Assalamualaikum. Terima kasih admin jika siarkan confession aku. Nama aku Ann. Berusia 39 tahun. Ibu tunggal anak 2. Berpisah sebab pasangan aku jatuh hati dengan orang lebih baik dari aku.
Dan hak penjagaan anak jatuh sepenuhnya pada aku tanpa sebarang bantahan dari sebelah ayah kepada anak-anak aku. Alhamdulillah. Aku bekerja disektor swasta dengan pendapatan bulanan RM3k lebih sahaja. Cukup setakat itu pengenalan tentang diri aku.
Yang aku nak confess di sini pasal sedekah. Jauh benar pengenalan aku dengan apa yang aku nak confess di sini kan? Tak mengapa, baca dulu. Ada kena mengena jugak sebenarnya.
Aku antara pembaca tegar di IIUMC. Antara yang dah banyak kali naik confession pasal hikmah bersedekah.
Jujurnya dulu-dulu aku agak terkesan bila kawan-kawan share cerita pasal hikmah yang dia orang dapat lepas bersedekah. Ceritanya lebih kurang sama dengan beberapa confession kat sini.
Antara hikmah ketara yang Allah kurniakan pada dia orang asbab dia orang selalu bersedekah, ada orang itu ini beri duit, ada yang beberapa hari lepas sedekah, dapat projek bernilai puluhan ribu ringgit.
Ada yang tiba-tiba muncul nak bayar hutang. Pendek kata rata-rata dapat ganjaran dalam bentuk wang, duit. Siapa tak suka duit kan? Sebab dengan duit kita boleh beli macam-macam. Boleh dapat apa yang kita nak.
Alhamdulillah, aku Allah rezekikan punya sikap suka sedekah juga. Sedekah duit, sedekah barang, sedekah makanan. Tapi aku tak pernah dapat macam yang kawan-kawan aku dapat mahupun yang selalu confess kat sini.
Setiap kali kawan-kawan aku bercerita dia orang dapat duit dan kaitkan dengan sedekah dia orang sebelum ni, aku mula la berkata-kata sendiri,
“Bestnya dia orang. Lepas sedekah ja ibarat dapat duit terpijak. Tapi aku tak pernah dapat apa-apa pulak.” Haa.. Gitu la aku punya fikiran jahat waktu tu. Mempertikaikan amalan yang aku buat dengan apa yang orang dapat.
Disebabkan aku mula terasa sesuatu yang berbaur negatif dalam kotak fikiranku, akhirnya aku jadi tak seronok lagi nak baca apa-apa artikel pasal hikmah bersedekah.
Aku cuma tanamkan dalam diri aku sedekah tu perbuatan baik. Teruskan bersedekah jika hati berkehendakkan begitu. Jadinya selepas itu, aku teruskan hidup seperti biasa.
Teruskan hidup seperti biasa tu bagaimana? Ya, aku masih bersedekah. Nampak orang susah selit lah setakat mampu. Beli makanan ke apa. Order food delivery aku selit extra pada penghantar makanan.
Kat tempat keja jika ada rezeki lebih aku masak atau aku belanja kawan-kawan. Dan dalam setahun dua ni, yang aku buat setiap hari ialah sedekah subuh. Setiap hari selepas subuh aku akan masukkan RM1 dalam tabung yang aku letakkan di atas peti sejuk di dapur.
Bila tiba hari Jumaat aku sedekah lebih sikit. Kadang RM5, kadang RM10, RM20. Tengok hati aku tergerak nak sedekah berapa.
Bila tiba hujung bulan, aku akan keluarkan tabung sedekah subuh dan aku bank-in ke akaun pertubuhan kendalian Ustaz Ebit. Bila hujung bulan dapat gaji, benda pertama aku buat, transfer duit sikit ke mak aku.
Sebenarnya mak aku ni orang berharta. Banyak duit, banyak tanah, banyak bendang. Kalau aku tak hulur setiap bulan, tak terkesan pun mak aku.
Mak aku selalu jugak bising bila aku masukkan duit pada dia. Disuruhnya aku simpan ja buat belanja aku anak beranak sebab aku pun gaji tak besar mana katanya.
Gitu la mak aku. Selalu membebel. Tapi sebab aku dah terbiasa buat dari zaman bujang. Gaji sikit macam mana pun aku hulur jugak kat mak dan arwah ayah aku dulu. Sebab aku serba salah nak hulur kat orang lain saat aku tak pernah hulur apa-apa kat mak aku.
Biarlah mak aku banyak duit ke apa, yang penting sebelum aku sedekah pada orang lain, aku kena hulur kat mak aku dulu. Mak aku nak buat apa pun dengan duit tu terpulang.
Tak dapat bagi banyak, bagilah setakat yang mampu. Lepas untuk beli beras sekampit, gula sekilo pun tak apa dah.
Jadi, selepas aku cerita perangai aku yang suka sedekah sana sini, aku kaya ke sekarang? Jawapannya TIDAK.
Gaji aku tetap 2 atau 3 tahun sekali baru naik. Tapi bila naik tu ada la seratus dua gitu. Setiap hujung bulan aku kena berjimat jugak. Tapi, Alhamdulillah. Perjalanan hidup aku smooth ja setakat ni.
Aku ada rakan-rakan yang selalu permudahkan urusan kerja aku. Aku ada bos yang baik dan memahami. Aku ada jiran yang baik-baik. Anak-anak pun sihat selalu.
Jika aku ada masalah, pengasuh ada ja bantu tolong jagakan anak-anak aku tanpa sebarang bayaran tambahan. Nak keluar simpang pun orang selalu ja bagi jalan. Nak parking kat mall pun mudah. Haha.. Sampai ke situ pulak aku pikir.
Dan, walaupun duit aku tak banyak, hujung bulan kat bawah tudung saji masih ada lauk ikan atau ayam, ada sayur.
Kalau kereta rosak ke apa, tak ada duit, mak aku selalu hulur duit dan aku ambil atas nama pinjam. Dapat gaji aku bayar semula. Rezeki jugak tu walaupun atas nama pinjam dengan mak sendiri kan..
Pendek kata waktu susah, ada ja bantuan cepat tiba yang Allah hantar melalui pengantara.
Bila masuk bab mak aku hulur duit waktu kecemasan bukanlah bermakna aku takda simpanan. Sikit-sikit tu adalah campur dengan beberapa utas emas yang bole digadai jika keadaan terlalu mendesak.
Dan, antara hal yang aku rasa bersyukur sangat, sehingga kini bekas suami aku tak pernah culas bayar nafkah anak-anak.
Rumah yang aku duduki sekarang dia masih bayar setiap bulan atas sebab aku menjaga anak-anak walaupun dah lebih 6 tahun kami bukan lagi suami isteri.
Kadang-kadang lepas dia jumpa anak-anak, dia akan selit juga seratus dua minta anak-anak beri pada aku.
Kalian jangan salah faham ya. Dia dah tak ada hati pada aku dan aku pun dah tak ada hati dengan dia. Kami pun masing-masing dah move on. Dia dah ada kehidupan dia sendiri dan aku pun bahagia hidup dengan anak-anak aku.
Jadi, selepas aku sedar kesilapan aku yang bersangka buruk dulu, kini setiap kali aku bersedekah aku cuma mintak Allah berkati sedekah aku dengan tunjukkan lorong hidayah pada aku untuk aku pandu hati aku menjadi manusia yang baik-baik.
Alhamdulillah, yang ini memang aku tak nafikan aku dapat rasai betapa besar rahmat Allah pada hambaNYA.
Jika dulu aku cepat melenting, mudah sakit hati dengan orang, solat pun lewat waktu, sekarang semua berubah perlahan-lahan.
Sesekali Allah kejutkan aku dan meniupkan semangat dalam roh serta jasadku untuk kuat melawan rasa mengantuk semata-mata untuk bertahjud.
Sungguh! Terasa seronok sekali dapat berbicara dengan Allah dikeheningan pagi saat orang lain diulit mimpi. Syahdu sebenarnya dengan nikmat yang Allah bagi kini. Tak kaya tapi rasa ketenangan dalam diri.
Aku kira inilah doa aku yang Allah makbul atas sebab sedekah aku barangkali. Mencari rahmat dan barakah atas segala tindakan.
Akhir kalam, secebis pesanan dari aku yang sedang mencari hidayah dan rahmat Allah, bila kita ingin berbuat apa-apa kebaikan dalam hidup, lupakanlah tentang ganjaran dunia.
Jangan jadi seperti aku satu ketika dulu yang mengharap nikmat dunia atas kebaikan (sedekah) yang aku lakukan. Bila tak dapat macam orang lain, aku patah hati.
Mujur Allah pimpin hati aku kembali. Aku pernah terlupa dan Allah telah ingatkan aku. Bila kita terlalu idamkan apa yang orang lain dapat, kita lupa nak bersyukur dengan apa yang kita ada.. Wassalam.
– Ann (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit