Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu aku nak ucapkan terima kasih admin sebab sudi siarkan tulisan aku yang tak seberapa ini. Nama aku izza (bukan nama sebenar). Umur aku 21 tahun dan baru sahaja menamatkan diploma di sebuah universiti awam.
Manusia diciptakan untuk bergantung sesama sendiri. Memang itu fitrah kita. Kita memerlukan sesorang sebagai penguat kita untuk menjalani hidup. Tidak kiralah ibu bapa, anak, adik beradik, kawan, suami mahupun isteri. Menipulah seseorang itu bila berkata, “aku boleh hidup seorang diri.” sedangkan Nabi perlukan Siti Khadijah sebagai penguatnya ketika berdakwah menyebarkan islam, inikan pulak kita.
Lumrah bila kita berhubungan dengan seseorang, pasti berlaku salah faham, dan seterusnya bergaduh. Salah faham dan pergaduhan salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan, tetapi ianya juga boleh membawa kepada terputusnya hubungan.
Bagi aku, aku banyak menghabiskan masa di kampus dan kolej. Jadi masa aku lebih banyak bersama kawan-kawan aku berbanding keluarga. Hidup berjauhan daripada keluarga membuatkan aku lebih banyak bergantung harap dengan kawan-kawan aku. Begitu juga sebaliknya.
Aku ada dua orang kawan yang paling aku rapat. Kami kenal dari semester 1. Sehingga tamat belajar, mereka berdualah yang berada disisi aku. Sakit demam aku merekalah yang menjaga.
Sememangnya aku terlalu rapat dengan mereka. Tetapi, ada kalanya kami bergaduh. Bermasam muka. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan persahabatan. Aku seorang yang panas baran, mudah merajuk dan cengeng (kuat menangis).
Tiap kali kami bergaduh, aku adalah puncanya. Disebabkan aku jenis yang manja, mereka berdua terlalu suka mengusik aku, kadang-kadang sampai terguris hati aku. Bila aku marah aku akan diam. Mereka turut ambil inisiatif untuk diam.
Jika kedua-dua pihak berdiam diri, maka pergaduhan itu akan berlarutan. Salah satu pihak akan bercerita kepada pihak yang lain. Mereka cenderung untuk menokok tambah cerita, menjadikan mereka mangsa dimata orang lain. Ini adalah racun dalam persahabatan. (ni pengalaman aku sendiri, bergaduh dengan kawan sekelas, sehinggakan dipulau oleh kawan-kawan yang lain sehinggakan aku dan kawan aku yang dua orang tu terpaksa pindah kelas)
Berbalik kepada cerita aku tadi, memang aku akan mendiamkan diri jika marah, tapi itu hanya untuk seketika. Aku jenis yang cepat marah dan cepat sejuk. Kawan-kawan aku memang sedia tahu aku akan cari mereka kalau aku sudah sejuk. Jadi mereka lebih gemar menunggu berbanding memujuk.
Akulah orang yang datang kepada mereka mengalah dan memohon maaf walaupun mereka yang mengusik aku melebihi batas. Bagi aku orang yang mengalah tak bererti kalah. Aku mengalah kerana aku lebih sayangkan mereka dari ego aku. Ego tidak akan menemani saat aku sakit. Ego tak akan membantu aku saat aku susah.
Walaupun mereka banyak menyakitkan hati aku, suka mengusik aku, kebaikkan yang mereka buat terhadap aku tak terkira banyaknya. Mereka tak pernah minta balasan daripada aku, tak pernah mengunggkit kebaikan mereka jika kami bermasam muka.
Jadi tidak salah aku merendahkan ego, mengalah dan memohon maaf. Biarpun aku merasakan kami bergaduh bukan kerana salah aku, tetapi orang yang memohon kemaafan adalah orang yang menang. Itulah yang ibubapa aku ajarkan kepada aku.
Setiap kali kami bergaduh pasti akhirnya akan berakhir dengan sesi air mata. Masing-masing akan mengaku kesalahan, lepas tu mereka buat lagi. Sebab? Bagi mereka, satu keseronokkan untuk mereka mengusik aku, dan tengok aku merajuk. Sabar je lah dapat kawan yang jenis macam ni.
Bukan namanya sahabat kalau tidak pernah bergaduh. Tetapi, individu perlulah mengambil inisiatif untuk mengalah dan meminta maaf. Itu adalah kunci untuk sebuah perhubungan yang lebih baik.
Sekian sahaja daripada aku.
Sahabat yang cengeng…
– Izza
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit