Mesin Basuh

Salam aku Belle, mempunyai mesin basuh berusia sekitar dua tahun yang sudah kehabisan warranty. Mesin basuh aku sudah rosak dekat dua bulan.

Awalnya masalah bermula dari paip bilik air yang menyebabkan air melimpah di dalam bilik tidur dan terkena mesin basuh. Rentetan itu mungkin ada ‘shock’ disitu. Maaf. Aku tak arif bahagian elektrik. Jadi tentulah aku mencari yang lebih arif.

Aku hubungi pembaiki yang aku beri gelaran Encik Man ini yang aku jumpa dari facebook. Tidak mempunyai review tapi disebabkan aku terdesak kerana sukar untuk mencari pembaiki disekitar tempat aku diami maka aku teruskan juga mengupah beliau.

Beliau berjanji untuk menempah barang dan meminta deposit sebanyak seratus. Terus aku transfer tanpa banyak soal. Kerana sudah dua minggu juga aku tidak membasuh baju berikutan masalah paip.

Minggu berganti minggu. Bila dihubungi, barang masih tidak sampai, ada sahaja alasan di beri. Terpaksa kuarantin dirumah rentetan terkena infeksi covid (masih boleh diterima) dan sebagainya.

Suami aku pula masuk minggu ke tiga mula bertanya dan ingin step in. Aku minta untuk sabar dahulu. Kita pun tak suka jika kerja kita didesak.

Tepat sebulan, suami aku mula menghubungi beliau. Beliau berjanji untuk datang dan ya akhirnya datang.

Aku tidak berada dirumah kerana kerja tapi bila suami aku bertanya, adakah sudah ditukar barangan yang rosak dia mengiyakan sahaja sudah dibeli barang baru namun tidak juga selesai masalahnya.

Encik Man seterusnya berjanji untuk datang selepas aku bekerja shift malam. Selepas pulang bekerja aku sempat tidur sekitar dua jam dan tidak sempat untuk berehat dek melayani anak yang aktif.

Aku sempat memberi text bertanya adakah hari ini dia jadi untuk datang. Mesej langsung tidak berbalas.

Apabila jam sudah menghampiri pukul 8 malam. Aku sudah mula hilang sabar. Aku terus menelefon Encik Man.

Dengan gelakan kecil dia berkata dia menghadiri kenduri kahwin di luar daerah. Respon aku? Tentulah tidak menyenangkan kerana aku sudah penat cuba bersangka baik.

Aku juga lelah fizikal. Aku dan suami bekerja lebih 70 jam seminggu, terkadang kerja tanpa offday sehingga sebulan dua lamanya tapi masih kami cuba aturkan masa kerana kami betul betul tiada masa untuk ke dobi.

Dan sudah aku usulkan juga kepada Encik Man perihal kerja kami, tidak diberitahu apa kerja kami sekadar untuk dia tahu kami berkerja di hospital dan tidak mempunyai masa seperti orang lain.

Aku mula bertanya mengenai barang yang ditempah. Setelah didesak, baru lah tahu barang yang ada di mesin basuh kami tidak berganti.

Lantas aku meminta refund dan dia bersetuju. Setelah 10 hari masih tiada refund diterima. Masih dengan alasan itu dan ini.

Malam ini aku hantarkan text kepada Encik Man, jikalau benar dia ada usaha untuk membaiki mesin basuh aku, tidak mengapa aku halalkan deposit yang diberi. Sebenarnya sudah aku katakan dekat Encik Man sebelum itu lagi.

Aku akan bayar servis dia walaupun tidak berjaya membaiki cumanya aku perlukan pengesahah barang yang ada bersama kami ini original atau sebaliknya? Aku tidaklah tidak mempunyai hati perut. Di zaman endemik ini, hanya kita tolong kita.

Tetapi tidak boleh la juga kalau kita tak berdedikasi dekat kerja kita dan mengharap support dari orang sekeliling semata mata.

Aku ambil contoh, ayah aku yang bekerja sendiri menggunakan tulang 4 kerat beliau. Setiap kali mendapat panggilan kerja, dia akan catat masa dan tarikh.

Dia akan datang awal, dan seandainya dia masih tidak dapat membaiki tandas/tangki tersumbat dia tidak berdiam diri dan biarkan client dia menanti sebaliknya dia jujur dan akan cuba untuk rekomen orang yang mungkin lebih mahir dari beliau.

Dek kerana itu alhamdulillah kami 7 beradik cukup makan minum dan pakai.

Jadi, tidaklah aku memperkecilkan orang yang kerja sendiri. Aku faham kerana aku pun bukan asal anak orang senang.

Aku hanya terkilan apabila sesetengah bisnes dari kaum aku sendiri susah untuk jujur apabila tidak memiliki kemahiran, sebaliknya dibiar client menunggu minggu demi minggu.

Mungkin faktor ini yang menyebabkan kita melihat lambakan barang memburuk di kedai baiki barang elektrik. Dek lama sangat menunggu akhirnya customer redha dan beli yang baru.

Rentetan hal ini, Ibu aku pun ada usulkan untuk beli yang baru. Aku menolak kerana masih terlalu awal.

Mesin basuh ini mungkin tidak bernilai bagi pandangan orang lain tapi ianya harta yang sangat bernilai bagi kami kerana dari awal kahwin sehingga anak berusia setengah tahun kami membasuh baju menggunakan tangan.

Jadi mempunyai mesin basuh itu adalah satu nikmat yang besar sebenarnya. Dan ya kami ulangi zaman itu kembali kini.

Kata suami aku, Allah uji sebab Allah nak kita ingat balik zaman dulu kita takde washing machine, kalau tak kita tak ingat pun peranan dia dalam hidup kita. Indeed

Sometimes kita pun tak sedar yang kita hidup selesa sehingga kita diuji. Alhamdulillah untuk segala nikmat

Dan untuk issue aku, Alhamdulillah kami jumpa orang yang lebih berkemahiran kali ini. Moga mesin basuh kami okay seperti dulu. Doakan ya!

– Belle (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *