Assalamualaikum semua pembaca iiumc dan terima kasih banyak-banyak admin sekiranya coretan ini tersiar.
Baru-baru ini saya terbaca di news feed fb kisah seorang ibu lari dari rumah kerana merajuk dengan anaknya. Anaknya tidak memberi makan kepada ibunya disebabkan marah ibunya ada membela saka.
Tapi hanya cerita dari sebelah pihak. Dari pihak anaknya tidaklah kita ketahui. Perkara sebenar yang berlaku hanya Allah dan mereka sekeluarga yang tahu.
Spontan saya teringat ibu di kampung dan mesej whatsapp yang selalu adik hantar ke saya. Tentang karenah ibu kami yang kadang-kadang seperti anak kecil.
Bermula usia remaja saya dah biasa berjauhan dengan keluarga – duduk sekolah berasrama, sambung belajar di universiti kemudian bekerja, berkahwin seterusnya menetap di luar negeri kelahiran saya.
Dalam setahun hanya sekali dua saya balik kampung halaman, balik berhari raya. Waktu bersama keluarga terbatas, dan hanya kapal terbang capaian pengangkutan ke kampung halaman saya. Terpisah oleh lautan.
Ditakdirkan tahun lepas ibu saya ditemani adik bongsu tinggal di rumah kami suami isteri lebih kurang 3 bulan. Meraikan konvokesyen dan pertunangan adik saya, sambil jalan-jalan kata ibu.
Tempoh ini saya berpeluang melihat sendiri karenah ibu kami yang sudah tua. Ibu kami yang sekarang sangat berbeza berbanding zaman kami kanak-kanak dahulu. Ayah kami sudah meninggal dunia.
Sangat sensitif, degil tahap tak dapat bincang, prasangka buruk. Untuk memudahkan cerita, saya ringkaskan dalam bentuk poin.
1. Kesihatan
Ibu kami ada kencing manis, darah tinggi. Ada jadual temujanji doktor, kena insulin. Tapi ibu berhenti jumpa doktor, stop rawatan. Dipujuk diberi nasihat, ibu tetap dengan keputusannya.
Ibu kami peminat kopi O. Bukan masalah kopi O tapi manisnya minuman yang dibancuh. Sekilo gula bertahan dua ke tiga hari. Sehari sekurang-kurangnya 3 cawan kopi O manis, tak termasuk yang tersembunyi yang ibu bancuh senyap-senyap ketika kita sedang leka tidur atau menghadap smartphone.
2. Prasangka buruk.
Melihat rumput dan semak samun rumah jiran kami, ibu melabel jiran kami sebagai pemalas. Saya jelaskan jiran kami bukannya pemalas tapi mereka mampu mengupah tukang rumput membersihkan kawasan rumah. Ada jadual merumput dan membersihkan kawasan rumah.
Syukur sangat ibu saya tak ke rumah jiran untuk membawang. Ini bahagian yang paling saya risau sekiranya terjadi begitu.
3. Ulangan
Perangai yang berulang-ulang, perkataan yang berulang. Sebagai anak, layankan saja. Setiap hari ibu selalu risau kalau-kalau TV kami meletup, sebab dibiarkan hidup berjam-jam. Bukannya hidup 24 jam pun. Takut kipas siling jatuh sebab volume kipas nombor 5.
Setiap kali ibu menyapu rumah (walaupun tidak disuruh) sisa kotoran ibu simpan di tepi dinding rumah di tengah-tengah rumah. Pelik. Walaupun ditegur ibu tetap mengulang tabiat yang sama.
4. Lupa
Apa pun yang ibu cerita, saya dengar tapi percaya…jangan. Apatah lagi cerita yang berkaitan adik beradik ipar duai. Tabayyun cerita terlebih dahulu. Kadang-kadang kita cerita A, tapi dia faham B.
5. Hoarding disorder
Saya terbaca di fb dan ciri-ciri penyakit tu ada pada ibu saya. Sampai tahap adik saya dah buang pinggan mangkuk gelas yang dah retak sumbing ke tong sampah pun, ibu kutip dan basuh kemudian simpan semula di dapur. Ditegur sudah tentu kena marah.
Dan banyak lagi karenah lain yang menguji kesabaran kita sebagai seorang anak. Nasib baik suami jenis memahami, apapun perangai ibu, dia maintain tenang.
Saya berharap adik beradik di kampung halaman bersabar dan setia menjaga keperluan kebajikan ibu kami.
Saya simpulkan sebaik ibu kita dapat cucu pertama dan cucu seterusnya, dah naik pangkat jadi nenek, itu juga petanda akan banyak perubahan yang pada mulanya kita rasa pelik, lama kelamaan kita akan faham – oh ibu ku sudah tua rupanya.
Teruskan berbakti kepada orang tua kita, kerana kita juga akan jadi orang tua (InsyaAllah) yang perlukan perhatian orang muda.
Seorang anak,
– Ros (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit