Saya Nazim berumur 28 tahun genap hari ini, 21 Disember 2021.
Saya berasal dari Kedah dan coretan kisah saya pada kali ini mungkin tidaklah seberapa penting tetapi ianya tetap merupakan satu perasaan mendalam yang saya telah pendam sejak beberapa tahun lalu.
Ini bukanlah satu cerita tetapi ia sebenar-benarnya luahan hati seorang jejaka tiada rupa yang terkubur sejak sekian lama.
Boleh saya katakan bahawa kisah cinta setiap individu itu unik. Tapi bagi saya, percintaan ini sesuatu yang rumit.
Saya tak nafikan bahawa sekelumit perasaan cemburu itu terlahir dari jiwa saya apabila melihat ramai rakan-rakan sekarang sudah mula membina keluarga masing-masing,
Mendirikan mahligai cinta mereka dan dikurniakan zuriat penyinar cahaya rumah tangga, mempamerkan kebahagiaan mereka di media-media sosial.
Saya tak pernah salahkan rakan-rakan saya untuk menunjukkan kebahagiaan mereka di media, kerana saya juga percaya tidak semua kisah yang dipaparkan adalah indah belaka.
Dan saya juga percaya, perkongsian mereka di media sosial juga bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi hanya sekadar untuk tontonan suka-suka dan memori kelak semata-mata.
Namun, apa yang dirasai oleh majoriti rakan-rakan sebaya saya pada waktu sekarang ini adalah cukup jauh dari kenyataan hidup saya.
Saya boleh katakan yang saya seorang lelaki yang asyik malang dalam bercinta.
Dan maksud saya malang adalah bukan ketika bercinta, sedangkan hendak mula bercinta pun asyik ditepis dan tidak diendahkan.
Saya pernah terfikir, adakah Allah jauhkan saya dari berjumpa dengan jodoh disebabkan saya terlalu banyak melalukan maksiat atau adakah ini merupakan hanya petanda saya hanya perlu berbakti kepada ibu bapa lebih lagi?
Saya kira pilihan yang kedua itu kurang tepat, sebab alasan tidak mahu kahwin kerana mahu berbakti kepada ibu-bapa agak terkebelakang,
Kerana sebagai anak lelaki, saya tahu hubungan kita dengan ibu ayah takkan terputus walaupun telah mempunyai keluarga sendiri.
Mungkin juga pilihan pertama adalah jawapannya, jadi saya sememangnya mencuba yang terbaik untuk memperbaiki diri ke arah kebaikan.
Walaubagaimanapun, saya juga pernah terfikir, adakah saya terlalu banyak membanding-bandingan kehidupan diri saya dengan orang lain,
Sehingga saya tidak menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menjaga kesihatan jiwa saya sendiri dari memikirkan perkara-perkara sebegini?
Saya percaya jodoh adalah milik Allah tapi tetap juga perlu diusahakan oleh manusia.
Saya terlalu banyak kali berusaha untuk mendapatkan pasangan tetapi asyik ditolak mentah dan alasan setiap daripada mereka sama. Mereka hanya anggap saya sebagai kawan sahaja.
Saya merupakan seorang yang periang dan banyak telatah. Saya takut sikap saya ini yang membuatkan perempuan-perempuan selalu anggap saya sebagai kawan semata-mata dan tidak lebih dari itu.
Pedih hati ketika cinta ditolak itu hanya Allah yang tahu. Saya ada kelulusan ijazah sarjana, telahpun mula bekerja 2 tahun lalu dan mempunyai harta untuk memulakan rumah tangga.
Tapi yang saya masih lekang sekarang ialah pasangan untuk saya berkongsi perasaan cinta saya.
Adakah nikmat untuk sesetengah orang dilambatkan oleh Allah kerana masih belum sampai waktunya. Saya sangat buntu dan saya sangat perlukan nasihat daripada pembaca-pembaca semua.
Setelah ditolak hampir 5 kali, saya sudah pudar harapan untuk meluahkan perasaan lagi kepada sesiapa.
Dan kini, saya ada menaruh harapan kepada salah seorang rakan kerja saya tetpai saya masih tidak berani untuk berkata apa-apa kerana trauma masa lalu.
Saya pernah menangis kerana takut ditolak lagi dan diberikan seribu satu alasan tak masuk akal. Jadi saya pilih untuk berdiam diri sahaja.
Akhir kata, ini hanyalah perasaan yang terkubur dalam hati saya dan maaf atas segala salah silap dan kata.
Seorang teruna yang selalu mencuba,
– Nazim (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit