Assalamualaikum. Jika ada rezeki disiarkan confession ini, harapnya bermanfaat untuk semua yang sedang dan akan mengandung… Semoga kalian tabah dengan dugaan yang Allah berikan dan semoga pahala ini mengalir hingga anak cucu saya.
Di sini saya senaraikan dugaan ketika mengandung dan hikmahnya. Setiap orang dugaannya tidak sama. Jika terdapat hikmah-hikmah yang tidak saya senaraikan, boleh tambah di ruang komen ye. Kita sama-sama bantu ibu-ibu untuk kuat menempuh kehidupan.
1. Alah kepada sesetengah makanan.
Hikmahnya, sekiranya ibu dianugerahkan rezeki Allah untuk menyusukan anak sepenuhnya, ibu-ibu perlu kurangkan (atau tidak terus) mengambil makanan-makanan yang berangin, beberapa jenis kacang (sekiranya anak g6pd), makanan laut (sekiranya anak eczema) dan lain-lain.
2. Tidur perlu sentiasa mengiring agar selesa.
Again, bukan semua ibu selesa mengiring. Ibu-ibu sering sakit belakang sekiranya kerap tidur mengiring bukan? Sendal belakang anda dengan bantal. Hikmahnya, sekiranya anak anda gemar ‘menggombeng’, anda akan tidur mengiring buat jangka masa yang lama. Inilah latihan sebenar.
3. Kerap bangun kencing pada waktu malam.
Hikmahnya, ini sebagai latihan untuk ibu kerap berjaga malam untuk menyusukan anak sama ada susu badan mahupun susu botol.
4. Sembelit.
Tidak kelakar ya apabila ibu-ibu kerap sembelit ketika hamil. Hikmahnya, apabila proses melahirkan anak, ibu-ibu perlu meneran seperti meneran ketika sembelit. Justeru, sekiranya anda mengalami sembelit ketika hamil, sentiasa fikir positif bahawa itu merupakan latihan meneran untuk anda kemudian hari.
5. Berjalan perlahan.
Apabila kandungan semakin membesar, anda akan susah bergerak. Berjalan dengan perlahan ketika sarat membantu anda untuk berlatih mengawal langkah ketika berpantang. Anda akan lebih peka dengan langkah kaki anda.
6. Sakit belakang.
Sebelum bersalin, sakitnya belakang menampung berat kandungan. Selepas bersalin, belakang anda mungkin akan sakit kerana kerap menyusukan anak dengan posture badan yang kurang selesa. Ibu akan selesa juga di kemudian hari.
7. Kawal emosi.
Emosi ketika mengandung memang mencabar untuk dikawal. Namun, ini boleh dijadikan latihan kepada ibu-ibu yang mengandung agar mengawal emosi selepas baby lahir. Ibu boleh mengawal diri dari depression dan stress lebih-lebih lagi bagi ibu yang baru.
Setakat ini dulu dapat saya kongsi kan. Ibu, sesungguhnya pahala kalian sangat besar. Amat besar. Kuatlah ibu untuk anak. Allah dah janjikan penghapusan dosa kepada ibu-ibu yang melahirkan anak. Suci seperti bayi itu.
Doakan saya. Anak baru dua. Cuma minta didoakan saya dikurniakan anak-anak yang soleh solehah, baik, pemurah, sentiasa sihat dan kuat semangat.
Kepada yang sedang menanti, semoga ada sinar untuk kalian. Doa saya juga untuk kalian semua. Semoga dapat merasai kegembiraan itu. Aamiin.
– Mak Anak Dua (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit