Mentaliti Seorang Ustaz

Assalamualaikum. Nama aku Aina (bukan nama sebenar). Posting ini aku buat kerana sedikit kesal dengan perbuatan seorang ustaz kepada kakak kandung aku.

Aku kenalkan kakak aku sebagai Aisha. Seorang lepasan universiti yang pernah berkenalan dengan seorang ustaz. Ustaz Zaki.

Ceritanya bermula apabila Aisha memasuki alam ijazah. Di semester 1, ada seorang senior ingin berkenalan dengannya.

Waktu ni kakak aku banyak kali menolak sebab nak fokus belajar. Lagi pun dia anak sulung, mesti lah kena perform dan menjadi contoh kepada adik-adik.

Senior yang aku maksudkan tadi ialah Ustaz Zaki. Seorang pelajar dari kuliah pengajian Islam. Di universiti mereka, menjadi kebiasaan bagi pelajar dari kuliah tersebut digelar ustaz/ustazah. Islamic gitew.

Disebabkan kesungguhan yang Zaki tunjukkan, akhirnya Aisha menerima untuk menjadi ‘teman istimewa’. Mereka bertunang pada semester ke 5. Hanya kawan-kawan terdekat yang tahu.

Oh ya, aku cerita sedikit tentang mereka berdua ni. Zaki seorang lelaki yang agak kacak bagi aku. Di universiti dia sangat aktif dalam persatuan. Banyak memegang jawatan. Kelihatan berwibawa. Senang cerita, dia ni ‘husband figure’ kepada wanita-wanita di luar sana.

Kalau dia post gambar di instagram, paling kurang 500 likes dia akan dapat. Orang famous kan. Dan menurut aku, ramai perempuan yang menyimpan perasaan terhadap Zaki.

Tapi aku belum pernah dengar Aisha mengadu tentang hal yang buruk-buruk. Jadi aku menganggap semuanya okay-okay sahaja. Aku pun happy nak dapat abang ipar yang famous amous ni.

Kakak aku pula sedikit berbeza dengan Zaki. Wajahnya manis, bertudung labuh. Tapi orangnya sangat low profile. Di instagram dia hanya lah gambar-gambar kucing kami.

Pernah juga aku paksa dia post gambar kami sekeluarga bercuti di pantai. Tapi dia pergi post gambar daun-daun kering. Bertuah punya kakak.

Kakak aku pernah belajar di sekolah menengah agama. Tapi untuk 6 bulan sahaja. Kemudian dia drop out ke sekolah menengah harian kerana tak tahan dibuli.

Walaupun dia bukan ustazah dan tidak datang dari latar belakang pendidikan agama yang formal, dia sangat rajin ke majlis ilmu. Dan syukurlah dia masih sudi mengekalkan pakaian yang labuh sehingga ke hari ini.

Aku pernah tanya Zaki kenapa dia pilih kakak. Katanya sebab sedap mata memandang. Aku tak nafikan perkara ini. Pernah juga aku mengusik untuk kenalkan Zaki dengan perempuan yang lebih cantik. Dia menolak sekerasnya. Aku happy, sebab aku yakin dia boleh setia.

Masa ni aku rasa Aisha sangat beruntung.

Lepas kedua-dua nya tamat belajar, Aisha dapat pekerjaan di sebuah syarikat ternama. Zaki pula hanya di tempat biasa. Gaji mereka jauh berbeza. Ini menyebabkan Zaki banyak kali menangguh urusan pernikahan.

Katanya belum cukup simpanan. Dan dia sangat risau kerana gaji yang dia dapat hanya cukup-cukup makan.

Waktu ni kakak aku banyak kali memujuk dan memberi sokongan. Katanya dia sanggup keluarkan duitnya dahulu asalkan mereka tidak bertangguh lagi. Zaki menolak sekerasnya. Dia serba salah jika pihak perempuan yang banyak berhabis duit untuk majlis mereka berdua.

Egonya tercabar.

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, dan muncul pula wabak covid 19. Mereka masih belum disatukan. Ada saja halangannya. Tapi kebanyakan masalah dan punca penangguhan datangnya daripada Zaki. Kadang-kadang aku rasa Zaki seperti belum bersedia.

Dan tiba lah waktu yang menjadi sejarah gelap dalam hidup kakak. Suatu hari aku balik kerja agak lewat. Hampir jam 10 malam tapi aku masih di office.

Tiba-tiba mama whatsapp dan bertanya adakah Aisha ada dengan aku. Sebab dia masih belum balik. Biasanya Aisha akan sampai rumah lebih kurang pukul 7 petang.

Aku dan mama cuba telefon kakak berkali-kali. Tidak diangkat. Whatsapp juga tak dibalas. Aku cuba contact kawan-kawan office dia melalui instagram. Katanya Aisha keluar paling awal.

Aku panik dan segera tinggalkan office. Aku cuba drive ke kawasan office kakak, mungkin dia masih ada di situ.

Entah dari mana datangnya gerak hati untuk aku pergi ke kedai coffee kegemaran kakak. Sampai sahaja di sana, aku nampak kereta dia.

Hampir nak pecah jantung ni. Aku turun kereta dengan perasaan marah yang membuak-buak, tapi lepas nampak kakak, dia dalam keadaan muka yang bengkak baru lepas menangis, aku bertukar panik.

Lepas berkali-kali pujuk dan ditenangkan, barulah dia boleh bercakap secara normal.

Rupanya Ustaz Zaki minta putuskan pertunangan. Dia berjumpa dengan orang yang ‘lebih sekufu’ dengannya. Dan keluarga nya lebih menyukai wanita tersebut. Ahh, mata aku bengkak juga masa ni.

Kami segera pulang dan aku minta kakak rehat sepuasnya. Jangan buka apa-apa mesej dari Zaki. Dia akur. Aku sebagai adik yang menyaksikan sendiri bagaimana kakak aku disakiti, tak mungkin aku hanya berdiam diri. Aku juga merasai luka itu.

Malam itu juga aku dan mama contact Zaki untuk minta penjelasan. Jawapan yang kami terima “ini semua aturan keluarga”.

Aku tanya pelbagai soalan, aku tanyakan apakah Aisha ada buat perkara yang dia tak suka, namun Zaki seperti berdalih untuk menjawab dan dia memutuskan talian. Tergamaknya kau wahai Ustaz Zaki.

Beberapa bulan selepas peristiwa itu, Zaki memuat naik gambar nikahnya di media sosial. Cantik isterinya.

Dan lepas stalk sana sini, rupanya wanita itu juga seorang ustazah. Pelajar lepasan timur tengah. Adik beradiknya hampir semua belajar di sana. Keluarganya juga agak dikenali ramai.

Dan selepas kerajaan mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri, Zaki mula memuat naik gambar-gambar percutian bersama isterinya. Honeymoon ke sana sini.

Aku menasihati kakak untuk tidak membuka mana-mana media sosial kerana aku yakin apa yang dia nampak nanti akan melukakan hatinya.

Aku cuba beranikan diri untuk contact Zaki sebab aku masih perlukan penjelasan. Hati aku rapuh tengok kakak. Dia hilang selera makan, berat badannya turun mendadak. Gembirakah kau Zaki, kalau kau tahu perkara ini?

Zaki hanya mampu meminta maaf. Katanya keluarganya menyarankan dia untuk mencari isteri yang lebih sekufu dari segi agama. Aisha lebih ‘mampu’ darinya, dia merasa kerdil dan tidak setaraf.

Aku hilang kata mendengar jawapan Zaki. Bukan sebulan dia kenal Aisha, tetapi bertahun. Aku yakin Zaki tahu Aisha bukanlah wanita yang akan berbangga-bangga dengan kemampuan dia. Hanya kerana dia bukan ustazah, dia tidak dipilih dan dibuang sesuka hati.

Aku sangat kesal dengan perbuatan Zaki. Aisha menunggu bertahun-tahun untuk dihalalkan. Dia setia menjaga diri untuk bakal suaminya. Tapi Zaki lebih memilih wanita yang ada nama dan gelaran.

Ya, gelaran ustazah. Bagi aku, cukuplah seorang wanita itu menutup aurat, menjaga solat dan al quran, menjaga diri dan maruahnya, dia sudah boleh dianggap sebagai wanita yang baik.

Mengapa perlu sampai meninggalkan wanita yang baik ini, hanya untuk mendapatkan seorang ustazah, wahai ustaz-ustaz sekalian?

Sekarang kakak dah masuk umur 28 tahun. Sudah agak lewat bagi seorang perempuan untuk start over dengan sesiapa. Dan kakak akui dia sangat penat untuk mulakan semula. Kerana kau Zaki, kerana kau.

Dan kalau confession ini sampai kepada kau Zaki, aku cuma nak cakap yang saat kau meninggalkan orang yang mencintai kau dengan ikhlas, tetapi kau memilih cinta kerana nama, kau tidak akan lagi menemui keikhlasan dalam bercinta.

Tolong doakan semoga kakak aku menemui jodohnya yang jauh lebih baik. Aamiin.

– Aina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *