Menjadi Cikgu Di Abad Ini

Assalammualaikum. Hai semua. Nama aku Melati. Aku ingin bercerita tentang cikgu, suatu kerjaya yang acapkali menimbulkan pelbagai isu di luar sana.

Aku juga seorang cikgu, tetapi aku jarang ambil tahu tentang isu viral berkenaan guru yang tidak memberi manfaat kepada pekerjaan aku melainkan isu itu mampu menambahkan ilmu pengetahuan aku sebagai seorang guru.

Other than isu orang ramai tak puas hati guru makan gaji buta waktu PKP, guru banyak cuti atau guru gaji besar,

Bagi aku yang lebih utama sebagai seorang cikgu adalah memikirkan bagaimana hendak mendidik murid menjadi seorang manusia sebenar, bukan hanya berpandukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

Sebelum itu, aku hendak mengisahkan cerita aku sendiri dari zaman sekolah rendah, yang juga bermula dari seorang cikgu biasa, sampai sekarang aku masih ingat namanya, gayanya dan kata-katanya.

Aku gelarkan dia sebagai Cikgu Siti Khadijah. Orangnya elegan dan waktu itu, dia mengajar kelas aku. Disebabkan dia, aku bersemangat hendak belajar dan dia selalu ada di situ, tidak pernah jemu mendidik murid-muridnya.

Setiap kali murid-muridnya mendapat A dalam subjek yang diajar, ada hadiah yang diberikannya, tidak seperti cikgu subjek lain, hehe.

Budak budak mestilah suka hadiah kan, macam aku yang selalu dapat hadiah dari beliau. Aku ini dari keluarga orang susah jadi bila dapat hadiah tu, aku akan dengan bangganya bawa balik rumah serta tunjuk pada parents aku.

Cikgu Khadijah mempunyai tempat yang istimewa di hati aku dan sampai sekarang, aku sentiasa mendoakan dia, semoga dia baik-baik saja.

Kerana terinspirasi dengan beliau, aku juga berazam ingin menjadi seorang guru.

Aku juga hendak membantu anak-anak muda yang lain memaknai zaman sekolah dan mendidik mereka bukan sahaja dari segi akademik,

Tetapi juga dari aspek pengalaman hidup, manifestasi kehidupan dan paling penting mendidik mereka menjadi seorang manusia yang mampu memberi manfaat kepada diri, keluarga, agama dan masyarakat.

Pengalaman aku sendiri sebagai anak orang miskin yang bangkit mengubah nasib keluarga juga banyak membantu menguatkan aku dan ya, sehingga akhirnya aku bergraduasi dan bergelar seorang cikgu.

Apabila menjadi seorang cikgu, pada mulanya aku agak blur sebab mungkin ketika itu masih baharu namun lama-kelamaan, banyak pengalaman hidup yang aku cerna satu-persatu.

Ada murid yang nakal dan selalu membuat masalah disiplin di sekolah tetapi rupa-rupanya apabila diselidiki, mereka stres dengan situasi di rumah;

Ibu bapa bergaduh, bapa yang panas baran dan adakalanya tidak kurang juga ramai yang membantu orang tua mereka bekerja mencari wang dan anak-anak ini bila sudah merasa memegang wang sendiri, ada segelintir dalam kalangan mereka sudah tidak ada ‘rasa’ mahu ke sekolah.

Mereka kata dengan bekerja, mereka dapat membantu keluarga dan selepas dipujuk, jika itu masih menjadi pilihan mereka serta keluarga juga tidak mampu berbuat apa-apa, aku sebagai cikgu hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk mereka.

Kebanyakan murid aku adalah murid kelas hujung yang dianggap selalu bermasalah oleh guru-guru lain bahkan oleh sesetengah murid murid di sekolah, di mana mereka takut melintasi kelas itu.

Pada mulanya aku takut juga tetapi lama-kelamaan, banyak kisah terpendam yang aku tahu.

Aku nampak sisi kebaikan mereka yang mereka simpan, tidak pernah mereka tunjukkan kepada orang lain.

Ada seorang murid ini, dari Tingkatan Dua aku mengajarnya memang terkenal dengan perangai agak biadap dan kurang ajar.

Namun lama-kelamaan, aku nampak perubahan dia, sanggup berusaha untuk lulus subjek yang aku ajar walaupun perlu naik bot menyeberang sungai.

Ada juga murid perempuan yang dikatakan sudah rosak oleh sesetengah orang,

Tetapi aku tetap melayannya dengan baik kerana bagi aku, gadis muda ini berpotensi untuk lulus cemerlang kerana dia sebenarnya boleh menulis dan tentang gosip liar itu, aku abaikan kerana kebenarannya belum tentu.

Dia selalu ringan tulang membantu guru tetapi suatu hari dia tidak datang ke sekolah dalam jangka waktu beberapa minggu, dan pihak PKHEM maklumkan bahawa murid ini telah mengisi borang berhenti sekolah. Tahu tak apa aku rasa?

Aku rasa gagal menjadi seorang guru dan impian aku untuk memastikan dia lulus dalam peperiksaan berkecai begitu sahaja, sebagaimana retaknya hati aku. Aku menangis, ya laju saja air mata aku mengalir keluar.

Aku selalu mengikuti perkembangan dia menerusi rakan-rakan sekelasnya dan alhamdulillah, dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang comel, secantik ibunya.

Begitu juga pengalaman aku mengajar seorang murid perempuan yang dalam situasi anxiety dan ada depression, ternyata tidak mudah ya.

Aku selalu berpesan dengan rakan sekelas mereka, jangan berteriak kuat dan tolong jaga perangai kalau murid ini ada.

Ramai yang menyangka murid ini tidak akan mampu menghabiskan sekolah sehingga ke peperiksaan SPM ya tetapi ya, dia mampu dan alhamdulillah, lulus dengan agak baik.

Aku bangga dan bersyukur dia mampu melalui peperiksaan dengan tenang, padahal aku sangat risaukan dia.

Dan jangan tidak percaya, murid kelas hujung ini jika benar-benar mempercayai cikgu, mereka akan berikan sepenuh kepercayaan untuk digalas.

Peperiksaan SPM terbaru ini, hampir semua lulus peperiksaan dan aku sangat bersyukur dan jauh lebih mengejutkan, bagi subjek aku, ada murid yang dapat gred A.

Hanya Allah yang tahu betapa aku bersyukur dengan kejayaan anak didik aku, setimpal dengan usaha mereka yang giat belajar di saat saat akhir.

Seperti biasa, sewaktu aku mendidik mereka, selalu aku ingatkan, kelulusan akademik penting tetapi peribadi kamu juga penting kerana itulah yang akan memandu kehidupan kamu setelah tamat persekolahan. Jadilah manusia yang bermanfaat dan hamba yang taat.

Kadang-kadang waktu kelas tambahan, aku bawa makanan untuk murid-murid atau aku tempah dari peniaga, seronok tengok murid-murid ini menjamu selera.

Belum lagi kalau kita beri hadiah ketika membuat aktiviti di dalam kelas, seronok tengok senyuman pada wajah murid murid ini.

Di sini aku mulai faham sebagai seorang guru, aku tidak boleh menilai berlebihan tanpa menyelidiki terlebih dahulu. Jangan mendengar gosip secara melulu dari orang lain, dengar dan perhati, semua itu ada prosesnya tersendiri.

Jika ada murid-murid yang benar benar bermasalah – ya jenis ini juga memang ada, tak makan saman hehe pening kepala dibuatnya, boleh dilaporkan kepada PKHem, biar mereka yang uruskan namun selagi kita dapat handle dan mengawal, kita usaha dulu untuk mengawalnya.

Saya sangat mencintai pekerjaan saya sebagai seorang cikgu, jadi jika ada isu viral tentang cikgu, jarang saya ikut mengulas kerana sekiranya tidak berkaitan dengan saya, lebih baik saya fokus memanusiakan manusia yang diamanahkan kepada saya.

Kata pengetua saya; “Win their heart, then you will know”

Terima kasih kerana membaca. Doakan aku tetap kekal menjadi seorang guru yang bermanfaat untuk ummah dan tidak mudah berputus asa kerana menjadi guru di zaman mencabar begini, sebenarnya tidak mudah.

– Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *