Minyak Dagu (Kisah Seram)

Sewaktu zaman 70-an, aku suka untuk mengembara dan menerokai kawasan hutan yang merupakan salah satu tempat untuk aku melepaskan segala tekanan kerja untuk menguruskan dan menjadikan anak-anak bangsa di Malaysia ini berjaya dan menjadi berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Cuti akhir tahun persekolahan merupakan sesuatu yang mengujakan aku kerana mengikut kepada pengalaman aku sebelum ini, terdapat banyak ilmu-ilmu serta pengetahuan yang baru apabila aku menetap di sana bersama dengan mereka.

Kawasan hutan yang terletak di Endau-Rompin ini merupakan salah sebuah kawasan kegemaran aku kerana sewaktu itu, penduduk asli di sana masih lagi mengamalkan adat dan budaya tanpa terikut-ikut dengan perkembangan dan pembangunan di negara kita sewaktu itu, iaitu era modenisasi.

Di sana, terdapat sebuah suku kaum yang amat terkenal dengan ilmu-ilmu mistik mereka.

Baik untuk mendapatkan toyol, ilmu batin, sihir melalui angin dan yang paling utama sekali adalah minyak dagu, di situlah tempatnya.

Kehadiran aku di sana bukanlah untuk mempelajari proses pembuatan mahupun untuk mendapatkan minyak tersebut, sebaliknya aku tertarik dengan sesuatu yang pada pendapat aku tidak lebih daripada perkara yang mengarut dan tak masuk akal.

Jadi, aku ingin melihat benda mistik tersebut menggunakan mata kepala aku sendiri

Ritual pembuatan minyak dagu ini memerlukan satu bahan yang cukup payah dan jarang-jarang sekali ada, iaitu wanita yang maut dalam usaha mereka untuk melahirkan anak yang pertama mahupun sewaktu anak pertama itu masih lagi berada di dalam kandungan si ibu.

Aku rasa amat bertuah kerana kunjungan aku kali ini tepat pada masanya.

Di kala zaman komunikasi melalui surat masih lagi merupakan salah satu kaedah untuk berkomunikasi yang terbaik, aku agak hairan bagaimanakah berita kematian tersebut boleh tersebar luas sehinggakan ke penduduk kampung-kampung lain yang terletak agak jauh juga mengetahuinya.

Di perkampungan yang menjadi tempat untuk aku menetap selama 1 hingga 2 minggu ini, terdapat seorang bomoh yang agak terkenal di situ. Orang kampung di sini memanggilnya dengan nama Tok Awang.

Dia merupakan bomoh yang handal untuk urusan merawat pesakit, penghantaran santau dan lain-lain.

Apabila berita kematian itu sampai ke telinganya, maka, Tok Awang segera bersiap sedia untuk melaksanakan misinya.

Objektif misi ini pada kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang sahaja. Samli (bukan nama sebenar) merupakan seorang anak didik Tok Awang dan dianggap sebagai penyambung ilmu ini apabila Tok Awang meninggal dunia kelak.

Aku agak skeptikal juga kerana Tok Awang ini, walaupun merupakan pembuat ‘ubat kuat’, mengapa pula dia memerlukan bantuan daripada orang yang lebih muda untuk membuat pekerjaan-pekerjaan yang memerlukan tenaga yang banyak ini.

Mengapa Tok Awang tak makan ubat kuat yang dibuatnya sendiri? Namun, biarlah perkara tersebut berlegar di dalam minda aku sahaja. Maklumlah, di kawasan-kawasan sebegini, mana boleh kita mengatakan sesuatu yang bersifat ala-ala penghinaan mahupun cakap besar.

Samli menghamparkan sehelai kain dan menyediakan segala peralatan untuk menggali kubur dan beberapa peralatan yang lain di atasnya.

Dia menunjukkan kesemua peralatan tersebut kepada Tok Awang kerana dia takut ada barang yang dia lupa bawa nanti. Tok Awang berpuas hati kerana checklist item yang dibuat oleh Samli lulus dengan cemerlang.

Setelah aku ‘membayar’ Tok Awang dalam bentuk rokok tembakau tanpa penapis dan wang berjumlah 2 ringgit 50 sen, dia mengasapkan aku dengan asap kemenyan.

Selepas itu, dia meletakkan kedua-dua tapak tangannya di atas kepala aku sambil mulutnya membacakan sesuatu yang aku tidak faham. Beberapa saat kemudian, dia mengangkat tangannya serta membenarkan aku untuk turut menyertai misi mereka itu.

Menjelang waktu maghrib, aku lihat Samli sudah bersiap sedia membawa cangkul yang diikat di belakangnya serta lampu minyak tanah.

Mereka berdua bukanlah orang Islam, sebaliknya mereka mempertuhankan alam semulajadi, yang mana mengikut pada mereka, setiap pokok, kawasan hutan serta sungai mempunyai penunggu dan tuannya sendiri.

Sembahan dan doa kepada tuhan-tuhan mereka ini tak silap aku dikenali sebagai pagan.

Mereka memuja penunggu-penunggu dan tuhan-tuhan ini bagi mendapatkan hasil dan rezeki di dalam hidup mereka yang lebih banyak serta meningkatkan kekuatan batin dan fizikal mereka.

Misi kali ini memerlukan pergerakan secara stealth macam dalam permainan video Metal Gear Solid mahupun Splinter Cell (sorry, rasa lawak pula tengok perkataan stealth tu dalam konteks artikel sebegini – dan yang mengarut ni penulis yang tulis) atau pergerakan secara senyap-senyap.

Hal ini adalah kerana sewaktu itu, permintaan minyak dagu amat tinggi baik dalam kalangan orang asli mahupun orang yang tinggal di bandar.

Daripada segi fungsinya, minyak ini popular dikatakan dapat mengawal seseorang mahupun amat berkesan untuk membuatkan wanita tergila-gilakan lelaki atau lelaki yang akan menjadi pak turut dalam sesebuah rumah tangga dengan satu calitan sahaja.

Dengan harga yang amat tinggi, maka terdapat banyaklah kes penggalian kubur semula berlaku, tak kurang juga ada yang mengambil kesempatan menjual minyak dagu yang palsu.

Mahu tak mahu, pergerakan ke arah kubur tersebut seharusnya dilakukan dengan senyap-senyap untuk memastikan mereka tidak ditangkap ketika mereka berdua menjalankan operasi tersebut.

Tambahan pula, wanita yang meninggal itu pula berasal daripada suku kaum yang berbeza serta terletak di kampung yang lain.

Aku bertanya kerana berasa sedikit risau kepada Samli, kerana sekiranya Minyak Dagu ini “Terhangat Di Pasaran” (KRU), maka, pasti akan ada kemungkinan untuk bomoh-bomoh yang berasal daripada kampung lain untuk datang juga membawa objektif yang sama dengan Tok Awang.

Samli tersenyum sahaja memandang aku serta memberitahu aku dengan suara yang perlahan bahawa sebelum mereka berdua ke sana, mereka telah pun membaca pelbagai jenis jampi yang akan menjadikan mana-mana orang yang ingin mendapatkan mayat tersebut tidak jumpa di manakah kuburnya terletak.

Akhirnya kami tiba di tanah perkuburan yang dimaksudkan itu setelah sejam setengah berjalan merentasi hutan belukar dan semak samun.

Nyamuk, pacat dan lintah, semuanya aku rasa sepanjang perjalanan tadi dan yang lebih menyeksakan adalah sekiranya terdapat nyamuk di badan aku, aku tidak boleh menepuknya dengan kuat kerana bimbang misi ini akan di kompromi kerana bunyi tepukan yang agak kuat.

Maklumlah aku duduk di bandar, mana pernah merasai perkara sebegini dan walaupun sebelum ini aku banyak membuat perjalanan yang lebih kurang sama di penempatan orang asli di negeri lain, namun, setiap perjalanan itu tidak pernah sama.

Setelah beberapa ketika, kami duduk sebentar di balik semak-samun dan lalang yang tinggi separas pinggang. Pokok lalang tersebut yang membuatkan kulit aku yang bersentuhan kepadanya berasa gatal.

Aku tergaru-garu di sana dan sini yang mana bukan akan meredakan kegatalan tersebut, tetapi menjadikannya lebih teruk.

Tok Awang memerhatikan sahaja gelagat aku dan dia tersenyum. Samli juga begitu.

“Orang bandor… gitulah dia bak kata bini aku. Dia orang Muor jugak tu”, kata Samli dengan dialek Muar. Aku mengangguk sahaja tanda setuju.

Daripada tempat yang kami bertiga berehat, aku boleh nampak dengan jelas kawasan perkuburan yang dimaksudkan itu walaupun di waktu malam. Juga, malam tersebut bulan mengambang dan hal ini agak membantu juga aku untuk melihat.

Aku nampak dengan jelas terdapat beberapa orang yang sedang berdiri di kawasan perkuburan tersebut, dan melihatkan salah seorang daripada lelaki di situ menangis teresak-esak, aku boleh andaikan bahawa kemungkinan besar, dia merupakan saudara, atau suami si mati.

Tok Awang berbisik untuk memastikan aku mendiamkan diri, dan jangan bergerak secara tiba-tiba kerana takut akan orang yang berada di kubur itu nampak kami.

Jika perlu bergerak sekalipun, pergerakan tersebut perlu dilakukan dengan perlahan. Aku cuba bertahan dan memaki hamun dalam hati aku supaya orang yang berdiri di sekeliling kubur tersebut beredar dengan cepat.

Sejam selepas itu, mereka akhirnya beredar. Jam tangan digital Casio berbentuk petak yang aku pakai itu menunjukkan pukul 10 malam. Kami keluar dibalik semak itu secara perlahan-lahan dan terbongkok-bongkok menghala ke arah kubur tersebut.

Setelah memastikan kawasan tersebut sudah tiada orang, Samli menyalakan semula lampu minyak tanahnya menggunakan mancis yang dia bawa. Tok Awang menggulung-gulung kertas rokok tembakau dan mencucuhnya kepada api yang berasal daripada lampu kerosene itu.

Samli menghalakan lampu tersebut kepada kubur tadi. Tanah merah yang masih lembab itu memberi kepastian bahawa itulah kuburnya.

Tanpa disuruh, Samli segera meletakkan lampu minyak tanahnya di balik kayu penanda kubur tersebut dan seterusnya memulakan penggalian. Dengan mudah mata cangkul menembusi tanah yang masih lembut dan gembur itu.

Pergerakan Samli yang pantas dan senyap dalam menggali kubur itu sedikit sebanyak memberitahu aku bahawa ini bukan kali pertama mereka buat kerja ini.

Aku menawarkan diri untuk sambung menggali apabila aku kelihatan dia sedikit termengah-mengah, tetapi dihalang oleh Tok Awang.

Aku orang luar, tidak boleh melakukan perkara-perkara sedemikian, takut tak jadi katanya. Aku akur.

Setelah setengah jam Samli menggali kubur tersebut, mata cangkul yang digunakan akhirnya terkena sesuatu yang keras. Itulah saat yang ditunggu-tunggu oleh Tok Awang, kerana penggalian sudah pun sampai ke keranda.

Aku juga perasan bahawa tanah perkuburan itu bukanlah tanah perkuburan Islam, sebaliknya tanah perkuburan masyarakat orang asli yang aku tak pasti beragama apa. Sama ada Pagan ataupun bukan, aku memang tidak tahu.

Setelah digali semua tanah yang menutupi atas keranda itu, Tok Awang melompat ke dalam kubur tersebut. Dengan perlahan-lahan, keranda dibuka.

Tiba-tiba aku berasa cuak, ibarat baru tersedar bahawa ada mayat yang baru sahaja ditanam di dalam keranda tersebut kerana fikiran aku menerawang jauh memandangkan aku duduk sahaja di situ dan memerhatikan sahaja Samli membuat kerja serta otak aku sibuk memikirkan kegatalan tangan dan kaki aku akibat terkena gigitan nyamuk dan lalang.

Saat dibuka penutup keranda itu, semerbak bau kapur barus dan daun pandan memenuhi ruang. Terdapat sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih di dalamnya. Tok Awang selamba sahaja membuka kain yang menutupi wajah mayat itu.

Bau cendana mengisi atmosfera setelah kain yang membaluti mayat tersebut dibuka, menampakkan wajahnya yang pucat serta kebiru-biruan. Matanya tertutup dan mulutnya terbuka sedikit.

Apabila aku menghampiri kubur tersebut, aku hampir nak muntah apabila tiba-tiba bau busuk pula yang keluar, berkemungkinan bau yang datang daripada proses pereputan mayat yang sudah mula berlaku.

Dibalik kain putih yang menutupi mayat itu, aku dapat lihat bahagian perutnya agak membusung. Maklumlah mayat tersebut maut ketika dia mengandung.

Tok Awang kemudiannya memanjat keluar dari lubang kubur sedalam lebih kurang 6 kaki itu. Dia meraba-raba isi kain yang dibawa Samli yang dilipat untuk menjadikannya seperti beg.

Tok Awang kemudiannya mengeluarkan satu kitab kecil daripada ‘beg’ tersebut. Pada pengamatan aku kitab tersebut nampak seperti kitab lama.

Maklumlah ada beberapa halaman yang aku perasan berlubang-lubang, mungkin kitab yang diturunkan beberapa generasi sebelum itu lagi. Dia kemudiannya mengeluarkan sebongkah kemenyan. Samli mendekatkan lampu minyak tanah dan membakar kemenyan tersebut.

Aku bertanya kepada Tok Awang atas dasar ingin tahu.

“Tok, kenapa kita nak kena bakar kemenyan?”

“Sebab nak menutupi bau mayat yang sudah nak reput ini, lagi satu aku nak jamu ‘benda-benda’ tu dengan asap kemenyan ni. Memang kegemaran mereka. Senang saje (sahaja) nak bodek benda-benda ni,

kau bagi dia makan, dia tak kacau kau lah “, jawabnya sambil menyelak halaman demi halaman dalam kitab lamanya itu.

Setelah bau kemenyan yang kuat memenuhi ruang atmosfera di situ,

Tok Awang mula membacakan mantera. Aku cuba mendengar dengan teliti kerana suara Tok Awang sungguh perlahan, namun aku langsung tak memahaminya kerana mantera tersebut bukan dibaca dalam bahasa Melayu, sebaliknya bahasa lain yang aku tidak pasti.

Kemudian, Tok Awang meminta Samli untuk menghulurkan satu bekas kaca yang kecil, serta sebatang lilin yang berwarna merah. Samli menggores sebatang lagi mancis untuk menyalakan lilin tersebut.

Dengan memegang lilin, Tok Awang melompat semula ke dalam lubang kubur itu diikuti dengan Samli.

Tok Awang memegang dagu mayat itu, dan kali ini terpampang jelas muka mayat tersebut. Kain yang diikat di bahagian bawah dagu si mati untuk memastikan mulutnya tidak terbuka ketika upacara pengebumian tadi dibuka ikatannya perlahan-lahan. Dengan menggunakan ibu jarinya,

Tok Awang menolak dagu mayat tersebut ke atas, seakan-akan mahu menutupi mulut mayat tersebut.

Namun, disebabkan mayat tersebut telah keras dan kaku, tolakkannya ke atas menyebabkan seluruh kepalanya terdongak.

Kemudian dia mendekatkan lilin merah tersebut, sambil menyuruh Samli memegang satu bekas kaca dan meletakkannya betul-betul di bawah dagu mayat tersebut untuk menadah minyak yang bakal keluar.

Setelah dibakar dagu mayat itu menggunakan lilin, aku terperasan ada titisan minyak mula terbentuk, sedikit demi sedikit memenuhi bekas kaca yang ditadah itu. Sambil itu, Tok Awang menyambung bacaan mantera itu.

Aku terkejut beruk dan hampir nak pitam apabila aku dapat lihat sendiri mata mayat itu terbuka, dan berkelip-kelip.

Badannya mula bergerak seolah-olah ingin meronta, tetapi terhalang dek tolakan Tok Awang yang kuat. Bunyi nafas yang amat kuat dan mendengus-dengus seperti anjing liar itu memang amat menakutkan aku.

Upacara itu diteruskan tanpa mempedulikan gerak-geri badan mayat tersebut yang semakin lama semakin kuat rontaannya. Setelah bekas kecil itu terisi satu per empat dengan minyak itu,

Tok Awang meniup lilin untuk memadamkan api seraya sebelah tangannya menutup kelopak mata mayat tadi yang terbuka. Mantera dibacakan lagi, dan dengan tidak semena-mena mayat tersebut kembali keras dan tidak lagi bergerak.

Mayat tersebut dibaluti semula, keranda ditutup, dan kali ini aku bersama Samli mengambus semula lubang yang digali tadi kerana kami bertiga perlu beredar secepat mungkin. Perjalanan terasa sungguh jauh kerana kami perlu merentasi semula hutang belukar dan sungai untuk kembali ke kampung asal tadi.

Setibanya di rumah Tok Awang, sinaran lampu kalimantang berwarna putih itu menampakkan dengan lebih jelas akan kandungan botol kaca itu. Saiznya kecil sahaja, ibarat sebesar tabung uji, tetapi lebih pendek. Di dalamnya, terisi satu cecair berwarna keemasan, ibarat warna minyak masak.

“Kira dah selesai la kan upacara ni Tok”, aku bertanya.

“Ish, ini baru permulaan, sekarang aku perlu membuat minyak ini tunduk pada aku, supaya aku boleh mengawalnya”, jawab Tok Awang.

Aku sedikit tidak faham, namun belum sempat aku habis bertanya, Tok Awang membaca mantera lagi. Kali ini ada sedikit-sedikit bahasa Melayu yang aku fahami. (AMARAN – ini bukan bacaan jampi yang sebenar)

“Mari sini datang kemari

Mari bersahabat bersama aku

Mari datang menjadi diriku

Datang taat turut perintahku

Jangan berani kau ingkar

Jangan berani langar perintahku

Jika engkau ingkar juga

Akan ku buang engkau ke tengah laut”

Sehabis membaca mantera itu, aku lihat Tok Awang mencucuk jari telunjuknya menggunakan sebatang jarum yang bentuknya seakan-akan jarum jahitan. Kemudiannya, Tok Awang memicit-micit jarinya itu untuk memaksa darah keluar.

Darah itu dititiskan di dalam bekas kaca tersebut. Saat darah itu bersentuhan dengan minyak itu, tiba-tiba sahaja aku terdengar bunyi bayi yang menangis dengan begitu kuat sekali.

Setitik demi setitik darah dimasukkan, dan suara bayi menangis itu semakin lama semakin perlahan dan akhirnya berhenti. Perkara tersebut menyebabkan aku menggeletar ketakutan kerana entah dari mana datangnya bunyi teriakkan bayi tersebut.

“Sebenarnya, darah ini aku rasakan untuk memastikan dia tahu tuan dia siapa. Ibarat macam bayi yang baru dilahirkan, ibunya akan memberikannya susu bukan?

Sama sahaja, kecuali ‘dia’ tidak minum susu, dia minum darah. Dengan cara inilah aku boleh kawal dan memberi arahan kepadanya untuk melakukan sesuatu.

Sebab makanan dia cuma satu, darah. Darah siapa yang hinggap terlebih dahulu, itulah orang yang bakal menjadi tuannya”, kata Tok Awang menjelaskan perkara itu kepadaku ibarat dia boleh membaca apa yang bermain di dalam fikiran aku.

Aku masih lagi gementar apabila benda-benda ini terjadi di hadapan mataku. Ibarat sesuatu yang tak dapat difikirkan dan tak terjangkau dek akal fikiran. Kalau nak dikatakan mengenai logik atau tidak perkara itu, sememangnya tak logik.

Tok Awang memberitahu aku mengenai fungsi minyak dagu ini, yang mana apabila dicalit oleh tuannya kepada seseorang, orang terbabit akan tunduk dan mengikut kata apa yang kita kehendaki.

Sama ada nak membuatkan orang itu jatuh cinta, atau tunduk patuh mengawal suami atau isteri yang degil, serta kebolehan untuk mengawal kehidupan seseorang itu.

Kita boleh lihat betapa bahayanya kesan apabila seseorang terkena minyak dagu yang sering dicalit tanpa pengetahuan orang.

Yang lebih teruknya, akan ada orang yang mencalit minyak ini di tombol pintu menyebabkan mangsa yang terpegang minyak tersebut tak semena-mena tunduk dan patuh kepada tuan minyak itu.

Memang tak dinafikan, seseorang yang terkena sihir ini, akan jadi suka menyendiri, serta hilang kewarasan.

Kata Tok Awang, jika seseorang itu terkena sihir ini, akan terbayang-bayang muka tukang sihir ini, membenci dan tidak mengenali ahli keluarga mereka sendiri serta mempunyai nafsu yang tidak dapat dikawal terhadap tukang sihir tersebut.

Memang aku sendiri pernah mendengar, mereka yang terkena sihir ini akan mula bermimpi mengenai ular hitam, anjing hitam serta bermimpikan wajah penyihir itu sendiri berulang-ulang kali. Memang rawatannya ada kerana sihir minyak dagu ini amat sensitif dengan ayat-ayat Al-Quran.

Mereka yang sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ akan tidak berkesan. Pengalaman ini membuatkan aku sedikit berwaspada terhadap keadaan di sekeliling aku.

Bukan itu sahaja, mulai daripada saat itu, aku merajinkan diriku sendiri membaca Al-Quran setiap hari, sebagai pendinding terhadap sihir-sihir sebegini.

Aku ingin sangat nak katakan perkara ini hanyalah satu mainan tidur, tetapi tidak. Perkara ini betul-betul terjadi dan memang tidak akan dapat dijelaskan dengan sains.

Tapi apa yang pasti, dengan mengetahui wujudnya benda-benda sebegini, maka, lebih kuat dan teguh lah keimanan aku terhadap agama aku, Islam.

TAMAT…

*Nota daripada Penulis

Kisah seram ini merupakan satu perkongsian yang diceritakan kepada saya oleh ayah saya sewaktu saya di sekolah menengah dulu. Penulisan ini dibuat berdasarkan apa yang tersemat di dalam memori saya iaitu kronologi peristiwa dan fakta yang diberikan.

Ayah saya merupakan seorang guru dan sewaktu zaman mudanya, dia menghabiskan banyak masa untuk bergaul serta bercampur dengan masyarakat orang asli untuk mempelajari kehidupan dan adat mereka termasuklah ilmu untuk membina perangkap, tempat tinggal sementara dan ritual mistik.

Mohon kawan-kawan semua tolong doakan arwah cikgu Puade bin Mahbar ya.

#horrorex #iHorrorex #horrorfact #minyakdagu

– ILZANNO SHARKY

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *