Salam dan hi semua readers. Aku ada baca tulisan seorang figura terkenal di FB mengenai silibus sekolah masa kini yang terlalu kedepan berbanding kemampuan kebanyakan murid.
Jadi aku nak share sikit pasal dilema aku berkaitan hidup dan pelajaran ni. Disclaimer siap-siap tulisan aku ini hanya unik pada aku sahaja.
Maksudnya mungkin orang lain berbeza responnya andai dibesarkan sepertimana aku.
Sedikit mengenai aku dahulu, seorang mahasiswa dalam bidang perubatan di sebuah alma mater perubatan letaknya di ibu negara. Aku anak bongsu daripada beberapa orang adik beradik.
Pencapaian akademik aku memang agak memberangsangkan semenjak zaman sekolah rendah lagi nak dibandingkan kakak dan abang aku.
Pernah dapat tempat pertama dalam kelas depan juga walaupun beberapa kali sahaja.
Mak dan ayah aku bangga kerana keputusan aku antara yang paling cemerlang. Aku gembira akan hakikat itu tetapi realitinya ia meninggalkan suatu kesan padaku.
Aku sering dihimpit tekanan setiap musim peperiksaan dan aku sentiasa menyasarkan keputusan serta kedudukan yang terbaik.. dimana harganya andai aku gagal mendapatkannya ialah perasaan menyesal yang tidak pernah habis (hatta sekarang saat aku menulis coretan ini).
Sebab aku menyesal adalah kerana pengorbanan mak ayah aku yang tidak akan mampu aku hitung. Khususnya mak aku yang banyak membelanjakan aku buku-buku latihan dan rujukan.
Mak aku sangat memanjakan aku dan aku percaya atas faktor bahagianya aku dimanjakan dia, aku dapat belajar dengan baik dan cemerlang.
Selain itu juga kerana aku sedar akan potensi sebenar aku yang dianugerahkan Allah tetapi aku banyak cuai selain malas belajar kadang-kadang sehingga keputusan aku bukan yang terbaik atau seperti yang diharapkan.
Setiap kali peperiksaan awam yang besar malahan peperiksaan ketika di asasi dan sarjana muda sekarang..aku akan rasa bersalah sedalam-dalamnya andai gagal mendapat keputusan yang terbaik.
Sebenarnya sejak sekolah menengah aku perlahan-lahan hilang ‘sinar’ sebagai antara pelajar terbaik..namun aku masih dihantui dan dibayangi sejarah kegemilangan lalu yang sukar untuk kulupakan.
Walaupun aku kini di sekolah perubatan, aku bukanlah pelajar yang teratas juga. Hanya sekadar lulus di setiap peperiksaan setakat ini (masih bersyukur dibandingkan mereka yang gagal).
Aku sudah terima hakikat yang persaingan bukan lagi tujuan utama di universiti namun aku sedih kerana sudah lama ‘kemarau’ sejak kali terakhir aku menjadi pelajar terbaik untuk dihadiahkan kepada ibu dan ayah aku.
Selain itu, menjadi pandai juga menyebabkan hidup aku hanya dengan buku dan aku tidak pandai membuat kerja-kerja rumah serta pelbagai kemahiran.
Aku banyak bergantung kepada kakak abang aku dalam pelbagai perkara maklumlah anak manja. Kebanyakan masa aku rasa diri aku sangat tak berguna hahaha.
Maaf kerana tulisan aku terlalu meleret. Sebenarnya minat aku kearah Biologi berbanding perubatan namun aku sudah ‘diseru’ olen keluarga, kaum kerabat untuk menjadi doktor sejak kecil kerana pencapaian akademik aku yang baik.
Hari ini, aku menyesal kerana ‘menyahut seruan’ suara-suara berkenaan.
Perubatan tidaklah semuanya indah. Silibus menggunung, pensyarah pakar yang bengis dan banyak lagi. Emosi rapuh aku sebagai anak bongsu membuatkan sukar untuk aku tempuh hari-hariku.
Setiap pelajar perubatan akan merasai dirinya bodoh kerana tidak tahu terlalu banyak benda.
Andai anda melihat pelajar perubatan asyik sibuk update status dan story Instagram memakai kot dan stetoskop berlagak menjadi pelajar perubatan,
Ada kemungkinan mereka hanyalah sampah ketika sesi pembelajaran online yang hanya tahu mute, off camera dan memalsukan alasan internet bermasalah.
Pelajar perubatan yang sebenar malu hendak mengaku kerana ciputnya ilmu yang kami ada dan khuatir andai kami benar-benar mampu merawat pesakit kelak.
Dilema lain antaranya mengenangkan tekanan sewaktu housemanship kelak samada adakah mampu aku tempuhi dengan cemerlang dan memperoleh jawatan tetap yang sangat terhad sekarang. Belum ambil kira cabaran kerja itu sendiri.
Aku teringin untuk memutar masa kembali ke zaman silam untuk membetulkan semula pilihan-pilihan hidupku.
Kaitan coretanku dengan silibus sekolah? Kita terlalu mengejar kecemerlangan akademik sehingga lupa menerapkan nilai insaniah dan sahsiah yang elok kepada kanak-kanak hari ini.
Ramai yang mempersoalkan kebiadapan mereka tetapi fikirkan semula siapa yang mencorakkan mereka selain kita yang dewasa?
Selain adab, minat setiap kanak-kanak yang berbeza-beza perlulah diraikan. Tidak patut untuk pekerjaan doktor, jurutera sahaja yang disanjung-sanjung.
Hatta juruwang jua pekerjaan yang mulia. Sama juga bersukan jangan hanya mengehadkan bola sepak bagi lelaki dan bola tampar untuk perempuan. Guru perlu terokai minat setiap anak murid seperti badminton dan sebagainya.
Maaf atas tulisan yang tidak sebegitu menarii. Akhirul kalam, doakan aku bahagia dengan keputusan hidup yang telah aku tetapkan. Sekian wassalam.
– Yang Tersakiti (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit