Hi, Assalamualaikum semua. Pengenalan sedikit. Saya merupakan suami kepada seorang isteri dan ayah kepada seorang anak.

Untuk pengetahuan semua, saya baru je kahwin dalam setahun lebih, nak dekat dua tahun. Alhamdulillah setakat ni semuanya baik-baik, dikurniakan isteri yang baik dan Alhamdulillah anak yang comel penyeri hidup kami.

Dari segi tanggungjawab, saya boleh katakan saya buat yang terbaik walaupun kadang-kadang ada masa penat menguasai diri.

Saya laki bini dua-dua bekerja. Jadi kalau isteri penat, saya faham, tiada paksaan untuk kemas ke atau masak. Basuh baju ke apa semua saya buat. Nafkah InshaAllah saya bagi dengan baik walaupun kerja bukan bergaji besar.

Sebenarnya isunya saya perasan lama dengan keluarga mertua. Adakah saya yang terlebih perasaan atau perkara ni biasa di mata orang lain?

Keluarga isteri ada dua adik-beradik, dan isteri saya bongsu manakala kakaknya masih belum kahwin. Mungkin disebabkan keluarganya yang kecil, jadi semua perkara seperti nak tahu.

Kalau saya pergi bercuti dengan isteri, nanti dalam sebulan atau akan datang, saya perasan keluarga mertua akan ajak pergi tempat sama. Bila tanya tujuan, mereka cakap saja dan suruh kami yang bawa ke mana-mana. Ni dah terjadi dalam tiga kali dalam masa setahun lebih kahwin.

Jarak rumah kami tak jauh, dalam 10-15 km macam tu. Keluarga mertua kerap suruh balik rumah mereka dan ni buat saya rasa masa saya dengan isteri dan anak kurang. Mertua pulak jenis kuat terasa. Jika tak balik, mereka akan terasa.

Ada suatu hari kami laki bini saja ambil cuti rehat, dan kami tak bagi tahu keluarga mertua yang kami cuti. Tapi dalam tengah hari macam tu, keluarga mertua ada call isteri untuk tanya hal keluarga. Bila mereka tahu kami cuti, mereka terasa sebab cuti tapi tak pergi rumah mereka (ni sebelum ada anak).

Macam saya, bila balik rumah mertua saya tak berapa selesa disebabkan saya perlu duduk bilik kakaknya. (Dulu kakak dan adik kongsi bilik) so segala barang dan pakaian kakak ada di situ.

Keluarga mertua pula jenis suka mengajak. Kalau ajak sekali dua kita faham. Dan bila kita tolak dengan baik, mereka ajak jugak jadi seperti memaksa bagi saya.

Selepas ada anak, lain pula kisahnya. Kami pada mulanya selepas pantang memang nak hantar anak kepada pengasuh berdekatan tempat kami tinggal disebabkan kalau nak hantar kepada keluarga mertua, kami perlu berlawanan arah ke tempat kerja dan jalan yang jem setiap hari. Jadi kami putuskan nak hantar pengasuh sahaja.

Tapi keluarga mertua merayu suruh hantar kepada mereka sehingga nangis-nangis. Disebabkan tu, ibu bapa mertua ambil keputusan untuk datang ambil setiap hari dan hantar supaya kami tak hantar kepada pengasuh. Jadi saya dan isteri setuju dan sekarang setiap hari anak dihantar kepada keluarga mertua kecuali hari cuti.

Bila tiba hari cuti pula, keluarga mertua minta gambar anak hari-hari. Kadang malam hari minta update dalam group. So isteri hari-hari update walaupun mereka dah jumpa. Saya dah tegur isteri, tak semua benda perlu update. Bila saya dan isteri nak pergi mana-mana sekalipun, keluarga mertua suruh isteri update. Saya cakap tak perlu.

Ada sekali anak kami berak. Berak biasa je. Dan keluarga mertua minta update gambar tahi sebab nak tengok. Saya masa tu dah pakai kain yang dah disisih pendek untuk basuh anak. Isteri datang ambil gambar dan upload kepada group family-nya. Saya biarkan.

Malamnya isteri dah tidur, setelah selesai basuh dan sidai baju saya cek phone dan tengok dalam gambar isteri hantar tadi, ada ternampak sedikit kemaluan saya sebab terselak masa nak bangun. Saya terdiam dan kejut isteri, tanya ni bukan kemaluan ke? Kenapa hantar? Tak cek dulu ke? Dan isteri nangis-nangis minta maaf tak perasan.

Saya terdiam dan tiada respon apa. Saya rasa makin ralat dengan setiap perkara isteri perlu update kepada keluarga mertua.

Dan ibu mertua jenis selalu buat orang rasa serba salah seperti cakap, tak nak singgah takpe, dengan muka dan nada kecewa. Bila orang cakap ada perkara, dia akan cakap ibu bergurau je. Tapi gurauan dia tu buat orang tak selesa.

Baru-baru ni moto saya rosak dan saya perlu naik kereta dan hantar isteri dulu ke tempat kerja. Jadi ibu mertua pelawa untuk hantar isteri dan saya tolak dengan baik, takpe saya nak hantar. Dan ibu mertua teruskan ajak dan saya rasa dah seperti memaksa bila saya perlu tolak 3-4 kali.

Pada akhirnya saya cakap, takpe, boleh dating berdua, dan terus ibu mertua cakap, dating besok jela (besoknya Sabtu).

Dulu pernah masa saya belum beli rumah dan kami tinggal di rumah mak saya (tapi mak dah tak duduk situ sebab balik duduk kampung), ayah mertua pernah suruh saya beli rumah. (Masa ni kami ada proses beli rumah apartment cuma tak bagi tahu orang). Rumah yang ayah mertua suruh beli adalah di lorong rumahnya corner lot.

Sebagai orang yang bergaji kecil, kita tahu corner lot kawasan tersebut RM300k-RM400k dan jauh di luar kemampuan kami.

Bila saya cakap mahal, tak mampu, terus bapak mertua cakap, ala gaji kan naik. Saya tersentap dan diam sahaja. Memang gaji naik, tapi takkan lepas bayar rumah saya duduk rumah je, tak ada jalan-jalan. Keperluan takkan tak perlu beli.

Saya sampai ajak isteri pindah luar negeri sebab tak nak layan drama keluarga mertua yang asyik macam memaksa kami, sehingga isteri sendiri stress.

Masa berpantang, ibunya pernah cakap, ha nanti duduk rumah sendiri lipatlah baju kemas-kemas rumah, dan ayahnya cakap, ha belajarlah jadi ibu macam ibu kamu tu. Isteri terasa dan nak keluar cepat dari rumah walaupun tengah berpantang. Padahal bila kami berdua, isteri buat je semua tu.

Keluarga mertua suka masuk dan suruh itu ini. Rumah kami dah nak siap dan keluarga mertua ada suruh, ha nanti beli itu ini, buat macam tu ini.

Jadi saya dah macam terfikir, sebab kami beli rumah dekat, jaraknya dalam 2 km je dengan rumah mertua. Jadi saya risau nanti bila dah pindah sana, mereka selalu datang.

Jadi saya nak tahu macam mana korang handle situasi seperti ini dan adakah biasa benda ni? Maaf tak pandai nak bercerita sangat.

– Suami & Keluarga Mertua (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Peraturan rumah tangga ialah
    1)Jangan kerap kerap ke rumah mertua walaupun pasangan yang ajak (nak jaga privasi dan kehormatan)

    2) Jangan beli rumah atau sewa rumah berdekatan dengan mertua atau ipar

    3) Jangan terlalu rapat dan banyak komunikasi berlebihan dengan mertua atau ipar

    4) Jangan jadi hamba group whatsapp keluarga serba serbi nak update Dan upload. Jangan buka dan baca mesej dalam tu. Kena ada penjarakan.

    5) Jangan manja sangat layan mesej mertua yang keanak-anakan tu. Kena tegas dan berani kata TIDAK jika tak nak.

    6) Hidup rumah tangga ni berkisar soal kita dan pasangan kita sahaja. Tak perlu nak melayan gila orang lain walaupun mertua.Saya ulang lagi ya Berani kata TIDAK

    DAH JANGAN NAK PENING KEPALA LAGI PEDULIKAN KATA MERTUA CENGENG TU.JGN DI LAYAN GILA DIA NANTI AWAK YANG GILA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *