Assalamualaikum para pembaca yang dikasihi sekalian. Terima kasih andai admin sudi menyiarkan pandangan rakyat marhaen yang maha lemah ini. Aku ingin berkongsi pendapat berkisarkan isu pelarian atau ‘refugee’. Sedikit pengenalan, aku kini sedang menuntut ilmu di sebuah negara di Eropah.
Berkelana di negara minority muslim, bertudung litup merupakan antara cabaran terbesar di sini. Beberapa kali pernah digelar ‘alien’, malah ada penduduk tempatan pernah berkata “ Nanti hari Halloween, tak perlu la awak bersusah payah cari kostum, sebab pakaian yang awak pakai ni pun dah macam kostum!”. Haha… Balik tu, terus aku berdiri depan cermin, cari balik keyakinan diri…hihi…lepas tu berbisik sendiri “Hmmm..biasa ja, tak nampak ‘scary’ atau ‘funny’ macam kostum Halloween pun???”
Apabila berhijab, maka jelas tanpa berselindung, bahawa aku membawa imej seorang muslim.Oleh itu, ramai juga rakyat tempatan mengambil kesempatan untuk bersoal jawab berkenaan kekeliruan mereka mengenai Islam. Bagi aku, hal ini sangat positif kerana sesetengah mereka ada inisiatif untuk mendalami sendiri Islam melalui penganutnya berbanding mempercayai semua perkara yang diceritakan di media. Antara isu yang kerap diajukan adalah berkenaan hijab, wanita, keganasan/terrorism/jihad dan lain-lain. Hal ini menjadi motivasi untuk aku lebih gigih memahami Islam dan al-quran dan berusaha untuk menjadi muslim contoh sekaligus berdakwah mengenai kefahaman islam yang sebenar kepada mereka.
Pernah sekali ketika aku sedang berseorangan, aku perasan seorang pakcik ni asyik memandang kearah ku. Akhirnya, dia mula mengorak langkah menghampiriku. Aku dah agak yang pakcik ni ada ‘random questions’ nak tanya. Bukan kali pertama aku diterjah macam ni…huhu..cuak tak? Setelah perkenalkan diri, beliau mula bercerita.
PAKCIK: Awak tahu kan semakin ramai pelarian muslim dari Syria sekarang ni. Hari tu, ada offer untuk sesiapa yang nak hulurkan bantuan kepada mereka. Kebetulan saya ada sebuah rumah fully furnished(lengkap perabot) yang tiada penyewa. Jadi saya dengan rela hati menyerahkan rumah terbabit sebagai penempatan sementara para pelarian tersebut.
AKU (mata dah bersinar-sinar terharu):MasyaAllah, baiknya pakcik. Terima kasih sudi membantu mereka…blablabla..kami amat menghargai…blablabla…
PAKCIK(dengan nada kecewa): Tapi, awak tahu tak? Tak ada seorang pun dari pelarian tu sudi duduk di rumah saya. Alasan mereka kerana rumah tu terletak di kawasan luar bandar. Sukar untuk mencari pekerjaan?
Beliau memandang tepat ke mataku, meminta kepastian. Dia seolah-olah ingin bertanya, “Muslim memang macam tu ke? Tak bersyukur ke? Orang dah terima masuk negara ni, masih nak memilih, masih nak meminta-minta?”
Aku terpana….huhu, kelu, tak mampu menjawab soalan yang terpancar dari matanya. Aku takut apa yang keluar dari mulutku menjadi fitnah buat pelarian yang tidak aku kenali ini. Aku tak mahu memburukkan lagi keadaan mereka. Sudahlah terpaksa meninggalkan negara tumpahnya darah, takkan aku nak memberi imej yang buruk kepada mereka. Pada masa yang sama, aku amat memahami kekecewaan pakcik bukan islam yang sangat ikhlas nak membantu ini…
AKU: Oh…so takde sesiapalah tinggal di rumah pakcik sekarang..hmmm…pakcik ni baik orangnya..blablabla(cubaan ubah topic sebab aku memang tak mampu nak jawab soalan beliau)
Pakcik tu memotong omong kosongku. Mungkin dia perasan aku cuba elak dari menyentuh mengenai kekecewaan yang dirasainya mengenai sikap pelarian tersebut. Telah beberapa tahun menetap di negara itu, aku tahu, pemberian beliau bukan biasa-biasa. Sebuah rumah fully furnished di negara ini, kalau disewakan boleh mencecah 1500euro sebulan. Belum campur bil air , api dan gas. Kita sendiri selaku umat islam mungkin tak dapat berbuat begitu untuk saudara seislam kita kan(jom muhasabah ramai2 :( )? Cuba tanya pada diri sendiri, mampukah kita menjadi persis kaum Ansar tatkala kaum Muhajirin berhijrah dari Makkah ke Madinah?
PAKCIK: Saya tak faham kenapa mereka tolak bantuan saya? Saya betul-betul nak tolong???
Beliau terus pandang aku dengan harapan aku berkata sesuatu bagi mewakili umat islam dan ajaran quran yang kita agung-agungkan itu. Sungguh aku kelu….
Akhirnya, sahabat yang dinanti tiba. Aku terus meminta diri(lebih tepat lari dari jawab soalan), memberi alasan bahawa teman sudah menunggu. Aku meninggalkan pakcik berhati mulia itu dengan penuh tanda tanya. Aku pasti dia kecewa. Persoalannya belum terjawab. Sampai sekarang aku masih dihantui wajah kekecewaannya yang menanti jawapan.
Aku sedikit kecewa hari itu. Aku kecewa. Di suatu sudut dunia, ada muslim yang sedang berjuang berhabisan mempertahankan tanah air. Di sudut dunia lain pula, ada muslim yang berusaha menampilkan akhlak terbaik dalam bergaul dengan non-muslim dan ada juga muslim yang giat menyebar luaskan(dakwah) kefahaman islam sebenar. Tapi, mengapa masih ada sebahagian muslim yang seolah-olah cuba merosakkan usaha saudara seislamnya yang lain dengan menampilkan akhlak sebegitu??? Seminggu sebelum kejadian itu, aku ada terbaca berita berkenaan ‘rape jihad’ oleh Afgan- refugee di negara Eropah yang lain. Sungguh aku semakin keliru. Aku cuba bersangka baik dan mengganggap itu cerita yang mungkin direka bagi memburukkan islam. Sampai bila kita selaku umat islam perlu dibenci, dihina dan ditindas oleh sebab kesalahan-kesalahan yang kita sendiri lakukan dengan tangan-tangan kita?
Namun, aku tidak berputus asa. Aku mula mengkaji dan membaca buku-buku serta artikel berkenaan pelarian. Siapakah yang sebenarnya yang dikategorikan sebagai ‘pelarian’ ini? Panjang untuk aku ceritakan di sini semuanya. Aku cuba untuk menyimpulkan semuanya berdasarkan hasil “ kajian tidak formal entah apa-apa” aku ni, berserta pengalaman aku tinggal di dua negara berbeza(Eropah minoriti Muslim dan Malaysia yang memartabatkan islam sebagai agama rasmi).
Bagi aku, kita yang tidak pernah menjadi pelarian sesungguhnya tidak layak untuk menghina apatah mengkeji status mereka selaku “pelarian”. Menjadi pelarian tidak kira dari negara mana sekalipun, bukanlah suatu pilihan biasa seperti hendak memilih movie mana mahu ditonton malam ini, atau warna apa menjadi tema raya tahun 2018. Ia adalah pilihan antara hidup dan mati. Terutamanya bagi ‘pelarian sebenar’ yang miskin yang mungkin terpaksa melalui perjalanan berliku sebelum sampai ke tempat yang belum pasti mahu menerima mereka! Ramai antara mereka malah tekorban sebelum sempat tiba ke destinasi yang entah di mana. Ada juga yang terpaksa berkampung di Calais menanti jawapan sama ada layak tinggal di negara lain atau bakal dihantar pulang ke negara asal yang porak peranda. Sungguh kita tak akan pernah faham segala penderitaan yang mereka alami.
Jangan juga kita menghina para pelarian yang berjaya melepaskan diri dari kekusutan negara mereka dengan lebih bernasib baik, dan mendapat pekerjaan yang baik di negara lain. Bukan semua mereka sengaja mahu melepaskan diri dari kemelut yang melanda. Islam menganjurkan supaya dalam sebuah peperangan, tidak semua perlu ikut ke medan, perlu ada sebahagian yang tinggal/menyelamatkan diri untuk menuntut ilmu dan belajar(betulkan aku kalau salah).
Kita tidak pernah tahu berapa banyak dari pendapatan mereka yang dihantar untuk keluarga yang masih berjuang di negara asal. Mereka perlu mendidik anak-anak mereka untuk mendapat pendapatan yang lumayan untuk membantu saudara mereka di sana. Ini adalah berdasarkan pengalaman aku yang pernah berbual dari hati ke hati dengan pendatang dari Libya, Afgan, Palestin dan banyak lagi. Masih tergambar di mindaku, mata berkaca seorang pensyarah tatkala dia minta aku doakan yang terbaik untuk negaranya. Masih segar di ingatanku, wajah rindu seorang ayah ketika menceritakan keperitan yang terpaksa dilaluinya demi mencari wang untuk saudara tercinta di tanah air.
Kita semestinya tidak boleh memukul rata dan menganggap buruk semuanya, berdasarkan akhlak yang ditampilkan oleh sebahagian yang lain. Tidak semua umat islam memahami erti sebuah ‘PERJUANGAN’. Tahukah kita apa makna sebenar apabila presiden Amerika Donald Trump, mengumumkan kempen ‘travel-ban’ yang dilancarkannya secara besar-besaran. Sedangkan kita sedia maklum, begitu ramai muslim Amerika yang telah lama menetap di negara terbabit dan turut menyumbang kepada pembangunan negara tersebut. Layakkah mereka diusir oleh sebab kebencian terhadap akhlak yang ditonjolkan oleh sebahagian yang lain yang belum memahami erti PERJUANGAN ini?
Aku sama sekali tidak pernah membenarkan semua tindakan/akhlak buruk yang dilakukan oleh kita sendiri selaku umat islam. Aku sendiri mengakui masih banyak salah dan khilaf. Aku sendiri merupakan pengembara yang sedang dalam perjalanan menuju Tuhan. Banyak dosa dan noda. Sebab itulah, nabi Muhammad SAW diturunkan sebagai rasul terakhir untuk menyempurnakan AKHLAK umatnya. Dalam kutbah terakhir, baginda menegaskan untuk kita berpegang teguh pada al-quran dah sunnah supaya tidak tersasar dari landasan menuju redha Allah. Sudahkah kita berusaha sedaya upaya untuk hidup berteraskan peninggalan baginda ini?
AKHLAK merupakan buah, hasil dari keIMANan yang ditanam, disiram dan dibaja dengan al-quran dan sunnah. IMAN pula tidak akan pernah bisa diwarisi dari status, keturunan, bangsa mahupun negara. IMAN itu satu dinamika yang dibina berdasarkan kemahuan yang kuat, jihad melawan hawa nafsu yang tinggi dalam setiap individu. Maka, tidak kira siapa kita, atau dari titik mana sekalipun kita bermula, semuanya memiliki potensi yang besar untuk membina IMAN yang sebenar. Malah, IMAN ini yang menyatu padukan kita tanpa mengira apapun, termasuklah sempadan negara. Baru suatu saat nanti kita akan memahami erti ‘PERJUANGAN’ sebenar.
– musafir mencari ilmu
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit