Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin kerana menyiarkan penulisan saya. Ini adalah penulisan kedua saya disini.
Saya Eira (bukan nama sebenar), wanita bekerjaya, berusia 30an, telah berkahwin dan memiliki cahayamata.
Kali ini saya nak kongsikan tentang pengalaman saya berkaitan cinta kaum sejenis. Kisah ini sudah lama berlalu tapi saya berharap ia dapat menjadi pengajaran kepada wanita lain.
Sedikit latar belakang saya, saya dilahirkan dalam keluarga dari sosio ekonomi yang rendah dan jahil dalam pendidikan agama.
Alhamdulillah, melalui Qadr Allah, setelah saya bekerja dan mendirikan rumahtangga, saya kini dalam keadaan yang sederhana. Tak kaya, namun tak pula miskin. Bukan alim dalam agama namun bukan juga jahil seperti dahulu.
Walaupun lahir dalam keluarga yang berpendidikan rendah, Allah menganugerahkan saya minat yang mendalam dalam pelajaran dan saya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR. Disinilah ‘turning point’ dalam kehidupan saya.
Boleh dikatakan dalam kedua-dua belah keluarga mak dan ayah, saya (setakat itu) satu-satunya anak dan anak saudara yang berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Jadi saudara-mara ramai yang mencadangkan untuk menghantar saya ke sekolah berasrama penuh dan maahad tahfiz.
Memandangkan latar belakang agama keluarga yang begitu rendah, permohonan ke mashaf tahfiz awal-awal lagi ditolak.
Dan untuk mengelakkan saya dihantar ke sekolah berasrama penuh, saya senyap-senyap turut menghantar permohonan ke sekolah elit yang mempunyai pilihan untuk tinggal di asrama atau pulang secara harian.
Saya menerima dua tawaran serentak, sekolah berasrama penuh dan sekolah elit pilihan saya. Saya berkeras untuk masuk sekolah elit sebab saya memang tak mahu tinggal di asrama.
Bermula kehidupan disekolahkan menengah. Sekolah ini merupakan sekolah 1 jantina (semua perempuan). Beberapa bulan pertama saya dah rasa agak tertekan kerana tidak pandai menyesuaikan diri.
Di sekolah rendah, saya seorang yang lasak dan banyak berkawan dengan lelaki. Bila masuk sekolah perempuan sahaja, saya tak biasa dengan perangai manja, gedik dan mengada-ngada budak-budak sekolah perempuan seperti itu.
Agak sukar nak untuk menyesuaikan diri dan saya amat memilih dalam berkawan di sekolah. Saya tak suka berkawan dengan perempuan yang tergedik-gedik dan ‘famous’ disekolah. Jadi semasa disekolah menengah, saya selalu dianggap ‘nerd’, skema dan sombong.
Di sekolah ini, pelajar-pelajar gedik akan terjerit-jerit sesama mereka bila cikgu lelaki muda dan ‘handsome’ lalu ditengah padang.
Kakak-kakak senior yang bajet ‘bagus’ pula akan menghantar coklat dan bunga (dedication) kepada adik junior yang ‘cantik, ayu dan jambu’. Semua ‘culture’ ni membuatkan saya lemas dan rimas.
Di sini juga permulaan saya mengetahui apa itu hubungan cinta sejenis. Saya sering mendengar cerita-cerita pelajar yang duduk di asrama. Saya juga melihat bagaimana kawan sebaya yang berperwatakan lelaki ‘declare’ couple dengan kawan sekelas yang lain.
Namun begitu, pada peringkat ini saya belum mengerti tentang perilaku seksual sejenis. Saya biasa mendengar perkataan lesbian, namun saya memang naif tentang perilaku seksual.
Sejujurnya, saya tidak pernah menonton video lucah atau memahami perilaku seksual sama ada antara lelaki dan wanita atau sejenis ketika disekolah menengah. Allah SWT melindungi saya, alhamdulillah.
Tamat tingkatan 5 saya bekerja dikilang bersama beberapa orang kawan baik yang lain. Macam ditakdirkan, disini pun saya bertemu dengan mereka yang minat rakan sejenis.
Disini saya bertemu dengan A, seorang gadis berperwatakan tomboy. A begitu terbuka menunjukkan minat dan cuba memikat saya dihadapan orang lain.
Pada zaman tu telefon rumah masih lagi medium utama berhubung, tiada whatapps mahupun media sosial. Maka setiap kali hari cuti, dia akan menelefon rumah.
Mak dan ayah memang tak pernah marah sebab yelah kawan perempuan yang telefon kan. Lagipun bukan saya yang menelefon, maka bil tidak tinggi.
A memang jelas menunjukkan yang dia bukan nak berkawan seperti perempuan biasa. Dia memikat seolah-olah seorang lelaki nak memikat perempuan. Dia akan belikan hadiah yang romantis, bila bercakap suka nak membelai-belai tangan dengan mesra.
Sejujurnya saya ketika itu agak mentah dan terasa diawang-awangan juga, tetapi saya ada kawan-kawan baik yang memang bagus. Mereka menasihati saya supaya menjauhi A dan mengingatkan saya tentang hukum-hakam Islam.
Disinilah kejayaan pertama saya menepis perangkap cinta sejenis iaitu dengan berada dalam lingkungan kawan-kawan yang baik dan terpuji.
Tidak lama selepas itu, saya menyambung pengajian di universiti. Di sini pun saya tak dapat lari dari jerat cinta sejenis. Bahkan di universiti, keadaannya lebih mencabar.
Pada tahun ketiga pengajian, saya memilih untuk tinggal di luar kampus atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan. Cabaran tiba apabila saya perlu membuat kajian tahun akhir, yang mana saya perlu berulang alik ke makmal dan selalu balik hingga lewat malam.
Disebabkan saya tiada pengangkutan sendiri untuk berulang alik ke rumah sewa, maka saya menerima ajakan B, seorang rakan sepengajian.
B mengajak saya tinggal sementara dibiliknya memandangkan dia tinggal seorang dan kampusnya terletak berhampiran dengan pusat pengajian kami.
Dari luaran B nampak macam gadis biasa, bersolek, bergaya dan berhias. Cuma dia agak lasak ditambah pula minatnya untuk menjadi askar selepas tamat pengajian. B menyertai Palapes di universiti dan aktif dalam sukan.
Permulaan tinggal bersamanya tiada apa yang ganjil. Kami bersembang soal pengajian, soal keluarga dan hal-hal biasa. Tetapi setelah beberapa minggu, perangainya mulai aneh.
Setiap kali dia atau saya nak ke kelas secara berasingan, dia akan memeluk saya dari belakang dan mencium pipi saya.
Saya memang agak terkejut pada awalnya tetapi saya masih bersangka baik memandangkan dia tidak pernah menunjukkan minat atau berkata-kata memikat seperti A.
B bersikap bersahaja dan tidak pernah bercakap pelik-pelik seperti A. Semakin hari B semakin selesa menyentuh dan memeluk saya. Mungkin juga kerana saya ini masih lagi naif dan tidak menunjukkan sebarang reaksi atas perilakunya.
Pada suatu malam, B meminta untuk tidur sebelah saya. Dia kata panas tidur dikatilnya dan mahu tidur dibawah beralaskan toto dengan saya.
Pada saat ni saya memang dah ada ‘gut feeling’ yang dia ni seorang yang tak ‘straight’. Suasana jadi ‘awkward’ dan tidak selesa.
Walaupun tak selesa, saya cuma mendiamkan diri dan cuba untuk tidur. Tiba-tiba B membelai rambut, tangan dan bahu saya. Dia juga cuba mencium saya dan secara automatik saya bingkas bangun.
Saya beritahu dia yang saya terlupa nak siapkan tugasan yang perlu dihantar esok hari. Saya cepat-cepat buka lampu meja dan membuka laptop untuk menyelesaikan tugasan saya.
Rasa berdebar-debar jantung ketika itu memang tak dapat dilupakan. Saya menunggu sehingga dia benar-benar tidur barulah saya beranikan diri untuk tidur.
Dan awal-awal pagi lagi saya sudah bangun dan pergi ke makmal. Saya hanya meninggalkan SMS memberitahu saya ada urusan dan akan terus balik ke rumah sewa malam itu.
Dalam tempoh beberapa hari juga saya membuat permohonan untuk tinggal di kampus kediaman lain dan Allah merezekikan saya dapat bilik terakhir di kampus tu.
Sebuah bilik single di blok terakhir kampus tersebut. Pelajar yang tinggal di situ dulu minta tukar ke kampus lain kerana bilik tersebut betul-betul bersebelahan dengan hutan belukar dan banyak monyet berkeliaran.
Kerani pejabat berulang kali tanya betulkah saya nak duduk disitu dan saya tak ragu-ragu jawab ya. Saya lebih rela diganggu monyet berbanding manusia. Kaum sejenis pula tu.
Selepas tinggal di kampus itu, saya cuba mengelak bertembung secara kerap dengan B. Saya juga merahsiakan no blok dan bilik saya dari kawan-kawan sepengajian.
Sejujurnya saya memang takut jika B datang ke bilik saya. Saya takut saya tak kuat dan akhirnya jatuh dalam perangkap cinta sejenis bersamanya.
Kisah perangkap cinta sejenis ini tak berakhir di universiti. Saya menghadapi ujian yang lebih besar ketika memulakan kerjaya.
Mungkin Allah SWT nak menguji sejauh mana kekuatan iman saya melawan nafsu cinta sejenis. InshaAllah nanti akan saya ceritakan pengalaman setelah bekerja.
Terima kasih kerana sudi membaca kisah saya, jika ada sesiapa yang mempunyai pengalaman dan tips untuk mengelak dari terjerat dalam cinta kaum sejenis silalah kongsikan sebagai pedoman dan rujukan wanita-wanita lain.
– Eira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit