Menganggur Jauhkan Aku Dari Keluarga Dan Kawan

Assalamualaikum. Hai semua. Ini first time tulis dekat sini. Tapi, saya cuma perlukan tempat untuk meluah. Simpan pun rasanya dah penat dah.

Untuk pengetahuan korang yang membaca, saya dulunya sama seperti banyak graduan kecewa dan sedih yang menulis di sini tentang macam mana susahnya nak dapat kerja.

Penat-penat belajar, mental breakdown sana-sini, akhirnya bila dapat genggam ijazah, tak ke mana.

Rasa gembira dan lega tu cuma sekejap ya bila resume dihantar tidak dibalas,

Interview yang dihadiri tidak dilepasi kerana berdepan dengan realiti bahawa saya tidak mempunyai pengalaman bekerja (macam mana mahu ada pengalaman jika kerja je susah nak dapat).

Realiti tu umpama saya dihempas dari tempat tinggi dan hilang semua rasa gembira dan puas hati setelah berjaya menggenggam segulung ijazah.

Yang tinggal cuma rasa sakit, tidak berdaya, tidak berguna, sedih, marah dan macam-macam lagi perasaan negatif.

Bulan-bulan berganti bulan, dan juga memakan tahun, saya terus juga berusaha (walaupun saya tak nafikan ada waktunya saya putus asa), dan tempoh waktu tu saya sendiri nampak betapa banyaknya saya berubah.

Saya lebih suka menyendiri, tidak peduli sama ada ada contact dengan keluarga atau kawan dan melarikan diri jika ada orang yang datang ke rumah.

Saya cuba untuk tidak berkomunikasi dengan orang-orang selain dari yang diperlukan dan sangat resah jika saya perlu berada atau pergi ke majlis keramaian.

Saya jadi takut, saya jadi cemas, saya sangat malu dengan soalan “kerja apa?” “Tak kerja ke hari ni?” “Cuti ke hari ni?” “Dah dapat kerja ke belum?” “Cuba mohon jawatan ni.”

Ketakutan, dan perasaan malu dan cemas apabila berdepan dengan soalan begini buatkan saya nekad untuk membuang aplikasi WhatsApp dari telefon saya supaya saya tidak diganggu dengan soalan begini terutamanya dari ahli keluarga.

Kerana malu, saya juga langsung tidak menghubungi rakan-rakan saya.

Pada awal mula saya menggangur, kata-kata yang hampir setiap hari dilemparkan pada saya ialah saya seorang yang tidak berwawasan.

Hah! Mungkin betul, dan kemudian diwarnai dengan soalan tentang kerja, kerja dan kerja.

Lagilah saya jadi suka menyendiri. Selalu menangis, selalu rasa tak berguna, dan sangat sensitif apabila keluar perkataan kerja.

Sampai satu tahap, TV sebut pasal kerja pun buat saya gelisah kerana saya tahu ahli keluarga pasti akan bercakap pasal kerja selepas itu.

Kerana menggangur dan rasa tidak berguna saya pernah rasa nak lari tinggalkan segala-galanya,

Pernah hampir cuba cederakan diri sendiri, marah tak tentu pasal, pernah juga sebenarnya sakitkan diri sendiri (bukan sampai terluka).

Perkataan kerja menjadi satu “trigger” pada saya. Dan dengan orang sekeliling yang berterusan berkata mengenai kerja, saya semakin menjauh.

Apabila begini, saya sedar yang saya dah makin jauh, dan sekarang, apabila sudah bekerja pun, saya masih tak suka dengan majlis keramaian dan masih lagi tidak peduli sama ada saya hubungi keluarga atau tidak.

Saya rasa seperti seorang yang rosak, macam tiada kehidupan. Takpelah, mungkin memang saya yang bermasalah.

Ini cuma saya yang meluahkan apa yang saya rasa. Saya tidak meminta solusi, tapi, tolong doakan supaya I feel better dan rapat dengan keluarga balik.

Terima kasih sudi membaca…

– Daisy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *