Assalamualaikum wbt
Malam ni aku cuba tidur, tapi tak boleh. Aku buka Fb dan rata-rata masih hangat isu ibu kelar anak yang terjadi baru-baru ini diperkatakan.
Dari pemerhatian aku, rata-rata yang ulas, yang like dan share isu ni adalah kaum ibu. Tak kurang juga yang baru mengaku mereka pernah mengalami perasaan serupa semasa dalam pantang.
Aku sendiri baru buka mulut pada suami tentang apa yang aku pernah rasa selepas melahirkan anak sulung kami selepas kejadian ibu yang terjun dari kondominium pada 2015.
Aku tertanya-tanya, adakah orang lelaki benar-benar ambil tahu isu ini, atau pura-pura tak tahu? Aku rasa orang lelaki seolah ambil remeh soal emosi wanita. Apalah maknanya kesedaran tentang PPD ini jika hanya perempuan yang beriya-iya ambil tahu sedangkan di pihak suami, tiada perubahan sikap yang ditunjukkan.
Apa yang aku mahu kaum adam tahu;
1) kalau tak mampu jaga isteri dalam pantang, ambil tahu keadaan dan kesihatannya. Rajin-rajin bertanya khabar dia dan bayinya.
2) bila berkesempatan, belajarlah uruskan bayi. Mandi dan cuci beraknya. Tak pandai? Geli? Jangan nak keji ya. Tahi kau lagi busuk dari najis bayi.
3) mak isteri kau jaga isteri kau lepas bersalin adalah ihsan dia sahaja. Ingat ya, masa nak seronok kau ambil anak dia. Bila isteri tak mampu nak berkhidmat, kau hantar pulang ke rumah orang tua tu. Tak salah sebab mungkin kau sibuk cari rezeki. Tapi alangkah baiknya kalau kau belikan lauk siap-siap cuci dan siang, jadi mudah ibu mertua masakkan untuk isteri kau; tinggal panggang atas api. Bukan lauk segala keperluan kau serah pada mak bapak mertua kau untuk sediakan. Amboi buruk perangai.
4) belajar uruskan rumahtangga.
Selama ni kau pelik bini asyik berleter, mengadu penat, sakit-sakit badan. Lepas isteri bersalin adalah waktu terbaik untuk kau cuba buat segala tugasan yang bini kau uruskan selama ni. Aku harap kau tak mengeluh penat bila uruskan anak-anak yang masih kecil, basuh baju, kemas rumah.
5) ramai lelaki nak anak ramai. Tapi berapa kerat yang mampu jaga isteri masa dalam pantang? Kalau nak cuci berak anak pun berkira, mimpilah kau mahu anak ramai. Perempuan ada masa dia bukan tak mau buat. Tapi masa pantang, masa sakit dan masa yang terlalu sibuk dengan kerja rumah, perlu bantuan suami uruskan apa yang patut.
6) meroyan isu serius. Postpartum depression atau postpartum psikosis adalah penyakit merbahaya dan boleh mengakibatkan seorang ibu membunuh diri sendiri mahupun bayinya. Tolonglah bapak-bapak sekalian. Jangan pandang remeh hal berpantang. Isteri tu mengandung, bersalin, menyusu; hormon turun naik dalam dirinya. Nak sesuaikan diri dengan kehadiran orang baru dalam hidup. Sebagai pasangan yang berperikemanusiaan, kasihanilah dia. Sokonglah jiwanya. Belailah emosinya.
Buat masa ni, cukuplah dulu 5 point aku cuba sampaikan. Aku tahu orang lelaki bukan suka baca panjang-panjang.
Aku nak move on, tapi selagi kesedaran tentang hal ni tak tular lagi dalam jiwa bapak-bapak; sukar. Sebab aku sangat harap lepas ni tiada kes seumpamanya berlaku lagi.
– Puan M
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit