Mental Depressive Disorder Survivor

Assalamualaikum. Sejak akhir-akhir ini saya terbaca banyak perkongsian dari Pesakit Major Depressive Disorder dalam IIUM confession ni. Saya adalah MDD survivor. Macam mana saya survived dari penyakit ini? Saya kemurungan sejak dibangku sekolah rendah lagi. Apa yang saya lakukan adalah :

1. Saya dapatkan seseorang untuk bercakap dan luahkan perasaan. Orang itu mestilah yang boleh memahami, dan yang kita rasa boleh dipercayai. Saya pernah hampir nak bunuh diri. Saya pernah kelar-kelar tangan saya. Syukur Allah panjangkan usia saya. Alhamdulillah Manager saya adalah orang yang beri dorongan pada masa itu. Rekod kedatangan saya ke pejabat sangat teruk waktu tu, hampir tiap Minggu MC. Walaupun dia berlainan agama dan bangsa. Dia menyimpan rahsia saya sehingga hari ini. Dia lah yang bawa saya ke klinik.

2. Dapatkan Rawatan, pergi kaunseling dan ambil ubat ikut jadual yang ditetapkan.

3. Ada keinginan untuk keluar dari kemelut yang kita hadapi. Dulu saya terlalu merasa kasihan pada diri atas apa yang menimpa. Saya rasa, saya mangsa. Kenapa orang lain tak kena saya kena? Kenapa orang lain buat dosa lagi banyak, tapi bahagia? Kenapa saya bernasib malang kena macam ni? Kenapa semua mudah bagi orang lain, susah bagi saya? Too much kenapa dalam otak saya. Selalu cakap pada diri “Tengoklah diri kau ni kasihan, sampai hati orang buat macam ni, kenapa nasib malang sangat, apa dosa sampai tuhan bagi azab macam ni?” kasihan dan terus kasihan sehingga hanyut. Hentikan berasa diri terlalu malang dan menjadi mangsa keadaan.

4. Lepaskan apa yang kita dendam dan terpendam. Kalau kita pernah melalui perkara buruk dalam kehidupan, jangan simpan dalam hati. Selagi benda tu melahar dalam benak fikiran dan hati, selagi itulah kita akan terus tersungkur. Belajarlah Redha. Allah tidak akan menguji seseorang hamba diluar kemampuan.

5. Buat sesuatu untuk Gembirakan diri. Mencantikkan diri, ubah penampilan dan jauhi rakan-rakan yang negatif. Terapi yang terbaik adalah buat orang lain gembira. Contoh : tolong orang lain yang kesusahan, belanja orang makan. Bila kita tengok orang lain gembira, itu sebenarnya kebahagian untuk diri kita sendiri. Banyakkan bersedekah. Kita akan rasa diri kita diperlukan. Itu akan mengubah persepsi yang diri kita ni tak berguna. Mostly pesakit MDD rasa dia tak ada guna untuk hidup. Menyusahkan dan hidup bernasib malang atas apa yang menimpa diri.

6. Kembali kepada fitrah. Mendalami Agama. Ini adalah salah satu Terapi. Bila kita bersujud, menangis, meluahkan pada Tuhan ada memberi ketenangan jiwa. Kerana kita tidak pendam lagi perkara yang kita benci dan tak boleh terima akal tu. Kita dah lepaskan beban yang selama ni tersimpan. Tiap kali kita doa, kita meluahkan jadi ringan dada yang sesak. Antara punca kita depression kerana terlalu memendam rasa. Banyakkan membaca tentang kesusahan orang lain, dan bagaimana mereka berjaya atas halangan. Apa yang kita hadapi ni mungkin tak seberapa berbanding orang lain yang lebih teruk lagi. Redha lah, dan bersyukur.

7. Henti bergantung harap pada manusia. Sebab manusia hatinya berubah, berbolak-balik. Bila kita terlalu harap pada manusia, kita akan sakit bila dia tak buat apa yang kita harapkan. Walaupun dari Ibu-Bapa sendiri dan orang-orang yang kita sayang. Kita nak dia layan kita macam itu macam ini, Ia tak akan berlaku. Kita tak boleh paksa orang lain untuk sayang kita, untuk bagi perhatian pada kita, buat macam yang kita harap. Sebaliknya, kita yang harus sayangkan diri kita dan buatlah diri merasa bahagia dengan perkara berfaedah bukan saja pada diri sendiri, tapi memberi kebaikan pada orang lain juga. Apabila kita memberi, kita akan merasa.

8. Fikirkan berapa ramai orang yang sayang kita dan perlukan kita. Jangan biarkan diri terus hanyut. Kitalah yang mengawal Mental kita. Kalau buruk, maka buruklah, kalau baik, semua akan jadi baik. Kena cuba handle stress level. Ambil masa berfikir dengan baik.

9. Pergi travel, luaskan permandangan dan pengalaman. Berhibur dengan kawan-kawan macam pergi Club, Pergi karaoke, Pergi lepak semua itu boleh buat kita lupa masalah, tapi bersifat sementara. Bila kita balik rumah, penyakit tu akan menghantui kita semula. Jadi pergilah melihat keindahan ciptaan Tuhan ni. Ia memberi ketenangan dan kedamaian jiwa. Tak dapat yang jauh, yang dekat pun memadai.

10. Jangan kata TIDAK BOLEH. “Aku tak boleh lupa” Tidak !! Anda boleh lupakan ia dengan melepaskan. Tiap kali saya rasa tak boleh, saya pujuk diri “Boleh”. Walaupun saya sangat down waktu tu. Rasa nak terjun lombong semua ada. Macam-macam saya fikir. Tapi sebenarnya KITA BOLEH berjaya atasi penyakit ini. Usaha tanpa putus asa walaupun dalam keterpaksaan. Pergi terapi minda. InsyaAllah mana ada usaha disitu ada kejayaan. Percayalah pada diri sendiri. Diri kita mampu lakukan terbaik.

Saya mendoakan pengadu atau sesiapa yang terkena MDD sembuh sepenuhnya, Ramai yang perlukan khidmat anda, ramai yang sayang kita semua. Dan sesiapa yang ada Rakan & keluarga yang ada simptom MDD, berikan mereka galakkan untuk berubah.

Jangan sindir “Ini semua keje syaitan, kenapa ko nak ikut” sebaliknya bantulah mereka jangan abaikan. Jangan buat macam benda ni lawak. Ia sangat tak kelakar. Waktu tu mereka tak dapat berfikir dan nampak jalan, jadi kita yang sihat Walafiat ni, berilah dorongan dan sokongan. Tunjukkan yang kita sayang dia..

– I Am survivor (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *