Menumpang Rezeki Ibu

“Kalau tak duduk dengan ibu, abang tak taulah akan jadi apa.”

Itulah luahan abang, anak tiri ibu yang dibesarkan sejak usia tadika. Abang kini sudah berkeluarga dan bekerjaya. Walau hidup bersederhana tapi hidup dia sentiasa cukup Alhamdulillah.

Aku dengan abang adik-beradik kandung, kami sebapa tapi ibu lain-lain. Abah bercerai dengan isteri pertama dan hak penjagaan kakak dan abang dapat pada abah.

Abah hidup menduda bersama dua anak yang berusia 3-5 tahun untuk beberapa ketika sebelum dikahwinkan dengan ibu atas ‘family arrangement’.

“Niat ibu kahwin dengan abah memang kerana Allah je. Ibu nak tolong abah besarkan anak-anak tu.”

Pernah ibu katakan begitu bila aku dah cukup besar untuk faham gelora kehidupan ni.

Aku mula rasa dan faham besarnya pengorbanan ibu untuk besarkan ‘anak orang’. Anak yang tak berkongsi darah dengan dia. Tapi anak-anak orang ini lah yang ibu gadaikan emas-emasnya sebab nak masukkan ke universiti.

“Ibu taknak berat sebelah. Ibu tak belajar tinggi tapi ibu nak anak-anak ibu semua atleast ada degree.”

Anak-anak ibu itu termasuklah abang dengan kakakku. Masih terbayang-bayang lagi susah payah ibu abah mencari dan meminjam duit untuk menghantar abang dan akak masuk ke universiti. Membeli peralatan, mencuci bilik uni mereka.

Bila timbul banyak cerita menggambarkan jahatnya seorang ibu tiri, aku lah yang paling laju menggeleng kepala. Sebab tak semua ibu tiri kisahnya serupa.

Sedang Ibu tak berani sentuh pun abang dengan kakak sebab bagi ibu ‘anak orang’ jangan dicederakan. Anak sendiri memang ibu hanger-hangerkan.

Ya, atas perkahwinan ibu dan abah lahir lagi 3 orang puteri. Membesar bersama abang dan kakak dari lahir buatkan aku selalu terlupa kami lahir dari dua rahim berbeza.

Terasa seperti mereka juga dilahirkan oleh ibu. Mungkin kerana layanan ibu kepada kami semua sama.

Bila dah besar-besar ni ibu abah tak pernah halang untuk abang dan kakak jumpa mama mereka. Walaupun ada sejarah pahit untuk dikenang tapi abah pilih untuk diam.

Cuma kadangkala aku terdengar abah bermonolog sendirian, “masa kecik tinggalkan, taknak jaga. Dah besar sibuk-sibuk nak tengok.”

Pernah juga abah dan ibu terasa bila kakak dan abang bercuti lama di rumah mama mereka.

Aku jadi tersepit sebab bagi aku ibu dan abah berhak dan layak terasa. Apatah lagi abah yang disakiti dan dikhianati suatu masa dulu.

Tapi, tiap kali ibu abah terasa bila abang/kakak melebihkan mama mereka, aku sejukkan dengan berkata “itulah bukti kejayaan ibu dalam membesarkan abang dengan kakak. Yang masih menghormati mama walau mereka pernah ditinggalkan kecil dahulu.”

Ya, mereka masih menghormati mama dan ibu. Abang anak yang paling berlemah lembut dengan ibu. Apa saja perbalahan, abang akan menangkan ibu. Walau ibu salah, bagi abang ibu tak pernah salah. Begitulah tahap penghargaan abang kepada ibu.

Selalu aku teremenung sendiri, atas nikmat-nikmat yang masih aku rasai, mungkin hanya sebuah tumpangan atas rezeki ibu.

Mungkin kerana niat ibu yang berkahwin dengan abah untuk memudahkan urusan abah, Allah telah memudahkan kami (anak-anak ibu) dalam pelajaran.

Ibu gadaikan emas-emasnya untuk pendidikan kakak dan abang tapi alhamdulillah anak-anak ibu dipermudahkan urusan belajar.

Sentiasa naik pentas, dapat masuk ke asrama dan berjaya ke overseas dengan biasiswa. Ibu abah tak perlu keluarkan duit yang banyak lagi untuk tusyen dan pendidikan kami.

Jika benar begitu, alangkah bersyukurnya aku menjadi tempat rezeki itu disalurkan. Allah telah menggembirakan ibu dengan memudahkan urusan anak-anak dia.

Ahh alangkah bersyukurnya aku dipilih menjadi anak ibu.

– Anak Ibu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *