Assalamualaikum semua. Sebelum memulakan pengkongsian, saya ingin ucapkan terima kasih kepada para admin kerana publishkan perkongsian saya.
Harap perkongsian ini dapat memberi iktibar, manfaat dan membuka minda serta hati mereka yang sedang diuji seangkatan dengannya.
Sedikit maklumat mengenai saya. Saya seorang gadis, dalam proses ingin berkahwin. Kehidupan saya adalah normal, tidak pernah diuji dengan sesuatu yang berat yang boleh membawa kepada depresi.
Alhamdulillah, diberikan nikmat kehidupan yang cukup sempurna di hati saya. Cukup makan pakai, pendidikan, pekerjaan yang diidamkan serta kasih sayang penuh dari keluarga dan sahabat-sahabat.
Tapi, dalam nikmat kehidupan yang diberikan, Allah menguji saya dari segi cinta seorang bernama lelaki. Saya bakal berkahwin dalam masa terdekat ini. Dan… Bakal suami saya mempunyai sejarah yang kurang enak didengar.
Bakal suami saya pernah terjebak dengan aktiviti homoseksual. Yes, he was. Past tense. Beliau dalam proses berubah dan telah meninggalkan aktiviti itu untuk sekian yang lama.
Cuma, perasaan berdosa itu sering terpalit dalam diri dia, menyebabkan dia berterus terang kepada saya agar saya boleh menilai dan membuat keputusan untuk kami meneruskan bahtera kami atau tidak.
Dan saya adalah gadis yang dia ingin nikahi, membuatkan dia ingin jujur dengan saya siapa diri dia sebenarnya.
Remuk hati saya apabila mendengarnya buat pertama kali. Tapi, ketika dia berterus-terang, saya masih boleh bertenang sedikit. Kami berbincang dengan baik. Saya tidak boleh terus menghakimi dia tanpa usul periksa.
Dia pernah, bukan bermaksud dia masih melakukannya. Dan saya juga berpegang, Allah itu menguji kita pada tahap kesukaran yang boleh dihadapi kita. Dan ini adalah ujian buat saya, ya, untuk saya dengan nikmat yang diberikan selama ini.
Kami berbicang secara matang. Beberapa soalan saya ajukan bagi menuntut kepastian. Tapi saya masih meletakkan rasional, bahawa semua manusia itu pengdosa dan selalu ada ruang taubat untuk kita semua. Saya sendiri ada dosa saya, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.
Sepanjang perbincangan kami, beberapa soalan berbentuk peribadi (dalam batas) pun saya tetap tanya, iya lah, mahu bernikah, mahu ada anak cucu, dan membina masjid dunia. Bukan nak main pondok-pondok.
Dan perbincangan tu tidak habis dalam satu sesi. Sentiasa timbul persoalan apabila perlu dan ketika kami dalam keadaan tenang dan rasional untuk berbincang. Dan, saya pegang pada pendapat, dosa dia yang lepas adalah dosa dia dengan Allah.
Saat kami kenal pun, dia dah lama tinggalkan aktiviti tu. Mulanya, saya ada marah sedikit pada dia kenapa terus terang dengan saya, sedangkan Nabi sarankan tutup aib dosa kita yang lepas bilamana kita dah bertaubat.
Tapi dia masih merasakan saya berhak untuk tahu dan dia taknak rasa saya dianiaya jika ada ujian mendatang (iyalah, mereka ini banyak ceritanya, banyak sejarahnya yang boleh muncul semula).
Saya teringat kata-kata ustazah saya, “Jika ada seseorang yang bersejarah, lihat pada sejarahnya. Adakah sejarah itu masih bersama dengannya atau sekadar tinggal sejarah.”
Aduh, macam mana kalau sejarah itu mungkin berulang? -“Allah kan ada.” Aduh, mudahnya jawapan ustazah saya. Tapi dalam juga maknanya untuk waktu macam ini. Huhu, sesungguhnya ini semua rahsia Allah.
Alhamdulillah, kami kenal dan bercinta 2 tahun sebelum bertunang (dia berterus terang selepas beberapa bulan dia melamar saya sebelum pertunangan kami). Saya kenal keluarganya, rakan-rakannya. Rakan di sosial medianya.
Ada masa bilamana, kami keluar, saya pegang dan simpan handphone dia (sebab saya ada handbag). Tak pernah sekali muncul perbuatan yang mencurigakan.. Pernah aja dia baca whatsapp bersahaja di tepi saya, dan saya terjeling latest conversation dalam whatsapp tu.
Cukup, bagi saya setakat ni, dan cukup bagi dia meyakinkan saya yang dia sudah meninggalkan aktiviti itu. Cuma, tak berani nak kata dia sudah bersih sepenuhnya.
Kita semua pendosa. Selagi hayat masih ada, kita masih boleh berdosa. Cuma, nauzubillahiminzalik jika dosa besar dia itu diulangi semula.
Dan saya pegang nasihat ustaz-ustaz yang saya hadir ceramah, “jangan mengintai-intai dosa orang lain”. Pergantungan hanya pada Allah untuk kebenaran, dan kita jangan bertidak melulu sehingga boleh memutuskan satu kepercayaan.
Kini, saya cuba menjadi kekuatan pada dia. Sentiasa mengingatkannya kasih sayang Allah pada kami. Sentiasa berdoa untuknya.
Saya juga ada menyatakan, “Allah itu Maha Hebat, tiada siapa boleh menipuNya. Jika dia ikhlas demi Allah untuk mencintai saya, maka hubungan kami akan dipelihara hingga hujung nyawa. Tetapi, jika dia ada perasaan menipu dan berpura-pura, Allah jua yang membalas perbuatan dia.
Saya tidak berkuasa ke atas dia. Malah, jika melibatkan saya dan keluarga saya, itu sudah cukup sebagai dosa berbentuk penganiayaan kepada kami. Jika mahu berdosa, berdosa lah seorang diri kerana kifarah Allah itu lebih dahsyat apabila kita menganiaya makhlukNya lain.”
Alhamdulillah, setakat ini kami baik-baik aje. Kami masih tenang dan bahagia. Tiada juga pihak yang hadir yang cuba merosakkan hubungan kami (saya tahu siapa bekas-bekas partner dia). Mengenai penyakit akibat aktiviti itu pun, alhamdulillah juga sebab tiada, dia sihat walafiat.
Dan, saya berharap moga semua yang terlibat dengan dia dahulu juga diberikan hidayah, bertaubat dan dipelihara hingga hujung hayat mereka. Allah itu ada, Allah itu bersama kita, Allah sentiasa menyayangi kita.
Doakan kami, doakan bakal suami saya kuat untuk menghadapi ujian hidup dia. Allah tidak akan menguji dia sebegitu berat jika dia tak mampu laluinya.
Dan saya sentiasa ingatkan dia untuk bersyukur dan mengambil ibrah dengan apa yang jadi. Muhasabah balik kenapa dia terlibat dengan semua tu. Dan sentiasa pandang ke depan, bagaimana dirinya sekarang.
Pesan untuk diri saya pula, “Jangan mendongak langit dengan siapa diri kita, kerana kita masih tidak dijamin syurga.” Sejarah itu ujian dia, dan dia adalah ujian saya.
Dan, alhamdulillah dan terima kasih Allah kerana menghadirkan “A” dalam hidup saya untuk beri peluang saya merasai cinta dan kasih sayangMu melalui “A”, keluarga dan sahabat-sahabat saya. Hebatnya kuasa Allah apabila Dia mengkehendaki.. Wallahualam.
Saya juga doakan kepada mereka yang pernah bersejarah, bangkit, lawan dan sentiasa kuat. Dan sentiasa berdoa kepada Allah supaya dihadirkan mereka yang penuh kasih sayang ikhlas keranaNya. Berserahlah kepada Allah agar dapat membantu kita semua.
Saya bersyukur dengan kehadiran “A”, walaupun tidak pasti ujian apa yang mendatang lagi. Ingattt, kita akan sentiasa diuji. Saya dan “A” akan diuji jua walaupun nampak macam indah. Setiap kehidupan itu akan diuji, termasuk kami nanti bila berumah tangga.
Cuma, dalam membina hubungan yang ikhlas, komunikasi itu menjadi tunggak utama. Bina kesefahaman bersama, dan sentiasa mengingati antara satu sama lain bahawa ada malaikat mencatit kiri dan kanan kita.
Dan yang pernah bersejarah, biarlah sejarah itu menjadi kenangan untuk membina diri yang lebih baik di masa akan datang. Tak pernah terlambat untuk bertaubat selagi mana diizinkan Allah. Kita jaga kita, dan Allah sentiasa sayang kita semua. InsyaaAllah.
– Nur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit