Merempat Di Negara Sendiri II

Untuk part I, (https://iiumc.com/merempat-di-negara-sendiri/).

Assalamualaikum and hye all. Aku pernah confess di sini dalam siaran yang lepas bertajuk, Merempat Di Negara Sendiri.

Dalam post tersebut aku tampil meluahkan perasaan sedih dan kecewa setelah baru dibuang kerja dan menyedari betapa peritnya mahu mencari kerja sehingga timbul rasa putus asa dan mahu melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya mengenangkan komitmen yang dipikul.

Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang yang sudi meluangkan masa membaca dan meninggalkan komen berupa nasihat dan kata-kata semangat.

Alhamdulillah, kalau sudah rezeki memang tidak akan ke mana, aku akhirnya berjaya mendapat tempat di sebuah syarikat yang agak besar, walaupun pangkatku rendah sahaja tetapi sudah cukup melegakan dan membuat aku bersyukur.

Hari ini aku nak berkongsi pengalaman aku sepanjang bergelar penganggur beberapa minggu lepas. Walaupun tak lama aku jadi penganggur, tapi sepanjang tempoh itu aku rasakan masa sangat lambat berlalu, aku rasa terseksa.

Aku menggunakan wang simpananku dengan sangat berjimat cermat kerana aku tidak tahu bila aku akan kembali bekerja.

Sepanjang pengangguran itu aku sudah mohon bermacam-macam kerja di bermacam-macam tempat. Baik secara online di laman sesawang atau secara walk in.

Aku masuk macam-macam group jawatan kosong di Facebook. Pokoknya aku sudah berusaha dan berikhtiar, selebihnya aku serahkan segala urusan kepada Tuhan.

Semasa sedang berusaha mencari iklan kekosongan jawatan, aku kebetulan ada terbaca tentang program Management Trainee. Aku tertarik dan mula mengkaji dan mendapatkan maklumat berkaitan Program Management Trainee.

Program ini adalah program Latihan meluas yang direka untuk pelatih yang bermotivasi diri bagi meneroka pelbagai jabatan dalam syarikat tertentu.

Ia bertujuan untuk menyediakan pelapis bagi menguruskan masa depan dengan membiasakan mereka dengan selok-belok sesebuah organisasi.

Berdasarkan hasil pencarian, secara amnya, program ini memfokuskan para graduan dan lepasan university yang berpotensi.

Bila masuk management trainee ni, mereka akan belajar selok belok syarikat itu, rotate ke semua department untuk belajar semua perkara A to Z dalam tempoh biasanya dua tahun.

Menariknya, tidak seperti intership, peserta program management trainee ini dibayar gaji yang lumayan. Malahan jika hasil kerja baik sepanjang Latihan, mereka akan diterima bekerja di syarikat tersebut selepas tamat program.

Di Malaysia, telah banyak syarikat besar yang membuka peluang ini, pandai-pandailah ambil peluang untuk cuba masuk dan kalau dapat bersyukurlah.

Namun demikian, kita tidak boleh bersikap terburu-buru sekiranya ditawarkan tawaran atau dipanggil temuduga oleh mana-mana pihak.

Kita berhak membuat pilihan dan menentukan baik buruk sesuatu hal kepada kita supaya tidak menjadi mangsa penipuan mana-mana pihak.

Setelah memohon di sana sini, ada beberapa pihak yang bertindak memberi balasan dan memanggil aku ke peringkat seterusnya adalah sebuah syarikat insurans yang terkenal di Malaysia. Aku dijemput ke temuduga secara atas talian melalui medium Zoom.

Aku diminta berpakaian formal dan kemudian di temuduga oleh seorang wakil syarikat yang memperkenalkan diri sebagai Recruiter syarikat tersebut. Aku tidak keseorangan, dalam masa yang sama ada dua orang lagi turut di temuduga juga.

Kami diterangkan tentang program management trainee itu, ianya sama seperti yang aku baca dan hasil pencarian aku sebelumnya.

Kemudian, aku dimaklumkan aku lulus interview itu dan layak ke peringkat seterusnya iaitu virtual talk, kalau yang tak faham dia macam ceramah la. Aku rasa teruja dan bersetuju.

Aku habiskan dua jam malam itu mendengar ceramah, mendengar kisah-kisah inspirasi daripada entah siapa yang aku tak kenal. Intinya semua berkisarkan sales, target sekian-sekian, kisah-kisah kejayaan, dan sales siapa tertinggi.

Dan aku terkejut juga begitu ramai yang hadir dalam sesi talk malam itu, dari pelbagai team pelbagai negeri. Bukan cuma lepasan university, tetapi juga ada sebilangan orang yang sudah berumur dari pelbagai latar belakang pekerjaan.

Yang tambah menghairankan, yang aku apply di web online itu lokasinya lain, kemudian aku dimaklumkan pejabat utamanya terletak di tempat lain pula. Contohnya aku mohon Manjung, Perak.

Tetapi bila dah mohon baru dimaklumkan tempatnya bukan Manjung, tetapi di Ipoh. Aku mohon yang di Manjung, tentulah sebab aku ingin bekerja di Manjung.

Kalau mahu bekerja di Ipoh, pasti aku akan mohon kerja-kerja yang ada di Ipoh lebih awal. Kenapa sejak awal terus bagitahu calon perlu bekerja di Ipoh. Atau lebih mudah lagi, terus iklankan lokasi itu di Ipoh saja.

Maksud aku mengapa tuliskan kekosongan jawatan di Manjung sekiranya di Manjung mereka tiada pejabat pun?

Bila aku utarakan persoalan aku itu, mereka nyatakan aku tidak perlu hadir ke pejabat pun, tetapi boleh bekerja dari rumah saja. Bekerja dari rumah bagaimana? Aku tak faham.

Setelah sesi virtual talk malam itu, aku dijemput ke sesi seterusnya besok. Iaitu talk lagi kali ini dengan team sales, yang mana aku diterangkan nanti itulah team yang akan Bersama-sama aku membuat sales dan pergi ke talk di mana-mana tempat.

Aku akan bekerja dalam satu kumpulan, apa-apa semua berkumpulan. Esoknya aku akan ada sesi talk lagi dan lagi. Jujur aku rasa bosan.

Aku bingung. Sekarang aku apa? Aku sudah diterima bekerja atau apa? Aku sudah ada team. Aku sudah lulus temuduga atau tidak? Aku lapor diri di mana? Mana surat tawaran aku sekiranya diterima bekerja? Berapa gaji pokok aku? Aku tak faham.

Bila aku tanyakan, semua macam terkebil-kebil nak jawab. Aku rasa kesal, rasa tertipu dan rasa membuang masa. Rasa dipermainkan. Rasa bagai digula-gulakan dengan janji manis begitu begini, hujungnya tiada rotate-rotate department atau belajar itu ini tapi kena buat sales.

Aku tidak berniat mahu mengambil remeh apa lagi memandang rendah kepada insurans. Aku sedar akan kepentingan insurans, malah aku sendiri dilindungi insurans kematian, kesihatan dan perjalanan.

Aku sangat menghormati sekalian orang yang menjadikan jualan insurans sebagai punca rezeki. Aku sendiri maklum pendapatan penjual insurans semua bukan biasa-biasa.

Tetapi buat masa sekarang aku memerlukan pendapatan yang tetap, aku tak boleh buang masa cuba-cuba atau try and error.

Aku rasa terkilan akan ketidak jujuran sesetengah pihak yang seolah-olah memperdayakan dan memberikan para graduan ini harapan palsu.

Aku mahu cari kerja yang jelas. Ada gaji pokok, ada surat tawaran, ada hari pertama untuk aku sambut. Aku ada tanggungan. Sepatutnya mereka berterus-terang sahaja, iklankan terus jawatan sales advisor, atau financial advisor sekian-sekian.

Tak perlu memancing orang di sebalik nama program management trainee begini. Totally misleading.

Rasa seperti terbuang begitu sahaja masa aku mendengar talk dari entah siapa-siapa, dengan tak tahu hujung pangkalnya tiba-tiba berbangga menayangkan kemewahan serba serbi. Tidak adakah sekelumit rasa bersalah mereka mempermainkan perasaan orang begini?

Sedangkan orang seperti aku sudah rasa teruja, rasa gembira. Aku betul-betul mengharap. Sakitnya mengharap, janganlah mengharap.

Aku berharap semoga sesiapa yang berada di situasi aku tidak patah semangat, teruskan berusaha dan berdoa. Percaya kepada janji Allah.

Semoga pengalaman aku dapat dijadikan pengajaran oleh orang lain supaya tidak membuang masa.

– Lilly (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *