hamil 3 bulan dan agak kuat alahan. Jadi saya tangguh hasrat untuk ke sana sebab situasi situasi ini. Saya cuma berhubung dengan mertua melalui telefon dan hanya memohon maaf atas situasi saya sekarang.

Sehingga kini, dengan kesihatan mak yang agak merosot, saya berat hati nak tinggalkan mak. Saya tak mampu nak tinggalkan mak yang memerlukan saya ditambah lagi dalam rahim saya juga mempunyai benih yang saya juga harap dia akan menjaga sakit pening saya kelak.

Tapi, saya juga sangat malu dengan suami dan keluarganya. Mereka mungkin membalas mereka faham keadaan saya tapi saya tak tahu sejauh mana mereka redha dengan keadaan sekarang lebih² lagi hanya suami saya yang selalu pulang ke kampung sedangkan saya tidak langsung ke sana.

Saya sedar, Allah menguji setiap hambanya mengikut kemampuan namun adakalanya hati ini rasa tak mampu. Namun, walaupun kadang datang rasa goyah, diri ini masih mohon keampunan atas emosi diri dan masih memohon Allah swt membenarkan saya mencari hikmah atas semua takdir dan ketentuanNya.

Doakanlah kekuatan kami semua menempuh semua liku liku ini dengan pengakhiran yang baik… InshaaAllah..

– Alis

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *