Mengurus Harta Pusaka dan Tanggungan Arwah Suami

Disclaimer: Maaf jika tulisan ini panjang. Ini adalah pengalaman sendiri. Boleh dijadikan panduan sekiranya bermanfaat. Al-fatihah (dibaca) untuk arwah suami.

Arwah suami adalah seorang penjawat awam, guru sekolah kebangsaan. Meninggal dunia pada umur 40-an di hospital kerana pendarahan dalam kepala. Tiada penyakit semasa hidup kecuali demam/ batuk/ selsema sekali sekala.

Saya mula berurusan naik turun pejabat sebulan selepas kematian suami. Menguruskan sendiri tanpa melalui Amanah Raya atau mana-mana institusi yang menawarkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Semua tuntutan/ urusan selesai dalam masa setahun kecuali beberapa harta tak alih (tanah) yang belum diuruskan lagi kerana pusaka yang berlapis. Sedikit perkongsian mengikut pengalaman saya.

Sediakan dokumen penting (asal dan salinan). Buat banyak salinan terutamanya kad pengenalan (I/C) si mati kerana JPN akan ambil I/C selepas sijil mati dibuat. Saya bawa bersama dokumen-dokumen ini ke mana sahaja saya berurusan.

Sijil mati

I/C arwah

I/C pasangan

I/C ibu & bapa

Sijil/surat/kad nikah

I/C/ mykid dan surat beranak anak-anak & waris

Pengesahan akaun bank/ buku akaun bank (perlukan pengesahan pegawai bank untuk beberapa salinan, jika perlu)

Surat mati ibu & bapa (untuk urusan pencen, jika perlu)

Maklumat sijil takaful/ insurans

Laporan polis (jika perlu)

Permit pengebumian (jika perlu)

Laporan perubatan untuk tujuan claim takaful/ insurans, jika meninggal di hospital (mohon di unit rekod hospital selepas mengambil borang tuntutan di takaful/insurans)

Item nombor 12 boleh mohon awal sebab perlukan masa untuk hospital sediakan laporan. Dalam kes saya, laporan siap dalam masa sebulan. Harga setiap laporan (laporan am) adalah RM40+-.

Wang tunai di tangan dan dalam bank/ institusi.

Ini perkara pertama yang saya buat. Saya diberitahu supaya keluarkan duit dari bank sebelum daftar kematian. Alhamdulillah saya tahu nombor pin kad ATM suami. Wang tunai arwah dalam beg/ tabung atau mana-mana tempat juga dikira dan ditulis/ rekod.

Selepas sebulan arwah meninggal, saya uruskan akaun bank suami. Bank Islam, Maybank & CIMB. Saya mohon untuk keluarkan duit dan tutup akaun. Selesai dalam masa seminggu.

Bank Simpanan Nasional – Arwah ada sijil simpanan premium sahaja. selesai dalam masa sebulan.

Tabung haji – Penutupan akaun tabung haji perlu diuruskan oleh penama yang telah didaftarkan. Penama perlu hadir secara fizikal. Direct masuk akaun penama.

Bank Rakyat – Arwah ada akaun simpanan dan juga saham. Kena tuntut dalam masa 3 bulan/100 hari selepas kematian. Dapat claim khairat kematian RM3000. Urusan tuntutan saham mengambil masa 3 – 6 bulan. Tapi sayang, tak boleh pindah nama saham kepada waris. Saya dapat dalam bentuk tunai.

Amanah Saham Nasional – Arwah ada akaun ASB. Dapat khairat kematian secara tunai mengikut jumlah simpanan.

NUTP & Badan Ihsan

Arwah seorang guru. Boleh tuntut tabung kebajikan dan tabung khairat kematian. Untuk NUTP, kena mohon dalam masa sebulan selepas kematian.

Takaful sendiri

Arwah suami mencarum dalam Takaful Ikhlas. Semua tuntutan (simpanan dan pampasan) selesai dalam masa sebulan. Pastikan siapa penama/ wasi yang telah didaftarkan.

Takaful anak-anak

Kami ada 6 orang anak berumur 4 – 20 tahun. Semuanya ada takaful. 2 orang mencarum di bawah Takaful Ikhlas. Yang selebihnya dengan Prudential BSN. 2 orang memang berdaftar di bawah nama arwah suami dan seorang adalah joint-parent. Urusan tuntutan selesai dalam masa 6 bulan. B

ukan sahaja saya dapat pampasan, tapi, 3 orang anak dapat ‘waive’ caruman. Tambahan lagi, yang ‘joint-parent’ tu dapat manfaat income bulanan sehingga tempoh sijil matang. Terima kasih kepada ejen takaful yang menguruskan tuntutan saya ni. Semoga dipermudahkan urusannya.

SSPN Plus anak-anak

3 orang anak ada akaun ini di bawah nama arwah. Alhamdulillah dapat pampasan dan juga khairat kematian walaupun baru 4 bulan mencarum dan saya ambil pakej yang paling murah iaitu RM30/seorang setiap bulan. Boleh google untuk maklumat lanjut.

Urusan perjawatan

Arwah seorang penjawat awam. Pihak jabatan yang uruskan tuntutan berkaitan ganjaran, ex-gratia, pencen terbitan dan juga pengurusan jenazah. Banyak juga borang yang perlu di isi. Yang penting dokumen yang diperlukan lengkap. Kes saya selesai dalam masa 6 bulan.

Tunggakan gaji

Arwah meninggal tengah bulan. Jadi ada tunggakan gaji. Yang ini leceh sikit sebab kena ada surat kuasa sebab jumlahnya melebihi RM2000. Jadi kena mohon surat kuasa di Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG). Kena masuk bicara bagai dan sebagainya.

KWSP & Perkeso/ SOCSO

Arwah tiada caruman di sini. Jika ada, boleh claim khairat kematian.

Biro ANGKASA

Saya ke Biro Angkasa juga untuk semak jika ada potongan pinjaman.

Pinjaman kereta/ pinjaman peribadi/ pinjaman perumahan

Ke bank untuk semak jika ada pinjaman yang belum selesai. Jika mengambil insurans/takaful ‘auto life’, perlu uruskan takaful pula. Auto life bermakna waris tidak perlu bayar hutang yang berbaki. Jika tidak, waris kena sambung bayar hutang.

Tak banyak pun harta peninggalan arwah. Mungkin sebab tu senang urusan kot. Kalau amaun melebihi had, mungkin kena ada surat kuasa. Tak kira lah berapa jumlahnya, urusan si mati perlu diselesaikan. Yang masih ada, hidup perlu diteruskan.

Jika ingin uruskan sendiri, jangan malu untuk bertanya. Tidak dinafikan juga, semua urusan ini perlukan kos. Alhamdulillah, saya seorang penjawat awam dan berdikari. Keluarga juga banyak membantu, baik keluarga sendiri atau keluarga mertua.

Sedikit nasihat daripada saya, ambillah takaful untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak. Tak kiralah dengan syarikat mana pun dan berapa amaun pun. Sebab, dalam keadaan seperti sayalah baru saya sedar pentingnya ada caruman takaful ni.

Saya doakan mereka yang telah membantu memudahkan urusan saya semoga dilapangkan juga segala kesulitan mereka dan dikurniakan ganjaran yang seluasnya untuk mereka. Juga saya doakan mereka yang seangkatan dengan saya semoga dipermudahkan segala urusan. Aamiin.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *