Menunggu Bahagia

Assalamualaikum. Sebagai pengenalan kepada diri saya, saya berumur 30 an, Alhamdulillah, mempunyai kewangan yang kukuh dan perkerjaan yang baik. Baru sahaja menamatkan pengajian dalam Ph.D. Mungkin orang melihat saya tersenyum, hidup penuh denga gelak tawa, tetapi hati saya menyimpan seribu satu persoalan yang tak mampu di jawab.

Saya tidak pernah bercinta dengan isteri saya, Alhamdulillah, Allah SWT mengaturkan pertemuan kami cukup indah. Melalui keluarga isteri dan terus kami berkahwin dalam masa yang singkat. Isteri saya mempunyai keluarga yang baik dan amat mementingkan agama.

Setelah dua tahun kami berkahwin, ALLAH SWT mengurniakan saya sepasang anak kembar seiras. Allahu, saya bersyukur sangat atas rahmat ALLAH SWT yang diberikan ini. Namun demikian, saya buntu dalam membentuk isteri saya.

Memang benar, tanggungjawab suami ini berat, dan saya juga telah mencuba sehabis baik dalam menjaga dan membantu isteri saya ini. Memasak, menjaga anak, dan mengemas rumah, saya uruskan semua. Ini kerana isteri saya banyak menghabiskan masa dengan telefon. Sudah berulang kali saya menegur secara lembut, tetap masih tiada perubahan. Malah, adakalanya, isteri saya membeli telefon bimbit baharu sekiranya saya menyembunyikan telefon beliau.

Isteri saya tidur lewat, dan ini menyebabkan beliau bangun lambat daripada tidur. Selalunya waktu tidur beliau setelah subuh dan bangkit pada pukul 2 atau 3 petang. Sekiranya anak saya sedar ketika isteri saya tidur, saya akan membawa anak saya ke pejabat dan selepas pukul 3 petang, saya akan hantar pulang anak saya dan kembali ke ofis. Jarak tempat kerja dan rumah, lebih kurang 5 minit.

Perkerjaan saya mengambil masa tidak mengenal masa, tapi demi anak, adakalanya saya terpaksa bergegas pulang untuk mandikan anak dan memasak. Semua urusan rumah dari segi menyapu, mop lantai, semuanya saya uruskan sendiri. Memang pernah saya minta tolong isteri uruskan, tetapi tiada sebarang tindakan daripada isteri saya. Mungkin ada yang mengatakan saya dayus, ia mungkin itu istilah yang tepat. Cuma saya tak nak anak saya mengalami apa yang saya telah alami dahulu. Saya datang daripada keluarga yang berpecah belah. Ayah saya merupakan seorang yang panas baran dan kerap menyakiti ibu saya. Jadi saya tidak mahu benda ini berulang lagi dalam hidup dan diri saya.

Saya telah cuba mengambil pendekatan dengan menasihati, sehinnggalah mengasingkan tempat tidur. Tapi semuanya tidak membuahkan hasil. Saya bawa isteri saya ke kuliah agama, mendengar nasihat mengenai ilmu rumah tangga juga tidak mendatangkan hasil. Hinggalah pada suatu hari, saya berserah dan bersujud kepada ILAHI untuk meleraikan kekusutan yang timbul.

Sekembalinya saya dari outstation, saya melihat rantai berserta loket, gelang kedua-dua belah tangan, gelang kaki anak perempuan saya tiada. Saya diamkan perkara ini. Saya juga lihat benda yang sama berlaku pada isteri saya. Duit yang saya berikan pada isteri saya juga sentiasa habis. Jumlah barang kemas isteri dan anak saya mencecah 50k.

Apabila diajukan duit poket yang saya berikan kepada beliau di habiskan ke mana dan di mana semua barang-barang kemas tersebut. Beliau bagitahu yang beliau simpan di rumah dan akan keluarkan ketika kecemasan. Saya bagitahu pada isteri saya, baguslah jika mempunyai pelan sebegitu. Untuk pengetahuan pembaca, sebelum saya berkahwin, saya telah menyediakan sebuah rumah yang selesa dan mempunyai segala kelengkapan. Malah selepas kahwin, setiap bulan saya akan menyediakan barang dapur, pakaian dan duit poket untuk isteri.

Segalanya terbongkar apabila anak saya menghulurkan telefon isteri saya dan kebetulan pada waktu itu, telefon tersebut ‘unlock’. Saya dapat melihat banyak transaksi online dan carta-carta aliran bagi perniagaan mata wang yang janggal bagi saya. Terlalu banyak ‘screenshot’ dan transaksi yang berlaku. Jadi saya hantar semua bukti tersebut ke dalam telefon bimbit saya. Ada juga chat dan perbualan telefon yang lama dan ‘caring’. Apabila saya hubungi, ternyata ianya lelaki. Apabila saya bertanya apa hubungan dengan isteri saya, lelaki tersebut menyatakan sebagai ‘kawan’. Buat pertama kali dalam hidup, saya memberi amaran kepada orang lain dan saya menitiskan air mata saya.

Untuk mengukuhkan lagi dakwaan bahawa isteri saya terlibat dengan perniagaan, saya juga telah membuka satu fail dan menemui surat gadaian di Ar-Rahnu. Nilai gadaian berjumlah 40k dalam surat berasingan mengikut barang kemas. Sekali lagi hati saya bagai dihempas. Saya masih ingat bahawa gelang saya belikan untuk anak saya adalah hasil duit hadiah yang saya dapat semasa menjadi pelajar terbaik di luar negara dahulu. Saya tidak menggunakan duit tersebut sedikit pun, malah membeli 3 utas gelang tangan untuk isteri dan anak.

Saya cuba mengawal emosi saya dan memberitahu segala kejadian kepada mertua saya. Saya memberi pilihan kepada isteri di depan mertua saya. Jikalau ingin pulihkan semua ini, bertaubat dan saya akan terima dengan redha. Sekiranya tidak, isteri saya boleh memohon penceraian di mahkamah. Malangnya, isteri saya telah memilih untuk berpisah dengan saya. Bila saya tanya, apa salah saya? Isteri saya menjawab, saya tiada salah. Cuma dia ingin berjaya dan membuat keuntungan. Saya bertanya, apa yang terjadi kepada duit tersebut. Isteri saya menjawab yang duit tersebut telah rugi disebabkan pasaran yang tidak menentu.

Setelah beberapa ketika, isteri saya telah pergi ke mahkamah dan saya masih tidak putus berdoa agar isteri saya bertaubat. Saya lebih melihat kepada kesan penceraian terhadap anak saya kelak. Anak saya tidak berdosa. Tapi dalam masa yang sama, semua ini tidak akan berakhir sekiranya isteri saya tidak berubah. Bukan duit yang saya risaukan, malah barang kemas tersebut telah saya tebus.

Sekarang, saya rasa hidup saya kosong sebab anak-anak berada dengan mertua. Saya hanya mampu berdoa dan ALLAH SWT lembutkan hati isteri saya. Doa saya masih tidak putus. Mertua setiap hari hubungi saya agar bersabar.

Keluarga, sahabat saya tidak mengetahui apa yang terjadi kepada saya. Di sebalik tawa saya, saya menyimpan seribu duka. Sudah hampir setahun saya menanggung dan berpura-pura gembira di hadapan sahabat dan rakan sekerja.

Yang boleh menghiburkan sedikit hati saya ialah kerja sukaralewan yang di adakan pada setiap hujung minggu, khususnya senyuman anak yatim yang boleh mengurangkan kesedihan di hati saya. Dalam tahajjud mala, tiada apa yang saya mohon, kecuali semua ini akan pulih walaupun jauh di sudut hati saya, ianya tidak akan berlaku. Saya harap, anak-anak saya tidak mengalami apa yang saya sudah lalui. Penceraian bukanlah suatu benda yang mudah untuk anak kelak. Saya berjaya dalam bidang saya disebabkan didikan ibu saya dan ketabahan beliau.

Saya mohon doa daripada pembaca agar mendoakan kesudahan yang baik untuk saya.

– Hasril

Hantar confession anda di sini ->Ā www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *