Mertuaku

Assalamualaikum semua. Pertama sekali, terima kasih kepada admin sekiranya kisah saya ini disiarkan.

Tujuan saya, menyuarakan luahan hati saya ini kerana saya inginkan pendapat dan nasihat daripada semua supaya saya menjadi lebih baik buat diri, keluarga dan masa depan saya.

Nama diberi Lia (bukan nama sebenar). Baru sahaja mendirikan rumah tangga pada bulan Ogos yang lalu dalam tempoh pkp. Berumur dalam lingkungan 20-an. Seorang yang bekerjaya dan menetap di Kuala Lumpur.

Saya dan suami berkenalan ketika kami di zaman belajar. Suami seorang lelaki yang sangat baik, penyabar dan saat taat pada ibubapanya. Beliau seorang anak yang baik.

Sepanjang kami, berkenalan, saya selalu mencuri-curi pandang telefon suami dan mendengar perbualan suami bersama ibunya. Sopan gaya bahasanya. Penyayang kelakuannya terutama sekali terhadap ibunya.

Setiap kali, kami meluangkan masa bersama, suami akan cuba mencuri sedikit waktu untuk bertanya khabar ibunya. Apakah beliau sudah makan di rumah? Apakah ibunya inginkan sesuatu untuk dibelikan? Ya, beliau memang seorang lelaki dan suami yang baik.

Cuma, setelah berumah tangga ini, kadang – kadang saya banyak makan hati apabila saya merasakan hidup saya seperti tiada “privacy” dan waktu untuk diluangkan bersama suami.

Kami tidaklah tinggal sebumbung bersama mertua. Sebelum berkahwin saya memang sudah bertegas dengan suami, kalau boleh biarlah kita cuba untuk hidup berdikari dan menyewa rumah sendiri.

Suami setuju. Suami cuba mencarikan rumah sewa untuk kami tinggal selepas kahwin.

3 bulan sebelum kahwin, suami menunjukkan saya rumah yang ingin disewakan. Rumah itu ok. Tetapi, jarak kedudukan rumah kami dan rumah mertua cuma 10 minit perjalanan jika menaiki kereta.

Pada awalnya, saya berat hati kerana risau akan terjadi konflik sekiranya rumah berdekatan dengan mertua.

Macam-macam yang saya fikir sebelum itu, risau sekiranya mertua akan terasa hati jika kami jarang melawat mereka di rumah atau jika kami ingin luangkan masa bersama dan jarang jenguk rumah mertua.

Tetapi, suami cuba berfikiran terbuka. Beliau cuba meyakinkan saya baiknya jika rumah berdekatan dengan keluarga, contohnya sekiranya berlaku sebarang jenis kecemasan kami senang untuk meminta bantuan.

Tambahan pula, beliau berfikir kawasan rumah sewa kami itu strategik dan berdekatan dengan pelbagai kemudahan awam. Maka, akhirnya saya setuju dengan pandangan suami.

Waktu awal- awal kahwin, semuanya baik sahaja. Tetapi, sejak kebelakangan ini saya mula perasan sesuatu daripada sikap mertua saya. Mertua seperti tidak memberi peluang pada kami untuk mempunyai waktu bersama.

Suami juga kadang-kadang berbelah bahagi untuk menjaga hati ibu atau isteri? Saya faham, jikalau mertua rindukan anaknya tetapi, mertua juga seharusnya faham bahawa anaknya itu sudah mempunyai keluarga sendiri.

Kami berdua bekerja. Kadang-kadang penat dan ingin berehat di rumah sendiri. Saya penat, apabila suami kerap mengajak saya untuk pulang ke rumah mertua.

Ada waktu, saya berkata kepada suami bahawa diri saya sangat penat untuk keluar rumah pada waktu itu. Tetapi, kemudian suami memujuk kerana mertua mengajukan ayat seakan merajuk.

Saya tidak faham, walhal baru sahaja 2 hari lepas kami datang rumah mertua meluangkan masa di rumahnya.

Belum lagi, pada waktu hari-hari minggu mertua akan mengajak suami untuk tidur di rumahnya.

Saya bukannya ingin menolak kehendak mertua tetapi, saya inginkan waktu bersama juga bersama suami saya. Saya juga ingin rasa, bersiar-siar bersama suami di hari minggu tanpa perlu saya fikirkan tentang siapa-siapa.

Saya berasa bersalah dengan suami kerana kami selalu bergaduh tentang hal ini. Beliau tersepit. Saya tahu, beliau anak yang taat. Tapi, saya juga makan hati jika ini berterusan. Saya tidak mahu menjadi isteri derhaka kerana kerap bermasam muka dengan suami.

Tetapi, perasaan saya juga terguris. Saya sedih apabila melihat raut wajah suami yang sedih kerana saya melukai hatinya disebabkan saya rimas dengan perangai mertua yang seperti sukar untuk terima hakikat anaknya sudah berumah tangga.

Dalam masa yang sama, saya terpaksa makan hati kerana saya tidak mahu suami melawan mertua sebab saya. Saya tidak mahu beliau dilabelkan anak derhaka kerana saya.

Saya sedih.

– Lia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *