Mimpi Sakara

Assalamualaikum semua. Saya sebenarnya nak berkongsi tentang mimpi yang saya alami.

Ada terdetik di hati nak bertanya dengan ustaz atau ustazah yang saya kenal tapi saya rasa mungkin mimpi ni hanya peringatan untuk diri sendiri.

Saya Sakara (bukan nama sebenar) berumur 24 tahun, perempuan. Dah lama saya mimpi ni, dalam 4 tahun lepas tapi pengalaman tu memang buat saya tak akan lupa. Semuanya sangat jelas untuk saya sampai sekarang.

Saya bermimpi saya meninggal dunia. Mimpi pertama, bermula dari ‘malaikat maut’ datang. Kemudian mimpi kedua, saya sedang dikapankan dan terjaga semasa ibu saya sedang mengikat tali kapan terakhir di kaki saya.

Saya sedang tidur di katil bilik. Tiba-tiba saya terjaga dan kelihatan satu sosok badan, hitam dan tingginya hampir mencecah siling bilik.

Saya jarang mengalami pengalaman ‘ditindih’ semasa tidur. Jadi, waktu tu saya cuba bersuara, seperti nak bertanya siapa yang sedang berdiri tu. Tapi seluruh badan saya tak dapat bergerak.

Saya terus berselawat, baca Al-Fatihah kemudian menutup mata ketakutan. Waktu tu, entah kenapa saya dapat rasakan itu bukan makhluk halus atau hantu tapi malaikat maut yang ingin datang menjemput.

Saya terus mengucap berulang kali dalam hati. Kemudian saya buka mata semula dan lembaga hitam tersebut telah berdiri di sebelah lengan saya. Waktu itu, saya terus terbayang dosa-dosa saya, hutang, solat yang tertinggal..

Saya sangat yakin, ajal saya telah sampai. Lembaga tersebut masih berdiri saya mula merasa sejuk di bahagian kaki. Saya menutup semula mata.

Alhamdulillah. Kali kedua saya membuka mata, saya sudah terjaga dari tidur. Saya dapat menggerakkan badan saya. Saya bangun dari tidur pukul 3 pagi. Saya terus berwuduk dan solat sunat.

Selang beberapa minggu, saya bermimpi. Saya sedang dalam perjalanan dan tiba di sebuah rumah yang sangat bercahaya.

Semasa saya masuk dalam rumah tersebut, saya tidak dapat melihat apa-apa kerana cahaya tersebut terlalu terang.

Saya mendengar suara bising di sekeliling. Saya cuba cari suara tersebut. Saya berjalan-jalan tapi saya rasa badan saya tidak bergerak kemana-mana.

Tiba-tiba saya rasa sangat sejuk dan terlihat air di hujung kaki. Perlahan-lahan badan saya dibaringkan. Saya cuba untuk bangun tapi tak dapat.

Saya menutup mata kerana saya berharap semua ni mimpi. Saya membuka mata dan rasa sangat tenang kerana semua tu mimpi. Saya ke luar bilik dan cuba mencari adik lelaki saya di rumah. Tapi tak jumpa.

Terkejut saya apabila terdengar suara adik saya sedang menangis disebelah saya. Posisi saya yang tadi sedang berjalan-jalan kembali terbaring. Kali ini, saya dibaringkan di atas kain kapan yang belum berbalut lagi.

Ada sehelai kain putih lain di atas badan saya. Adik saya menangis sambil berkata, “Sakara, bangun. Jangan mati lagi. Kau belum habis ajar aku baca Quran.” Waktu saya di rumah, saya selalu ajar adik saya membaca Quran hujung minggu.

Saya terfikir, saya ingatkan saya sudah terjaga, rupanya saya masih belum terjaga lagi dari mimpi. Kali ni, hati saya kuat mengatakan mungkin mimpi saya sebelum ni adalah petunjuk ajal saya telah hampir. Dan mungkin inilah harinya.

Saya terus menggelupur cuba untuk melepaskan kain yang diletakkan di atas saya. Walaupun hanya sehelai, saya rasa sangat berat dan tidak boleh bangun.

Saya cuba melihat siapa yang sedang mengkapankan saya. Sehelai demi sehelai kain dibalut ke atas tubuh saya.

Saya tidak dapat melihat siapa tetapi saya mendengar suara umi saya. Sambil menangis, umi saya berkata,

“Sakara, umi redha. Umi halalkan semuanya. Sakara dah meninggal. Sakara dah meninggal.. ” berulang kali ayat tersebut diulang oleh umi saya.

Badan saya mula tenang. Saya seperti telah berputus asa dan redha untuk melawan. Kali ni, hanya tangisan sahaja yang saya dapat lakukan.

Tangan saya seperti diangkat dan diletakkan dalam posisi qiam. Waktu itu, baru saya nampak, rupanya umi saya yang sedang kapankan saya.

Saya hanya memerhati umi saya mengikat tali kapan di bahagian tangan. Kemudian di lutut. Badan saya terasa ringan.

Saya masih menangis, adik saya masih berkata perkara yang sama dan umi saya juga sibuk mengikat tali kapan. Saya terdengar suasana yang bising disekeliling.

Setelah selesai tali kapan diikat di bahagian kaki, saya melihat ada sesuatu bergerak ke arah kepala saya. Seseorang sedang membetulkan kedudukan saya seperti untuk disolatkan..

Waktu itu, badan saya terasa ringan. Saya cuba melepaskan ikatan di tangan ketika seseorang sedang menutup wajah saya dengan kain kapan.

Saya membuka mata dan sedar saya berada di bilik. Tapi disebabkan keadaan bilik yang sangat gelap, saya jadi risau adakah saya sudah berada di dalam liang lahad.

Saya terus menjerit Ya Allah berulang kali. Saya seperti ingin turun dari katil tapi saya takut ini ialah kubur saya.

Terdengar pintu bilik saya sedang dibuka. Saya masih tidak mengharapkan apa-apa lagi. Saya rasa sangat penat. Kelihatan adik saya berdiri di pintu dan membuka lampu.

Saya melihat adik saya dan berlari ke arahnya. Tapi sewaktu saya turun, saya tak dapat merasa kaki saya dan terus terjatuh ke bawah. Adik saya mungkin takut untuk mendekati. Dia terus berlari ke arah bilik umi dan abah saya.

Umi dan abah saya berlari ke arah saya, cuba untuk mengangkat saya yang sedang menangis di lantai. Jam menunjukkan pukul 5 lebih, hampir subuh.

Mereka semua bertanya apa yang terjadi. Saya hanya menjawab saya bermimpi. Mereka cuba bertanya tentang apa.

Saya hanya jawab, tak ingat. Abah saya mengajak kami solat sunat dan membaca Quran sementara menunggu Subuh.

Sejak dari hari tu, saya tak pernah lagi tidur dalam keadaan gelap. Saya akan membuka lampu bilik, atau lampu tidur semasa tidur. Saya terfikir adakah begitu rasanya mati? Begitu kah yang akan saya alami?

Selepas mimpi tersebut, kerap kali saya bermimpi terlihat jenazah, mayat, orang sedang mandikan, solatkan mayat, macam2 yang berkaitan mayat dan kubur.

Sekarang, saya susah nak dapatkan tidur yang lena. Kalau dapat tu, bersyukur sangat2.

Saya selalu terjaga tengah malam. Ya, saya akan sokat sunat apabila terjaga tapi kadang2 ia mengganggu fokus saya pada kerja kerana tidak cukup tidur dan selalu pening pada siang hari

Macam-macam saya amalkan, al-mulk, wudu’, sebelum tidur. Tapi tetapi tak berubah. Saya tidak boleh terlihat gambar mayat dalam gambar atau movie sekalipun. Kalau terlihat, saya akan bermimpi tentangnya.

Ada ke disini yang mengalami situasi yang sama? Harap dapat berkongsi apa-apa tips yang boleh saya lakukan.

– Sakara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *