Assalamualaikum semua. Terima kasih admin jika post confession saya. Disini saya perkenalkan diri saya sebagai Jasmine berumur 20-an.
Seperti tajuk di atas, saya rasa semua dah dapat agak apa yang saya nak luahkan. Saya seorang anak sulung.
Sebenarnya apa yang saya perhatikan, ramai anak yang makan hati dengan ibu bapa masing-masing.
Bukan nak salahkan sesiapa, saya cuma nak luah perasaan sebagai seorang anak. Harap ibu bapa di luar sana tak marah akan confession saya.
Ibu, Abah.. Kakak juga anak ibu abah kan. Kenapa layan kakak seolah kakak anak pungut? Kenapa pilih kasih?
Kenapa adik adik buat salah kakak yang dimarahkan? Kenapa asyik lebihkan adik-adik? Kenapa selalu marah kakak walaupun kakak hanya diam? Apa salah kakak?
Kenapa ibu abah tak peduli pasal kakak sepertimana ibu abah peduli pasal adik adik?
Untuk pengetahuan semua, saya masih lagi seorang pelajar universiti. Jadi sejak awal covid masuk Malaysia lagi saya dah belajar online (ODL).
Sekarang alhamdulillah dah hampir tamat pengajian. Tapi jujur saya katakan, semangat belajar tu dah hilang setahun lebih dah. Kenapa? Meh saya ceritakan.
ODL tu tak mudah ye ibu abah. Saya perlukan support dari ibu abah. Tapi malangnya saya tak dapat support system tu.
Ibu Abah cuma tahu marahkan saya je sebab saya banyak menghadap laptop dengan phone terperap dalam bilik manakala si adik adik yang sama ber ODL tidak pula dimarahinya.
Sangat tak adil. Sistem sekolah tak sama dengan sistem universiti. Siapa yang tahu, tahu lah berapa banyak assignment yang kami kena selesaikan.
Caci maki sumpah seranah dah lali saya mendengarnya. Anak tak guna, anak iblis, babi, kera, bodoh, setan, gila, semuanya diucapkan untuk saya.
Abah juga pernah pukul saya. Pukul di kepala ye sampai ke harini terasa sakit. Tarik rambut.
Tapi masa kena pukul, sumpah demi Allah saya tak menangis langsung walaupun sakit. Sakit di hati lebih besar dari sakit di tubuh.
Begitukah layaknya layanan seorang ayah terhadap anak perempuannya? Orang kata ayahlah sosok pelindung anak perempuannya. Em entahlah.
Saya tak pernah sekalipun melawan ibu abah. Saya banyak berdiam diri sebab tak nak jadi anak derhaka.
Sekarang saya cuba menjauhkan diri dari family sendiri, banyak kurungkan diri dalam bilik. Entahlah, mungkin tawar hati. Teringin nak luahkan tapi nanti kena marah.
Untuk para ibu bapa diluar sana, kami sebagai anak tak mintak banyak pun, kami cuma mahukan perhatian dan layanan yang sama seperti adik beradik yang lain.
Sebab ibu bapa adalah yang utama dalam hidup seorang anak. Dalam agama pun mengajar kita untuk hormat ibu bapa. Tidak ada seorang anak pun yang nak jadi anak derhaka.
Jangan asyik mencari salah anak, saya mohon untuk ibu bapa di luar sana cubalah muhasabah diri, apa salah yang pernah dibuat terhadap anak. Rendahkan ego untuk minta maaf.
Tak jatuh maruah dan kedudukan seorang ibu bapa jika memohon maaf terhadap salah silap yang telah dilakukan terhadap anak, malah darjat ibu bapa akan diangkat lebih tinggi.
Seorang anak hanya perlukan ucapan mohon maaf.
Percayalah selepas itu, terasa seperti satu beban besar telah terlepas dari bahu.
Jujur saya katakan, saya jealous sangat sangat tengok video ibu bapa bermesra dengan anak anak. Secara tak sedar, air mata laju mengalir di pipi.
Sakit sedih semua saya kena simpan sendiri. Saya disuruh untuk kuat, usaha sendiri, tak mudah menangis.
Tapi lupakah mereka yang saya juga seorang anak perempuan yang juga perlukan kasih sayang dan perhatian mereka?
Saya ingin mohon maaf jika luahan saya ada mengguris perasaan mana mana pihak. Doakan saya diberi kesabaran yang tinggi. Terima kasih
– Jasmine (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit