Assalamualaikum pembaca IIUM Confession. Tahun lepas saya aktif menulis di IIUM Confession, untuk mengubati kesedihan selepas kontrak kerja saya ditamatkan. Saya sertakan salah satu penulisan saya di sini untuk rujukan.
https://iiumc.com/hikmah-disebalik-ujian-3/
Sehingga kini, sudah setahun lebih saya tidak memohon sebarang pekerjaan. Syukur kerana saya sudah dikurnia harta dunia yang cukup untuk bertahan hidup.
Kerana saya sudah bebas hutang, saya boleh meneruskan hidup dengan sedikit duit simpanan, ilestari, isinar dan bakal menyusul icitra.
Saya penah dikecam di page ini ketika bagi komen kat posting orang lain pasal tak keje tapi ada rezeki. Kalau anda punya tawakkal tinggi kepada Allah dan faham 8 konsep rezeki, kisah saya tidaklah pelik.
Makan minum saya ditanggung adik beradik yang sangat mengambil berat kebajikan saya selepas mak meninggal dunia. Itulah rezeki yang Allah tetapkan kepada saya. Saya pula jenis hidup sederhana, belanja ikut keperluan, tidak boros dan suka menabung ketika bekerja.
Saya ada ramai kawan dan kenalan yang merupakan pembaca tegar dalam page ni. Jadi kisah saya ni tidaklah asing kepada mereka. Ramai juga yang jadi kawan saya selepas baca komen2 saya dan kisah yang saya tulis.
Kembali kepada topik utama, apa yang buat saya kembali nak menulis di sini kerana 2 posting yang muncul sebagai wake up call. Satu tentang galakan kepada orang muda untuk menulis ape2 sahaja perkara bermanfaat kepada masyarakat.
Kedua, seorang rakan fb yang menyuruh lakukan sesuatu sebagai bekalan selepas m4ti. Jika ada bakat menulis, tulislah apa2 yang mengajak ke arah kebaikan.
Saya pernah menyimpan hasrat menjadi penulis, tetapi tidak tercapai. Dulu saya enjoy dengan kerja saya bagi talk, sekarang saya beralih kepada penulisan kerana sudah tak bekerja.
Sejak tidak bekerja, saya banyak muhasabah diri. Mencari makna hidup dan bekal sesudah m4ti. Saya tahu, Allah dah jamin rezeki di dunia. Tapi Allah tidak jamin nasib kita di akhirat. Jadi kitalah yang kena usaha keras mencari bekalan ke negeri abadi, alam akhirat.
Melihat musibah ketika ini, ramai meninggal di usia muda membuat saya berazam untuk menjadikan sisa umur yang ada dengan melakukan perkara berfaedah kepada orang lain. Saya mahu fokus buat perkara saya minat untuk bantu orang lain.
Mudah2an ada pahala untuk saya bawa sebagai bekal ke akhirat. Inilah sedekah saya, penulisan saya. Anda semua saksi saya ketika hidup di dunia, saya menulis benda2 baik untuk orang lain.
Sebab saya nak jadi penulis, saya join group penulis. Ada iklan bengkel penulisan percuma kepada penulis baru. Saya menghantar permohonan dan karya saya buat. Akhirnya berjaya terpilih. Sayangnya, bengkel terpaksa ditangguh lantaran MCO 3.0.
Saya asah bakat penulisan dengan berkongsi pengalaman saya di akaun fb. Tentang pengalaman hidup, traveling, masakan, berkebun, juga pelbagai tips. Memandangkan saya berpendidikan sekolah agama, saya tulis topik mudah berkaitan basic agama.
Topik2 yang saya tulis biasanya terhasil selepas saya alami peristiwa tersebut atau dialami oleh kawan saya iaitu berkait masalah thoharah, haid, munakahat, konsep rezeki dll.
Ada ramai kenalan fb menghubungi saya selepas membaca penulisan saya. Ada yang berkongsi impian ingin menjadi sukarelawan selepas baca kisah saya (refer link yang saya bagi). Mahu bersedekah tetapi tidak mempunyai wang.
Suka saya ingatkan, sebelum membantu orang lain, bantulah diri sendiri dahulu. Gembirakan diri kita, jauhkan benda negatif. Wujudkan aura positif dalam hidup kita, maka mudahlah kita menyebarkan aura positif kepada orang lain.
Pembaca yang saya kasihi, Allah ciptakan makhlukNya dengan adil. Diberi kelebihan dan kelemahan. Kelemahan untuk kita atasi, kelebihan untuk kita tonjolkan. Carilah kelebihan dan minat yang anda ada.
Takdir saya tidak bernasib baik dalam bidang pekerjaan. Saya seorang penganggur. Tapi kenapa nak bersedih? Saya jadikan pengalaman hidup saya sebagai modal untuk dicerita sebagai ibrah kepada orang lain.
Saya suka masak. Jadi saya masak untuk diri sendiri dan family saya. Kemudian masak kepada golongan sasar secara percuma. Saya post di fb. Usaha saya dapat sokongan moral dan dana daripada sahabat, family dan orang luar. Saya join group2 masakan untuk cari ilmu.
Saya gigih google macam2 resepi kat fb dan youtube. Try and error. Saya modify resepi ikut cara saya dan post kat wall fb saya serta group2 masakan. Saya kongsi resepi lauk pauk, kuih muih, desert dsb.
Alangkah seronok bila lihat ramai berminat nak cuba dan kongsi resepi tersebut. Ada yang start follow dan jadi sahabat alam maya.
Saya suka berkebun, jadi saya join group berkebun. Saya belajar ilmu berkebun daripada group. Google cari info berkaitan tumbuhan, pokok ape yang saya nak tanam.
Saya rajin post pasal aktiviti saya kat wall dan group berkebun. Kat group berkebun pun saya dapat ramai sahabat alam maya. Bertukar2 pendapat dan info tentang pelbagai jenis tanaman.
Saya berminat ternak cendawan tiram tapi tak banyak info. Bila ada orang post, saya bertanya macam2 soalan, minta tips daripada otai2. Akhirnya saya cuba sendiri. Apabila berjaya, saya menulis tips penjagaan cendawan tiram kepada beginner dan post di 2 group berkebun.
Allah saje lah tahu betapa gembiranya saya bila baca komen2 ahli yang bagitahu posting tu sangat membantu dan ramai berminat nak cuba. Kadang bila orang post bertanya pasal pokok2, saya akan komen dan share pengalaman saya juga.
Pintu freezer peti sejuk kat rumah saya rosak tertanggal. Saya baiki sendiri kemudian saya buat posting ajar orang lain. Saya tunjuk cara baiki yang mudah terutama bagi wanita yang agak tidak berapa mahir hal membaiki peralatan.
Saya join group deko dan tengok pokok hiasan yang cantik. Nak beli terlalu mahal. Saya google cara gubah pokok monstera plastik untuk berjimat. Saya beli bahan, buat sendiri dan bila berjaya, saya post di akaun fb saya untuk ajar orang lain juga.
Saya tulis kisah saya berjaya atasi sifat pemalu kepada berani bercakap dikhalayak ramai. Tips zikir untuk diamalkan bagi atasi darah gemuruh dengan harapan dapat bantu mereka diluar sana yang senasib. Pernah diketawakan kerana terlalu gugup dan tak boleh bercakap di depan orang.
Didikan arwah mak tentang kewangan menjadikan saya suka topik kewangan. Kerap saya selit dalam talk saya kepada remaja. Saya juga rajin buat posting di akaun fb pasal pengurusan kewangan; cara saya berbelanja, menabung dan bagaimana bina rumah idaman zaman kecil saya.
Saya ceritakan kisah saya ini hanya sebagai contoh sedikit usaha saya buat untuk membantu orang lain. Tidak semestinya anda ikut cara saya. Gunalah cara anda sendiri. Apa kelebihan yang anda ada. Jadikan sedekah dan amal jariah berpanjangan selepas m4ti.
Kita sudah berada di akhir zaman. Pelbagai musibah dan dugaan makin menghimpit. Tidak tahu berapa lama kita hidup. Semalam kita lihat dia sihat, esok sudah tiada. Adakah kita sudah punya banyak bekalan untuk ke sana?
Bersedekah tidak perlu banyak wang. Senyum pun satu sedekah. Berkata baik, bersangka baik, menolong memudahkan urusan orang juga amalan yang mudah untuk mendapat pahala. Tidak perlu duit.
Kongsikan ape2 sahaja kebaikan dan ajaklah orang lain berbuat kebaikan. Semoga perkongsian saya ini memberi manfaat kepada pembaca.
Nabi bersabda: “sesiapa yang menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh orang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya”. (Hadis riwayat Muslim, no hadis: 1893).
– Cik Bunga Dahlia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://IIUM Confession.com/submit