Mereka Yang Pelik Atau Aku Yang Busuk Hati?

Assalamualaikum semua pembaca. Semoga sihat sejahtera.

Tulisan ini agak panjang. Tapi harap sangat ada yang membaca terutama yang Faqih agama. Nama aku Sarah, sebagai pengenalan.

Baru2 ni kita dikejutkan dengan kemalangan yang melibatkan sebuah bas membawa pelajar2 UPSI. Kemalangan tragis ni mengakibatkan kematian 15 mahasiswa mahasiswi.

Saya memahami satu Malaysia bersedih dan terkejut, terutamanya kepada keluarga2 mangsa, rakan2 mereka, pensyarah2 dan semua yang mengenali mereka.

Banyak sangat post di media sosial terutamanya di Tiktok berkaitan ini. Cuma ada beberapa perkara yang sedikit mengganggu saya dan membuatkan saya tidak selesa dengan komen2 netizen. Pada saya komen sebahagian mereka agak over, pelik dan entah apa2.

Berikut ialah contoh komen :

1. “Yang meninggal tu 11 perempuan dan 4 lelaki merujuk kepada surah Hud adalah surah yang ke 11 dan ayat 4 artinya “Kepada Allah-lah kamu kembali. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu” Al-fatihah”.

Kenapa ya saya rasa menyampah sangat dengan komen ini? Kenapa nak kaitkan dengan nombor?

Apabila saya komen balas bahawa benda ini tidak elok kerana bermain dengan nombor, saya dikecam hebat kononnya perasan bagus. Mereka nasihatkan saya agar banyak2 berzikir dan berfikiran positif.

Ermmm…. Macam mana ya? Ni baru satu. Nanti apa2 peristiwa semua nak dikaitkan dengan nombor. Tarikh peristiwa, bilangan kematian dan lain2. Dah macam tukang tilik.

Bila saya suruh netizen terbalikkan pula bilangan kematian 4:11 merujuk suruh An-Nisa ayat 11, tak nak pula cakap apa2. Sebab? Ayat tu tak ada kena mengena dengan kematian. Ia berkaitan dengan harta pusaka.

2. “Mungkinkah ini bidadari Ahmad Ammar?”

Ada seorang mangsa adalah hafizah Al-quran dan kisahnya begitu menghidupkan hati2 yang lalai. Ia sedikit sebanyak memberikan kita motivasi untuk jadi sama seperti beliau.

Kisah jenazah beliau yang wangi, meninggal sambil mendakap Al-quran dan viral Al-quran bertulisan tangan, ia benar2 menginspirasikan.

Tapi rasanya netizen tak perlu over dengan buat2 tanya “Adakah ini bidadari Ahmad Ammar?”

Ramai pula yang menyokong kenyataan ini sedangkan benda2 ini adalah perkara ghaib yang kita tidak ketahui. Itu semua adalah rahsia Allah, kenapa kita nak kena berfikir ke tahap itu?

#Ahmad Ammar adalah seorang pemuda yang kisahnya tular beberapa tahun lalu yang meninggal dunia di Turkiye kerana dilanggar ambulans ketika dalam perjalanan untuk mengajar.

Namanya begitu harum di Malaysia dan di bumi Turkiye dan disemadikan di makam para syuhada dan sahabat2 nabi. Kisah beliau pun sungguh memotivasikan.

3. “Selamat berpraktikal di syurga”.

Ini lagi satu caption satu post dari kawan salah seorang mangsa. Biasalah kawan2 buat post berkongsi cerita. Nak cerita yang mereka ni rapat dengan almarhumah, menzahirkan kesedihan, post penghargaan dan sebagainya.

Larhhh… Tapi di akhir post kenapa nak tulis “selamat berpraktikal di syurga”?

Almarhumah mungkin tak lama lagi sepatutnya nak praktikal, tapi taqdir Allah, ajal menjemput dahulu. Lalu tak sempat praktikal. Sikawan tu pula buat caption macam tu. Terkedu terkelu terkaku tidak terkata saya merasakan overnya caption tersebut.

Dunia adalah tempat beribadah dan bekerja. Sedangkan syurga adalah tempat berehat. Dah kenapa nak kena praktikal kat syurga?

So, sekarang ni saya nak tanya pembaca, komen2 yang saya nukilkan dari netizen tu over, pelik, entah apa2 atau hati saya yang busuk?

Macam mak cik bawangkah saya?

Apapun semoga semua yang meninggal dunia dikurniakan syahid akhirat dan ditempatkan bersama solihin. Semoga semua yang cedera segera sembuh dan hilang trauma agar dapat meneruskan pengajian seperti biasa.

Dan kepada semua, hati2 di jalan raya.

– Sarahahaha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *