Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUM Confession. Selamat Hari Raya dan aku doakan semoga korang semua bahagia bersama keluarga tersayang.
Aku Puan F dah enam tahun berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Hari ini aku nak ceritakan tentang mertua aku dan segala kebaikannya pada kami sekeluarga.
Tujuan aku bercerita bukan nak berlagak aku ada mertua baik tapi nak cakap mertua yang baik ni sebenarnya wujud dan tak mustahil pembaca semua boleh dapat. Jangan putus doa dan usaha. Kalau nak show off baik aku guna facebook aku je haha.
Keluarga aku bukanlah dari keluarga yang senang, ayahku pekerja kerajaan dan ibu tidak bekerja. Keluarga besarku juga bukanlah dari kalangan berada. Tapi Alhamdulillah cukup makan, pakai dan pendidikan dari kecil hingga besar.
Semasa aku kecil, impian berkahwin dengan orang kaya selalu dijadikan gurauan oleh pakcik makcik dan sepupu sepupuku. Aku pula, memang tidak berminat, satu sahaja yang aku mahu, suami yang rajin. Alhamdulillah dapat suami yang cukup rajin.
Alhamdulillah, aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke Ireland dan di sana aku bertemu dengan suamiku sekarang.
Suamiku dari golongan yang agak berada berbanding aku, terutamanya keluarga sebelah ibunya. Kebanyakannya adalah dato’ datin, professors dan pemegang jawatan tinggi tinggi juga dalam kerajaan.
Jadi aku agak nervous untuk masuk ke dalam keluarganya. Tapi Alhamdulillah, urusan pertunangan dan pernikahan kami dimudahkan.
Keluarga besar suamiku sangat humble. Aku tak pernah tahu suami aku ada pakcik makcik yang kaya sampailah aku tolong kemas rumah masa nak raya tahun lepas dan jumpa surat surat rasmi keluarga dia.
Sepupu sepupu suamiku juga humble sangat, tak ada pun nak berlagak eksyen ke apa. Sedangkan semua tahu aku dari kampung dan dari keluarga biasa biasa. Mereka selalu cakap nanti nak pergi kampung aku lagi duduk homestay ramai ramai. Haha.
Ibu mertuaku sama macam kebanyakan ibu ibu, loud, tegas, suka juga nagging anak anak dia, haha. Tapi bagi aku dia seorang yang sangat wise dan mature. Tak semua ibu mertua mature ya.
Pulang dari Ireland aku sempat tinggal bersama mertua hampir tiga tahun, tak pernah sekalipun mertuaku masuk campur urusan peribadi perkahwinan kami ataupun adik beradik suamiku yang lain kecuali jika kami bertanya pendapat.
Mestilah aku dan suami pernah bergaduh, tapi tak pernah ibu mertuaku mengapi apikan kami dan jarang sangat dia menangkan siapa siapa. Kalau ada pun dia nasihat, dia akan nasihatkan suami aku dan menangkan aku, huhu.
Satu lagi aku perasan ibu mertua aku sangat tak suka bercakap pasal orang, kecuali benda benda yang memberi pengajaran atau kebaikan walaupun dia seorang yang agak ringan mulut.
Ayah mertuaku pula seorang yang pendiam tapi sangat baik juga. Sangat penyayang dengan anak anak termasuk cucu dan menantu. Rajin buat chores, tak boleh duduk diam. Kadang kadang baju aku pun dijemurnya, bila maid busy dan aku pun uruskan anak anak. Makan mesti ajak aku sekali.
Pernah ketika kami belum bekerja dan aku dan suami cukup cukup duit untuk beli baju raya sepasang seorang sahaja, ayah mertuaku nampak aku duduk sahaja tak pilih baju. Ayah cakap, pergilah pilih blouse ke jubah ke ayah belanja.
Masa tu aku baru kahwin jadi aku tolak sebab segan. Sama seperti masa aku dan suami mula mula start kerja, ayah jugalah yang pinjamkan kereta, belikan baju kerja aku dan suami, pinjamkan duit sebelum dapat gaji pertama, tumpangkan duduk rumah.
Baru baru ini, suamiku tiba tiba forward satu mesej daripada ayah. Ayah cakap ayah dan ibu halalkan segala pinjaman yang aku dan suamiku buat dengan ayah yang kami masih lagi cuba bayar hingga sekarang. Tak sikit sebab along the way, kami banyak hiccups, here and there. Yang dah kahwin mesti faham.
Kami bertegas nak bayar juga. Tapi ayah bertegas tak perlu, cukup doakan ayah dan umi dan jadi anak soleh solehah dan besarkan cucu cucu mereka dengan baik. Supaya amal tetap mengalir pada mereka bila mereka sudah tiada nanti.
Bagi keluargaku, ayah dan ibu mertuaku baik sebab mereka kaya dan mampu. Tapi bagi aku orang yang baik dan ikhlas akan selalu baik dan ikhlas. Bila mereka ada sedikit, mereka akan beri sedikit. Bila mereka ada banyak, mereka akan beri banyak.
Apabila mereka memberi, takkan disebut lagi pemberian mereka, takkan disindir orang yang diberi. Kita tak perlu nafikan kebaikan hati orang cuma kerana dia senang. Lagipun, bukan sedikit aku tengok ibu bapa mertua yang senang tapi kedekut dan tak suka dengan menantu.
Ayah dan ibu mertuaku bukan asal dari keluarga yang senang. Mereka kahwin pun tiada pelamin atau majlis. Makan di atas lantai sahaja. Tapi aku rasa ni norma zaman dulu dulu.
Baju pun cuma pakai baju nikah seharian, tiada bulan madu. Simple people. Mula bekerja daripada jalan kaki ke tempat kerja, kemudian naik bas dan kemudian naik motor dan bila anak anak bertambah naik kereta.
Tapi satu beza aku lihat daripada cerita mereka, mereka pentingkan pendidikan. Ada orang ada sedikit duit akan beli emas dan tanah, ini tak salah, bergantung prioriti masing masing.
Semasa muda bila ada sedikit duit mereka akan invest pada diri sendiri. Mereka sambung belajar. Pakai baju raya dan tudung sama berulang tahun pun tak apa. Ada masanya mereka pinjam duit untuk sambung belajar walaupun zaman itu, ramai yang terus bekerja.
They took the risk. Bersusah susah dahulu bersenang senang kemudian. Dari situ aku faham, tiada yang lebih penting melainkan kefahaman agama dan pendidikan. Harta boleh datang dan pergi, tapi nilai dan ilmu dalam diri kita tak dapat dijual beli.
Daripada mereka berdua, aku lihat banyak pengajaran walaupun mereka tak pernah ajar/ tegur aku apa apa. Raya kali ini kami tak dapat balik beraya sama sama walaupun tahun ini turn keluarga mertuaku. Anak anak aku pun asyik nak balik jumpa nenek dengan atok mereka. Aku pulak yang sedih haha.
Aku harap dan berdoa, suatu hari nanti aku mampu jadi seikhlas ibu dan ayah mertuaku. Aku harap aku berjaya jadi ibu dan ibu mertua yang baik buat anak dan menantu menantuku.
Aku harap aku dan suami mampu berjaya dunia akhirat dan sempat membalas semua jasa dan pertolongan yang mereka berikan pada kami walaupun mereka tak minta balasan.
Aku harap korang doakan kesihatan, panjang umur dalam keberkatan buat mereka berdua juga buat ibu dan ayah aku. (Cuma aku tak tulis pasal ibu ayah aku dalam ni sebab ni kan confession pasal mertua. Haha. )
Kepada yang masih mencari jodoh, selain berdoa dan berusaha untuk dapatkan suami yang baik, doalah juga untuk dikurniakan keluarga mertua yang menerima dan sayang kita seperti anak anak mereka sendiri. Sebab jadi menantu yang tak disayang ini pedih, lebih pedih kalau melarat ke anak anak.
Tak semestinya perlu keluarga ustaz ustazah, yang penting nilai kekeluargaan dan kefahaman agama yang mereka amalkan dalam keluarga mereka.
Aku doakan yang sudah berumah tangga dan ada masalah dengan mertua, dilembutkan hati mertua supaya sayang dengan anda semua dan yang belum berjumpa jodoh, semoga dikurniakan suami soleh dan mertua yang penyayang, InsyaaAllah.
– Puan F (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit