Hi nama saya Alia (bukan nama sebenar). Saya berasal dari Ipoh, Perak.
Saya ada satu penyesalan yang amat saya sesali dalam hidup. Pada tahun 2022 saya telah putus cinta dengan lelaki yang amat saya cintai.
Penyebab saya putus cinta adalah saya sendiri. Saya telah curang dengan rakan sekerja saya yang lebih muda pada saya.
Saya amat menyesal kerana terlalu ikut nafsu.
Saya break pada tahun 2022 dan menikah dengan rakan sekerja saya pada tahun yang sama. Hanya selang 6 bulan.
Bekas kekasih saya amatlah baik dalam melayani saya. Tidak pernah berkasar dan tidak pernah memaki hamun saya sepanjang 5 tahun percintaan. Umurnya lebih tua dari saya.
Namun begitu kesilapan saya telah mencurangi dia kerana dibutakan dengan cinta baru.
Saya kenal dengan rakan sekerja saya yang diberi nama Affan sewaktu saya pertama kali bekerja selepas tamat belajar. Saya bermain cinta dalam diam.
Setelah 5 bulan bekerja saya berhenti kerana mainan cinta kami telah dihidu oleh orang sekeliling termasuk bekas kekasih saya.
Setelah saya berhenti saya mengira hubungan kami sampai disitu sahaja. Affan terus menerus menghubungi saya serta keluarga.
Affan seorang yang ramah dan bertutur sopan di hadapan orang tua. Oleh demikian orang tua saya yang pada awalnya tidak menyukai dia boleh menyukai dia dan membanding bandingkan dia dengan bekas kekasih saya.
Akhirnya saya dan bekas kekasih saya berpisah.
Bekas kekasih saya telah tawar hati dengan kelakuan saya. Maafkan saya.
Tidak lama kemudian saya bernikah dengan Affan tanpa ragu-ragu. Dia merupakan seorang bekas tahfiz.
Saya tanpa ragu-ragu menerima lamaran dia dengan mengharapkan dia lebih baik dari bekas kekasih saya dan dapat membimbing saya ke jalan yang benar.
Setelah menikah, sikit demi sedikit dia menunjukkan perangai sebenarnya.
Dia tidak solat. Dia juga melebihkan keluarganya berbanding saya sebagai isterinya.
Saya tidak kisah jika dia melebihkan ibu bapanya. Namun seluruh keluarganya ibu saudara bapa saudara atuk nenek diutamakan.
Dia juga sering bercerita buruk tentang saya di hadapan keluarganya. Ibu saudaranya juga pernah bergaduh dengan saya dan memanggil saya anjing.
Dia juga menghasut Affan supaya melepaskan saya. Namun begitu apabila saya meluahkan kepada suami saya, suami saya akan membela keluarganya.
Saya juga pernah diceraikan olehnya akibat dari hasutan dan campur tangan keluarganya.
Dua hari diceraikan, affan datang memujuk rayu saya untuk rujuk dan saya menerima setelah mendengar sumpah janji dari dia yang tidak akan mengulanginya lagi.
Janji hanya sekadar janji, dia mengulanginya lagi. Dia kembali tidak solat, kembali memaki hamun saya malah tindakannya lebih teruk dari dulu.
Dia pernah menghalau saya dari rumah di negeri yang saya tidak kenali sehingga akhirnya saya kembali ke negeri kelahiran saya.
Namun baginya semua yang berlaku adalah berpunca dari saya. Punca dia bertindak sedemikian adalah kerana saya. Itulah menurutnya.
Pakai makan kemas rumah saya yang uruskan. Ketika bertengkar, dia mengungkit sia2 hantaran 10k, sia2 menghabiskan duit untuk saya.
Bila saya mengungkit pakai makannya yang saya jaga, dia mengatakan dia tidak hadap itu semua. Itu semua kerja murah. Begitu biadab dan lancangnya mulut seorang suami.
Apabila tiba hari cuti, saya mengajaknya membuat kerja rumah sama2, penat katanya. Penat bekerja. Habis saya di rumah tidak bekerja?
Fyi dia bekerja di ofis ber aircond. Benar, dia penat otak bekerja. Namun saya juga penat menjaganya.
Dia seorang yang tidak kemas, pinggan sendiri tidak dibasuh, rumah bersepah tak apa, baju kotor merata. Manakala saya sebaliknya. Saya tidak boleh melihat kekotoran.
Saya juga penat. Penat fizikal membuat kerja rumah juga penat mental sering dimaki hamun direndahkan. Saya juga penat.
Apa yang saya paling sesali dalam hidup? Berkahwin…
– Alia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit