Assalamualaikum semua. Sebenarnya saya taktau dari mana nak mulakan. Kisah ini sekadar perkongsian.
Saya berkahwin pada tahun 2014. Direzekikan mendapat suami dan keluarga mertua serta ipar duai yang baik, alhamdulillah. Tahun pertama masih belum dikhabarkan berita gembira (anak).
Makanya kami terus berdoa dan berusaha kerana impian kami berdua adalah untuk menjadi ibu dan ayah secepatnya. Tahun kedua masih tidak menampakkkan hasil.
Makanya kami mula berikhtiar lain dengan berjumpa dengan doktor-doktor pakar. Duit yang keluar tidak dikisahkan demi kahadiran zuriat. Semuanya mengatakan kami normal. Cuma belum rezeki.
Period saya juga teratur, alhamdulillah. Usaha demi usaha kami lakukan sehinggalah tahun keenam.
Sudah saya katakan tadi rezeki saya dikurniakan Allah suami yang baik, pendorong terbaik dan orang yang selalu buat saya merasa paling selesa dalam apa jua keadaan pun sehingga saat ini.
Kami berjuang bersama untuk dapatkan zuriat dan Allah hadirkan ia pada usia perkahwinan kami 6 tahun 6 bulan. Kami gembira tak terkata dan bersyukur pada Allah.
Saya dijaga bak puteri raja. Segalanya suami yang sediakan.
Bukan kerana saya malas, tetapi risaukan keadaan saya yang berbadan 3 sebenarnya.
Ya, saya mengandung anak kembar. Pada mulanya bukan kembar 2, tapi 4, tapi pada usia kandungan saya 6 minggu, 2 lagi dijemput Allah.
Saya bleeding waktu itu. Saya bersedih, tapi Allah maha mengetahui, mungkin saya tidak mampu untuk menahan alahan atau tubuh badan saya tidak cukup kuat untuk membawa 4 anak sekaligus dalam rahim saya.
Maka kami redha dan menumpukan perhatian penuh pada dua lagi zuriat yang sedang saya kandung. Pelbagai impian kami bina.
Perlahan-lahan kami menyediakan kelengkapan anak kami memandangkan anak kami 2 orang, untuk membeli sekaligus kelengkapan rasanya sukar juga.
Saban hari saya bercakap dengan anak-anak saya dalam kandungan mohon mereka kuat. Suami juga selalu menegur perut saya yang makin membesar. Jelas terpancar senyum gembiranya untuk menyambut anak-anak kami nanti.
6 bulan berlalu, kami diuji lagi, Saya melahirkan mereka pada usia mereka 6 bulan.
Ya, saya tidak sempat untuk menyusukan mereka. Seorang dari mereka pergi disaat melahirkan, dan seorang lagi sehari selepas itu.
Saat itu saya langsung tidak bertanya Allah kenapa saya diduga sehebat ini? Kenapa saya dan suami yang menantikan anak-anak kami saban tahun diuji begini?
Saya hanya diam, tanpa sebarang pertanyaan walaupun hanya dihati. Fikiran saya termati, hanya kerdipan mata anak kedua yang terbayang diwajah saya saban waktu.
Dia cuba untuk kuat, dia terus membuka matanya untuk melihat saya sebagai ibunya sehingga ke akhirnya.
Sempat saya dukungnya seketika dan letakkan di dada.
Kepalanya seakan melentok kedada saya. Matanya berkerdip-kedip, sempurna dan indah betul anak-anakku.
Dapat saya rasakan dia cuba untuk mengatakan, mama, maafkan saya, saya tak kuat untuk terus hidup mama, kita jumpa di syurga ya mama dan daddy?
Saya terpaksa ikut abang. Allah dah panggil kami.
Dan hari ini, saya sedang berjuang untuk pulih, pulih dari jiwa yang sakit. Dari process bersalin tanpa zuriat disisi. Dari kenangan yang tak dapat dilupakan selama 6 bulan.
Anak-anak mama, mama rindu, dikejut kamu berdua setiap jam 1-2 pagi. Subuh juga kamu kejutkan mama. Activenya kamu berdua sehingga ke hari terakhir.
Doakan mama dan daddy kuat ya sayang. Doakan mama dan daddy berhasil untuk memberi kamu adik-adik. Tariklah kami ke syurga bersama kamu berdua nanti nak.
Wildan Syurga Mama dan Daddy.
– Addin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit