Assalammualaikum. Nama aku Seri (sudah semestinya bukan nama sebenar).
Aku datang ke sini nak minta pandangan para pembaca sekalian. Isu yang nak aku kongsikan berkenaan sikap mentua aku.
Aku bukan nak aibkan mentua aku tapi aku harap kalau para pembaca ada cadangan membina, bolehlah aku usahakan demi kebaikan mentua aku.
Begini ceritanya, mentua aku ni berumur lingkungan lewat 50an.
Pekerjaan terakhir mentua aku sebelum mengambil keputusan untuk berhenti ialah seorang pekerja pembersihan di sebuah institusi pendidikan.
Mentua aku ni memang rajin di tempat kerja. Hal ini amat diakui oleh staf-staf di situ.
Kadang2 mentua aku buat masak-masak dan kongsi rezeki dengan rakan-rakan sekerja. Lagipun mentua aku memang pandai memasak.
Tapi ada satu perangai mentua aku ni yang aku rasa sangat pelik dan kontra dengan sikap beliau di tempat kerja.
Mentua aku bekerja dari jam 7.30 pagi dan balik lebih kurang jam 3.00 petang. Biasanya selepas balik dari tempat kerja mentua aku berehat-rehat sahaja.
Aku sebenarnya jarang-jarang balik ke rumah mentua aku walaupun jarak antara rumah kami tak sampai 20km. Kalau bermalam pun kebiasaannya pada hari raya sahaja.
Itupun aku selalunya ajak suami aku balik ke rumah untuk ambil barang-barang yang kononnya tertinggal. Tapi sebenarnya alasan untuk aku tidak berlama-lama di rumah mentua aku.
Rumah mentua aku cuma rumah kos rendah dua bilik. Pada aku okey je sebab aku pun berasal dari keluarga yang susah. Tapi, rumah mentua aku sangat tak terurus.
Mentua aku ni tinggal seorang diri selepas bapa mentua aku meninggal.
Sungguhpun begitu, mentua aku tak kesepian sebab adik ipar aku turut menyewa selang sebuah rumah dari rumah mentua. Setiap malam mentua aku akan ditemani cucu-cucunya iaitu anak-anak adik iparku.
Baiklah sekarang baru aku gambarkan suasana rumah mentua aku. Kalau aku dan keluarga aku balik ke rumah mentua aku, baju-baju tak berlipat berbakul-bakul di ruang tamu.
Kadang-kadang baju tak berlipat memenuhi ruang sofa sampaikan kami terpaksa duduk atas lantai. Pernah sekali tu aku tercari-cari tudung saji rupanya mentua aku buat letak baju yang tak berlipat.
Rumah mentua aku ada dua bilik. Satu bilik tidur dia dan satu lagi bilik untuk kehunaan anak-anak yang balik bermalam. Tapi bilik tu pun tak terurus. Baju-baju berlonggok atas katil dan lantai.
Banyak lagi barang-barang lain dalam bilik tu. Baru-baru ni kami ambil keputusan untuk kemas bilik tersebut.
Alangkah terkejut sebab dalam bilik tu ada beberapa ekor tikus. Najis tikus merata. Memang geli geleman aku dibuatnya.
Semua barang dalam bilik tu kami keluarkan dan letak di luar rumah. Kalau boleh digambarkan macam dalam siri hoarder kat channel TLC tu. Ikutkan aku nak buang semua kain baju tu.
Sebab tak tahu cik T dah kencing ke , buat kesat montot lepas membuang ke..
Tapi, mentua aku duduk sambil sambil pilih satu-satu. Bila kami dah masuk barang-barang tercemar dalam beg plastik hitam, dia akan keluarkan dan cakap boleh digunakan semula selepas dibasuh.
Dalam masa dua hari, selesai urusan mengemas bilik tersebut serta kawasan dapur. Bahagian dapur ni, aku tak larat nak cerita dah. Cuma cukuplah aku bagitau yang anak-anak aku akan berjingkit -jingkit jika ke dapur.
Ketika mentua aku sibuk sorting barang-barang dari bilik tu, aku banyak campak barang-barang dapur dia dalam beg plastik hitam dan terus ikat sebab tak nak dia buka.
Bilik tersebut aku dan suami susun semula dan deko. Sekurang-kurangnya akan menjadi tempat yang selesa untuk aku dan keluarga menumpang solat.
Tapi, selepas tiga bulan berlalu baru-baru ni aku rasa kecewa sangat sebab bila aku selak langsir nak menumpang solat, tak ada ruang dah.
Ya Allah .. sedih sangat perasaan tu.
Aku tak tak tahu mentua aku ni kategori apa. Bolehkah aku boleh katakan mentua aku ni berpenyakit hoarder?
Bagaimana aku nak bantu mentua aku ni? Aku kesian sebenarnya kat mentua aku ni. Tapi aku tak rasa normal untuk tinggal dalam suasana seperti itu.
Besarlah harapan aku agar ada komen-komen membina yang boleh aku jadikan panduan.
– Seri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit