Salam semua pembaca, boleh panggil aku M.
Aku bekerja sebagai pengurus cawangan di sebuah syarikat menjual barangan rumah dan elektrik. Benda ni aku dah simpan lama, tapi dah tak tau nak luah dekat siapa.
Luah dekat isteri, aku takut isteri pun sama-sama tertekan. Kawan-kawan? Dah lama tak ada sejak aku bekerja dan berkahwin, cuma jumpa di majlis keraian atau reunion.
Berbalik pada masalah aku tadi, aku ni golongan minoriti di kalangan majoriti. Aku satu-satunya pengurus cawangan yang berbangsa melayu dan tentunya dari segi bahasa aku ketinggalan jauh.
Dalam group kerja, benda yang penting sahaja mereka akan tulis dalam bahasa inggeris atau melayu, benda lain memang dalam bahasa mereka.
Mula-mula aku rasa terpinggir juga, tapi lama-lama aku biar je. Asalkan tak menyusahkan aku, aku lantakkan je.
Masalah utama aku sejak kebelakangan ni ialah bila ada sistem syarikat yang dibuat sepenuhnya dalam bahasa selain melayu dan inggeris.
Aku yang tentunya hanya tau bertutur dan menulis dua bahasa memang tak boleh tolong bab ni.
Jadi kerja tersebut terpaksa diserahkan kepada staff di bawah aku yang aku namakan di sini CC.
Aku tak tau sama ada aku prejudis ke tak, tapi sejak dia take over sistem tersebut semua hal ehwal cawangan termasuk kerja-kerja aku pihak atasan akan beri pada dia.
Satu demi satu, dan akhirnya kerja aku sekarang hanya uruskan soal warranty dan hal ehwal pelanggan.
Staff tersebut juga telah dimasukkan ke dalam group manager dan group-group yang lain. Semenjak itu, tiada lagi bahasa melayu atau inggeris di dalam apa-apa memo atau perbualan.
Bermula dari tu aku memang dah rasa tawar hati.
Bila pengurusan tertinggi datang ke cawangan, mereka memang tak akan bercakap dengan aku dah dan aku memang tak faham sepatah apa pun yang mereka katakan.
Aku dinaikkan pangkat oleh pegawai atasan kerana kemahiran dan juga prestasi aku. Malangnya pegawai atasan tersebut juga telah berhenti kerja kerana peluang yang lebih baik.
Benda yang paling aku sedih bila aku dituduh tak buat kerja dan langsung tak ambil tahu tentang kerja yang berkaitan dengan aku.
Sungguh aku sedih, kerja apa yang aku tak buat? Aku bukan sengaja tak nak buat, tapi ‘bahasa’ mereka tidak memihak pada aku.
Aku juga sering dijadikan kambing hitam. Setiap isu yang berbangkit pasti ditujukan terus kepada aku.
Aku rasa tak guna aku menjawat jawatan sebagai pengurus lagi. Masalah-masalah kecil antara staff yang biasanya aku selesaikan sendiri kini sudah tak lagi.
Masalah staf lewat, staf mc, pelanggan complaint benda buruk dan sebagainya kini akan diperbesarkan di dalam group whatsapp.
Akibatnya, pengurusan tertinggi mula lah sound aku satu dua baris dan diikuti dengan perbualan mereka yang aku tak faham.
Entahlah, bertahun aku jaga cawangan ni memang tak ada masalah. Staf lambat seminit dua, aku pejam mata je. Bukan selalu, kadang-kadang je bila jam atau hari hujan.
Staff pun mula takut dengan CC sampai nak cuti pun mereka skip aku dan bagi tahu pada CC. Bila aku persoalkan kenapa tak bagi tahu pada aku, mereka kata takut CC mengadu pada upper management.
Aku nak berhenti kerja, tapi susah kerana aku tiada kelayakan. Aku hanya ada kemahiran dan ilmu sahaja. Anak-anak sedang membesar, memerlukan duit yang banyak.
Gaji di sini terlalu cukup untuk menampung segalanya. Susah untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal seperti di sini.
Tapi jika diteruskan, boleh sakit mental aku dibuatnya.
Mohon nasihat dan tunjuk ajar dari pembaca yang lebih berpengalaman. Saya memang betul-betul buntu dan tertekan.
Maaf andai ayat aku berterabur.
– M (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit