Menumpang Kasih Suami Orang

Saya Cahaya. Sedang mencari cahaya dalam kegelapan hidup. Seperti biasa, yang selalu menghantar posting ke sini mestilah ingin meluahkan rasa, ingin meminta pandangan, dan juga bakal dikecam, walaupun tidak mahu dikecam.

Saya mulakan kisah hidup saya, saya berumur 26 tahun, belum berkahwin dan baru bekerja (lepasan degree).

Biasalah, umur selepas 25 tahun pastinya keluarga dah cukup risau kalau belum bertemu jodoh. Kakak2 dah sibuk carikan calon suami untuk saya, dan kebetulan ada anak kepada kawan kakak berumur 30 tahun masih bujang. Saya namakannya sebagai A.

Saya kenal A sejak kecil lagi, sudah anggap seperti abang, tak lebih dari tu. Tapi seluruh keluarga mahu satukan kami.

Saya tak mengiyakan dan juga tak menidakkan, saya hanya kata kepada keluarga, “just follow the flow, ada jodoh ada lah, kalau tak ada jangan paksa”. Tapi hati saya susah untuk terima A, mungkin sebab dah anggap seperti abang je, tak ada rasa sayang yang lebih.

Perkara ni terjadi semasa saya beumur 24 tahun lagi sehingga lah sekarang. A pun tak ada usaha untuk ambil hati saya, tanya khabar pun jarang-jarang, sedangkan kami bekerja di bandar yang sama, masing2 jauh dari keluarga.

A pernah bagitahu saya yang dia sukakan saya tapi macam mana saya nak bagi hati saya pada A kalau A sendiri tiada effort apa-apa untuk ambil hati saya.

Dalam masa setahun dua ini juga saya berkawan dengan ramai lelaki, kerana bagi saya biarlah berkawan sahaja, tidak ada sebarang hubungan, kerana daripada berkawanlah saya akan lebih mengenali hati lelaki dan berasa lebih selamat.

Namun pertengahan tahun lepas, satu ujian besar menimpa saya. Saya berkenalan dengan seorang lelaki, saya namakannya B.

B ialah kawan kepada kawan saya, pada mulanya hanya berkawan namun tidak sangka hati terjatuh sayang. Tetapi masalahnya, B berstatus suami orang. Ye, suami orang dan sudah memiliki anak.

B masih muda, tua sedikit daripada saya, B kahwin muda jadi rupa dan perlakuannya tidak menunjukkan dia seperti bapak orang!

Saya pada mulanya hanya menganggap B seperti kawan biasa kerana saya tahu B adalah suami orang, saya juga tidak suka menggangu rumahtangga orang lain dan saya bencikan perampas, namun saya silap, kata-kata saya memakan diri, sekarang kami berhubungan lebih dari sekadar kawan.

B banyak menolong saya, berjauhan daripada keluarga memerlukan saya berdikari sendiri untuk hidup tapi B lah yang banyak membantu saya, langsung tidak berkira dan dia juga mengaku yang dia sayangkan saya lebih dari seorang kawan.

Tiada siapa yang tahu tentang hubungan kami, hanya kami berdua, tapi saya rasa bahagia walaupun hubungan ini harus disorok dari semua orang.

Walaupun kami jarang contact, apatah lagi berjumpa, tapi saya bahagia. Saya tak akan ganggu masa dia bersama keluarganya, dia langsung tak abaikan keluarganya.

Dia juga selalu suruh saya bersabar dengan dugaan hubungan kami, dia ada juga mengajak saya untuk berkahwin tapi saya selalu memikirkan keluarga saya, tentu keluarga kecewa dengan tindakan saya nanti.

Saya juga tak pernah minta B untuk tinggalkan isteri dan anak-anak, dan saya tahu kalau kami kahwin, saya yang akan banyak berkorban, saya taknak dia abaikan isteri dan anak-anak.

Saya tahu saya silap jatuh hati pada B tapi apakan daya saya untuk menghalang perasaan saya. B adalah suami dan bapa yang baik untuk keluarganya dan saya bukanlah jahat, bukanlah perampas, saya hanya ingin ‘meminjam’ kasih sayangnya.

Saya selalu katakan pada B yang saya hanya pinjam B dari isterinya, bukanlah merampas, dan saya janji akan pulangkan B semula.

Maksud saya, saya sendiri akan pergi dari hidup B bila saya dah kuat untuk pergi dan mencari hala tuju baru. B selalu halang saya dari pergi, sudah banyak air mata yang saya habiskan tapi rasa sayang saya pada B tak pernah pudar.

Semakin hari saya bahagia, namun semakin hari saya barjanji dengan diri sendiri untuk pergi dan tak menggangu B lagi.

Saya selalu bertanya, kenapa saya diuji begini? Saya susah untuk sukakan lelaki, tapi kenapa tiba waktunya hati saya terbuka untuk lelaki, lelaki itu suami orang? Saya tentu sedang dicaci, dimaki oleh semua orang sekarang.

Namun, saya mohon doakan saya kuat untuk pergi dari hidup B dan bertemu jodoh yang lebih baik. Doakan juga supaya B bahagia bersama keluarganya.

Sekarang saya sedang kumpulkan kekuatan untuk pergi dari B dan mulakan hidup baru. Saya sendiri tak tahu apa yang bakal terjadi nanti. Tentang A, biarlah dahulu. Kalau betul jodoh dengan A, apalah hak saya untuk menolak, namun jika betul jodoh saya dengan B, adakah itu salah saya?

Kalau dahulu saya sangat tak faham kenapa perempuan boleh terjatuh sayang pada suami orang, namun sekarang hal ini terjadi pada diri saya sendiri. Jangan anggap semua orang kedua jahat, tak berhati perut, saya sendiri mahu keluar dari situasi ini.

Terima kasih jika ada yang memahami namun maafkan saya atas luahan saya ini.

– Cahaya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *